Mengenali, Mencintai & Meneladani Imam Syafie

MENCINTAI dan meneladani orang soleh merupakan satu kejayaan. Disebutkan di dalam sebuah syair Arab yang bermaksud “Maka hendaklah kamu mencontohi orang-orang yang mulia walaupun kamu tidak seperti mereka kerana mencintai orang-orang yang mulia itu merupakan satu kejayaan”.

Menerusi segmen Ibrah (Salafus Soleh) yang bersiaran di IKIMfm setiap Isnin, Ustaz Muhadir Hj. Joll berkongsi kisah mengenai Imam As-Syafie. Nabi SAW bersabda “Sesungguhnya nanti, akan hadir seorang yang berketurunan Quraisy yang mana ilmunya memenuhi dunia”. Imam Ahmad ibn Hambal yang menghafal sejuta hadith, katanya “Orang yang disebutkan di dalam hadith tersebut adalah guruku, Imam As-Syafie”.

Imam Syafie berketurunan Rasulullah SAW, ahli Feqah bagi umat dan penolong kepada sunnah. Beliau lahir di Ghazza, Palestin pada hari yang sangat mulia, Jumaat juga pada bulan yang mulia, Bulan Rejab pada tahun 150 Hijrah. Tahun yang sama pada hari yang sama, meninggal dua orang ulama yang besar, Imam Abu Hanifah di Baghdad dan Imam Ibnu Juraih di Makkah. Beliau merupakan seorang yang tinggi serta memiliki pipi yang bujur. Lehernya panjang serta bahu dan betisnya tegap. Wajahnya kacak dan kemerah-merahan.

Imam Syafie sangat mementingkan ilmu dan bahasa kerana baginya bahasa merupakan kunci kepada ilmu. Beliau ingin benar-benar mempelajari bahasa arab yang fasih sehingga beliau ke satu kawasan Bani Huzail kerana di kawasan tersebut mereka paling fasih berbahasa arab. Beliau mendalami bahasa dan sastera arab sehinggalah suatu hari beliau berjumpa dengan seorang badwi di kawasan perkampungan Bani Huzail. Lalu badwi tersebut bertanya kepada Imam Syafie mengenai persoalan Haid, tentang Fiqh. Mendengarkan soalan itu, Imam Syafie menjawab “Aku tidak tahu”. Lantas badwi tersebut berkata kepda Imam Syafie “Wahai anak saudaraku, sesungguhnya kefardhuan itu ilmu Fiqh lebih penting lagi daripada ilmu yang sunat (imu bahasa)”. Imam Syafie kemudian lantas berfikir.

Satu peristiwa yang lain Imam Syafie ditanya oleh penjaga Kaabah mengenai perihalnya mempelajari ilmu bahasa. Kemudian Imam Syafie berfikir. Penjaga Kaabah tersebut kemudian berkata “Belajarlah Fiqh nescaya kamu akan diangkatkan darjatmu oleh Allah SWT”. Kata Imam Syafie “Aku mendapat manfaat daripada Allah melalui perkataan orang itu. Lalu aku pun belajar ilmu hadith melalui Imam Sufyan Ibn Yunainah. Kemudian aku belajar dan duduk bersama guruku, Imam Muslim ibn Khalid mengenai ilmu fiqh. Aku kemudian mendekati Imam Malik untuk mempelajari sejarah, namun Imam Malik katakan “hendaklah kamu mempelajari fiqh akan diangkatkan darjatmu”.

Imam Syafie telah menghafal Al-Quran ketika usianya tujuh tahun dan mengafal kitab Muwatta’ Imam Malik ketika berusia sepuluh tahun. Beliau menghafal Kitab Muwatta’ yang memliki hampir tujuh ribu hadith dalam masa sembilan malam. Ketika Imam Syafie mendatangi Imam Malik untuk mempelajari Kitab Muwatta’ itu, beliau telah membacakan keseluruhan kitab tersebut sehingga khatam tanpa melihat kepada teks kitab tersebut. Setelah itu, beliau bertanyakan persoalan agama kepada Imam Malik. Bersilih ganti soalan demi soalan beliau ajukan kepada Imam Malik. Lalu Imam Malik mengatakan “Kamu ini seolah-olah mahu menjadi qadi”. Imam Malik telah mengesan bakat dan kehebatan Imam Syafie sejak kecil lagi.

Dari segi keluasan ilmu Imam Syafie, Al-Qadi Yahya Ibn Mansoor berkata “Aku bertanya kepada Imam kepada imam para hadith, Imam Ibn Khuzaimah “adakah tuan tahu mengenai sunnah Rasulullah SAW yang berkaitan halal dan haram yang tidak diletakkan oleh Imam Syafie di dalam kitabnya?” Beliau katakan tidak, kerana seluruh hadith itu berada di dalam kitab Imam As-Syafie”.

Keilmuan Imam Syafie bukan sahaja diperakui oleh rakan-rakannya, bahkah guru beliau, Imam Sufyan Ibn Yunainah. Imam Syafie ketika usia lima belas tahun sudah diizinkan oleh gurunya, Imam Muslim ibn Khalid al-Zanji untuk memberi fatwa. Begitu hebat ketokohan dan keilmuan Imam Syafie untuk kita teladani dan hayati kisahnya.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 18 Julai 2017
Scroll to Top