Mengukuh Didikan Jasmani Terhadap Anak-anak

TANGGUNGJAWAB sebagai seorang suami dan bapa merupakan amanah yang sangat besar bagi setiap lelaki yang berkeluarga. Menjadi satu kewajipan bagi seorang bapa memberi makanan, minuman dan pakaian serta menafkahkan harta untuk anak-anak dan isteri, malah dilarang sama sekali untuk melepaskan tanggungjawab tersebut kepada isteri untuk menyara keluarga. Setiap anak dikurniakan rezeki yang tersendiri oleh Allah SWT, maka ia perlu diuruskan sebaiknya oleh ketua keluarga. Keberkatan rezeki lebih besar bagi seorang bapa apabila ia digunakan untuk menyara hidup anak-anaknya, berbanding perbelanjaan yang sama digunakan untuk bersedekah kepada orang lain, digunakan ke jalan Allah atau memerdekakan hamba.

Perkongsian oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati juga turut memberi penekanan terhadap peranan bapa di dalam memberi didikan kepada anak-anaknya berkaitan ilmu kesihatan, termasuk hal makan-minum, tidur dan lain-lain agar ia membentuk adab dan tabiat yang baik sepanjang tempoh pembesaran anak-anak. Didik anak-anak mengikut sunah Rasulullah SAW di dalam hal makan dan minum agar tidak terlalu banyak dan terlalu kenyang, serta jangan tidur berlebihan. Selain itu juga turut dilarang bernafas di dalam gelas ketika minum, tidak minum berdiri serta tidak menghabiskan minuman sekali gus, dan sebaiknya meneguk dua hingga tiga kali setiap kali meminum air dan dimulakan dengan bismillah. Apabila sudah kenyang atau sendawa ketika makan atau minum, ucapkanlah tanda syukur dengan memuji Allah SWT.

Ketika tidur sekalipun, Rasulullah SAW menyarankan agar mengiringkan badan ke kanan kerana tidur mengiring ke kiri akan mendatangkan mudarat ke atas jantung manusia dan menyesakkan pernafasan. Digalakkan juga berwuduk sebelum tidur sebagaimana dilakukan sebelum seseorang itu menunaikan solat, dan berdoa memohon keampunan dan dipelihara Allah kerana jika ditakdirkan menemui ajal ketika sedang tidur, mereka akan kembali mengadap Allah SWT di dalam keadaan fitrah dan bersih.

Tanggungjawab lain yang perlu ditunaikan oleh ibu-bapa ialah memelihara keluarganya daripada dijangkiti sebarang penyakit. Elakkan berada di kawasan yang berisiko dan tempat merebaknya penyakit berjangkit atau berada di kalangan perokok juga perlu dijauhi kerana ia sangat memudaratkan kesihatan. Selain itu halang anak-anak daripada mengunjungi tempat-tempat maksiat, melayari internet tanpa batasan atau memiliki telefon pintar dan gadget yang akhirnya akan menyebabkan hilang kawalan oleh ibu-bapa sendiri dan membuka peluang mereka melayari bahan-bahan lucah. Keadaan ini akan mengakibatkan ketagihan sehingga memudaratkan kesihatan mereka dan tidak mampu menjadi generasi yang mempunyai ketahanan yang kuat untuk membela agama dan negara.

Apabila anak-anak dan isteri mempunyai kesihatan yang tidak baik, suami atau bapa bertanggungjawab untuk mencari orang-orang yang mampu memulihkan kesihatan mereka, seperti para doktor dan perawat Islam. Penyakit yang dimaksudkan terdiri daripada dua jenis iaitu penyakit luaran yang dihidapi seseorang individu dan mampu dilihat dan dianalisa, ia mampu dirawat oleh para doktor perubatan manakala penyakit dalaman yang berkaitan sihir, gangguan syaitan dan sebagainya, perlu dirujuk kepada perawat perubatan Islam dan elakkan mendapatkan rawatan melalui bomoh atau perawat yang mengamalkan sesuatu yang bertentangan dengan agama. Daripada Jabir bin Abdullah RA menyebut, Rasulullah SAW bersabda, “Setiap penyakit ada ubatnya. Dan apabila ubat mengenai penyakit itu, Allah akan menyembuhkannya dengan izin daripada-Nya.”

Selain itu sebagai seorang bapa, biasakan anak-anak bersukan dan aktif di dalam program kemasyarakatan. Galakkan mereka berani untuk melakukan sesuatu yang membawa kepada kebaikan dan berani kehadapan atau menyuarakan kebenaran. Elakkan sifat malu yang keterlaluan sehingga tidak berani melakukan sesuatu, berikan dorongan kepada mereka untuk mendekati para alim ulama kerana ia amat digalakkan di dalam Islam. Rasulullah juga mengingatkan umatnya bahawa tidak ada pada sesuatu perkara yang dikaitkan dengan zikir kepada Allah dan dianggap sebagai sesuatu yang melalaikan kecuali pada empat perkara. Iaitu mengajar anak-anak dengan kemahiran memanah dan mengajar mereka teknik menunggang kuda. Selain itu bergurau senda dengan isteri dan anak-anak serta mengajar mereka berenang juga dianggap sebagai berada di dalam situasi berzikir kepada Allah.

Sebagai bapa juga perlu membiasakan anak-anaknya untuk hidup di dalam suasana yang penuh dengan ketegasan dan memberi perhatian terhadap apa yang lakukan. Malah biasakan mereka berada di dalam kehidupan yang tidak terlalu bermewah-mewah dan diajar dengan adab-adab dan akhlak yang baik. Biasakan juga anak-anak untuk mempunyai matlamat dan tujuan di dalam hidup yang dapat membentuk sifatnya sebagai lelaki atau perempuan yang baik. Setiap perkara yang mereka lakukan perlu ditetapkan matlamat dan fokus untuk mencapai sesuatu dan sering mengingatkan mereka untuk mengelakkan sikap suka bertangguh untuk melakukan sesuatu amalan atau meniru perkara yang mendorong kepada keruntuhan akhlak dan moral manusia. Rasulullah juga berpesan agar menjaga perkara yang berfaedah pada diri manusia dan memohon bantuan daripada Allah serta memiliki semangat yang kuat untuk meneruskan kehidupan.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 23 November 2017
Scroll to Top