Menggapai Bintang di Langit

Setiap kali kita membuka lembaran kisah daripada al-Quran, pastilah cerita dan kisah orang sukses yang dirakamkan. Kisah-kisah ini merupakan satu daripada bintang-bintang yang menyinari perjalanan kehidupan para Rasul dan Nabi. Pada minggu ini, perbincangan rancangan Ibrah oleh Ustaz Muhammad Syaari Abdul Rahman di IKIMfm membicarakan tentang bintang.

“Jika kamu terlihat bintang, maka kamu menemui sejarah, dan kalau kamu melihat bintang, maka kamu menemui ibrah.” Itulah sandaran dan metafora yang diungkapkan melalui bintang. Istilah ‘terlihat dan melihat’ pastinya mempunyai perbezaan. Jika kita hanya terlihat, tentulah penglihatan tersebut tanpa sedar dan tanpa melalui perasaan. Tetapi, jika kita menggunakan penglihatan dengan melihat, tentulah peristiwa yang berlaku itu dihayati dengan  mendalam melalui kedalaman akal tafsiran.

Firman Allah Taala dalam Surah Yusuf ayat 3 yang bermaksud, “Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah dengan jalan Kami wahyukan kepadamu al-Quran ini, padahal sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu itu, adalah dari orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya.”

Wahyu adalah cahaya bagi menerangi kehidupan. Cahaya yang hadir bukan sekadar di mata tetapi di mata hati. Apabila kita menyebut bintang, maka bintang-bintang ini mewarnai penglihatan kita dengan kaca mata sejarah. Kita melihat apa yang berlaku pada masa silam melalui sejarah. Dan, sejarah-sejarah para Nabi dan Rasul itulah yang dirakamkan al-Quran melalui 25 Rasul Allah itu.

Dalam memahami metafora inilah, bintang adalah simbolnya. Sebagaimana proses didikan anak-anak, ibu bapa barangkali terlupa membawa anak mereka melihat bintang. Kerana, hanya bintanglah, anak-anak mampu diajar untuk berfikir dan merenung kejadian alam semesta ini.

Sebagaimana firman Allah Taala dalam Surah Al-Mulk ayat 3-4 yang bermaksud, “Dialah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandanganmu dan dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan? Kemudian ulangilah pandangan kamu berkali-kali, nescaya pandanganmu itu akan berbalik kepadamu dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang dia pula berkeadaan lemah lesu (kerana habis tenaga dengan sia-sia).

Bintang inilah yang merupakan cahaya utama. Bintang daripada dua puluh lima para Rasul. Mereka ini adalah bintang-bintang bercahaya yang telah menyinari melalui proses pentarbiahan, pendidikan, ujian dan cabaran yang dilalui mereka. Kita melihat, Nabi Yunus a,s, menjadi bintang  di kalangan para pengikutnya. Begitu juga Nabi Musa a.s. dan Nabi Haron a.s. adalah bintang di bumi Mesir berhadapan dengan Firaun.

Nabi Ibrahim a.s. adalah bintang paling hebat dalam berdebat. Nabi Sulaiman a.s. pula hebat di dalam bidang politik dan kepemimpinan dan yang boleh menyelesaikan masalah dalam pengurusan. Justeru, tiada kebetulan dalam penciptaan Allah terhadap nabi-nabinya itu yang mempunyai bintang tersendiri. Perumpamaan ini seperti planet dan bintang yang sentiasa bercahaya dan mempunyai peranan sendiri dalam menjalankan tugasnya.

Perjalanan bintang-bintang yang dirakamkan di dalam al-Quran ini mempunyai kisah masing-masing. Walau bagaimanapun, terdapat tiga Nabi yang hanya disebutkan nama sahaja dan tidak dihuraikan secara terperinci tentang ‘bintang’ itu. Mereka ialah Nabi Idris a.s., Nabi  Zulkifli a.s., dan Nabi Ilyasa a.s.

Selain daripada para Nabi, empat khulafa al-Rasyidin juga mempunyai karektor dan bintang-bintang tersendiri. Nabi Muhammad s.a.w. membentuk keperibadian para sahabatnya sebagai bintang untuk menjadi tauladan kepada ummah. Bintang-bintang seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman dan Saidina Ali unggul menjadi watak utama pada zaman sahabat. Perumpamaan terhadap bintang-bintang yang dinyatakan ini melihatkan sejauhmana perwatakan tokoh kepimpinan yang wajar dimiliki.

Abu Hurairah menceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah berkata, “Selepas peninggalan aku, akan muncul pemimpin-pemimpin. Antara pemimpin-pemimpin ini, terdapat mereka yang baik dan ada juga yang jahat. Taatilah dan patuhi pemimpin-pemimpin ini selagi mereka mengarahkan perkara yang benar. Solat di belakang mereka. Sekiranya pemimpin ini melakukan kebaikan, ganjarannya bagi kamu semua dan bagi pemimpin tersebut. Tetapi sekiranya pemimpin melakukan keburukan, kalian tetap mendapat ganjaran dan pemimpin tersebut mendapat dosa.” (Hadith riwayat at-Tobari)

Justeru, bagi menggapai bintang yang bersinar carilah bintang yang benar-benar memberi kefahaman yang sebenar terhadap agama. Al-Quran telah merakamkan perjalanan bintang-bintang ini dengan lengkap.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 24 Februari 2015
Kongsi artikel ini di:

Syafiq Salleh

Merupakan Penyampai dan Penerbit Rancangan Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Mengendalikan segmen Destinasi IKIMfm serta terlibat dalam suntingan artikel dan berita. Mendapat pendidikan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Kejuruteraan Perisian) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Memilik Diploma Teknologi Maklumat (Pengaturcaraan) dari Politeknik Malaysia. Boleh dihubungi melalui email msyafiq@ikim.gov.my