Meniti Usia Tua

PESANAN Allah SWT kepada hamba-Nya yang hidup di muka bumi ini agar membentuk diri menjadi individu yang bersungguh-sungguh melakukan amalan dan ibadah untuk mengejar ganjaran pada Hari Akhirt kelak, dan pada waktu yang sama tidak meninggalkan bahagiannya di dunia. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya, iaitu manusia sibuk mengejar nikmat dunia sehingga mengabaikan nasib yang bakal dihadapi setelah meninggal dunia nanti. Manusia sewajarnya melakukan persiapan ketika hidup di dunia kerana ia akan ditinggalkan untuk menuju Akhirat. Alangkah ruginya mereka yang banyak mengumpul kemewahan di dunia, tetapi mengabaikan dan melepaskan peluang mengumpul bekalan untuk dibawa ketika kembali menghadap Allah.

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani melalui slot Mau’izati di IKIMfm menyampaikan pesanan kepada mereka yang sudah mencecah 40 tahun usianya agar memperbanyakkan ilmu, sebagaimana peringatan oleh Imam-al-Ghazali yang juga terkandung di dalam firman Allah di dalam surah al-Mujadalah, ayat 11: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.”

Dengan adanya ilmu menjadikan manusia tergolong di kalangan para ulama yang takut melakukan dosa kepada Allah. Rasulullah SAW juga mengingatkan kepada manusia yang semakin meningkat usianya agar sentiasa belajar, kerana mereka yang sibuk menuntut ilmu, akan dipermudahkan jalannya oleh Allah untuk masuk ke dalam syurga. Malah menuntut ilmu menjadi kefardhuan kepada setiap muslim dan disarankan juga agar masjid-masjid sentiasa menganjurkan majlis-majlis ilmu kepada masyarakat.

Selain itu di dalam proses menuntut ilmu, ia juga memberi kelebihan kepada tenaga pengajarnya seperti yang digambarkan di dalam surah at-Taubah, ayat 122: “Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).” Mengajarlah dengan penuh keikhlasan kerana Allah akan meninggalkan kesan terhadap ilmu yang disampaikan pada hati-hati manusia yang mendengarnya dan sesungguhnya ia akan mengundang kebahagiaan pada Hari Akhirat kelak. Semakin banyak ilmu yang diajar, semakin banyak ilmu kecerdikan yang akan dikurniakan Allah kepada diri mereka. Namun mereka yang menyembunyikan ilmu, maka sesungguhnya mereka telah melakukan dosa terhadap diri mereka sendiri. Orang yang terbaik di kalangan manusia pula ialah mereka yang menguasai ilmu al-Quran dan sibuk mengajar serta menyampaikan ilmu tersebut kepada orang lain.

Ketika usia meningkat, seharusnya perbanyakkanlah keyakinan diri kepada Allah SWT. Islam merupakan sebuah agama yang sangat bersih sifatnya, tiada syirik kepada Allah dan tidak boleh sama sekali bercampur dengan agama-agama lain atau fahaman-fahaman lain yang dicipta oleh manusia. Jangan sesekali setelah usia menginjak kepada 40 tahun, hilang keyakinan diri terhadap Islam kerana pada usia sebeginilah mereka mula terpesona dengan dunia sebagaimana fahaman barat yang menjadikan mereka mula ragu-ragu terhadap agama. Pada ketika inilah fahaman liberal, sekular dan fahaman lain yang merosakkan keyakinan kepada Allah. Ramai juga di kalangan manusia yang dilanda ujian apabila memilih Islam sebagai pegangan hidupnya. Pada saat inilah perlunya kekuatan dan keyakinan diri untuk bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT.

Tinggalkanlah kesibukan mengejar kenikmatan dunia, kerana pada usia bermula 40 tahun sehingga 60 tahun merupakan fasa usia tua yang pertama, manakala ketika berumur 60 tahun sehingga 70 tahun tergolong di dalam usia tua yang memasuki fasa kedua. Ketika memasuki fasa usia tua yang pertama inilah ramai di kalangan manusia mempunyai hati yang berbolak balik terhadap Islam. Sesungguhnya mereka yang berada di dalam golongan manusia yang terpengaruh dengan fahaman-fahaman selain agama Islam, merupakan mereka yang syirik kepada Allah dan tidak akan diampunkan dosanya sehingga Hari Akhirat kelak.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 29 Mac 2018

Kongsi artikel ini di:

Hajah Fairuz Hj. Noordin

Merupakan Pengurus Hubungan Srategik Radio di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm).