Mengenali, Mencintai & Meneladani Imam Malik (Bhgn 2)

KEWIBAWAAN Imam Malik bin Anas sangat luar biasa. Beliau juga sangat digeruni oleh penuntut-penuntut ilmu bukan kerana bengis, tetapi kerana tegasnya beliau. Ketegasan dan kewibawaan beliau bukan terserlah di kalangan anak muridnya sahaja, bahkan di kalangan pemimpin. Pernah satu ketika, Khalifah Harun ar-Rashid perintahkan Imam Malik mengadap baginda bagi mengajarkan ilmu hadith. Lalu Imam Malik berkata “ilmu itu didatangi (dituntut), bukan ilmu itu yang pergi untuk kamu menunggunya.” Khalifah Harun ar-Rashid ketika itu akur dan baginda sendiri pergi ke rumah Imam Malik bagi menuntut ilmu.

Ketika di rumah Imam Malik, satu peristiwa lagi berlaku. Khalifah Harun ar-Rashid duduk sambil bersandar di dinding. Imam Malik sekali lagi menegur baginda. Katanya “Wahai Amirul Mukminin, antara tanda memuliakan Rasulullah, ialah memuliakan ilmu itu.” Terus Khalifah Harun ar-Rashid duduk dengan tertib di hadapan Imam Malik untuk mendengar beliau bait-bait hadith yang diriwayatkan oleh beliau. Benarlah seperti yang disebut Ibnu al-Khayyad ketika memuji Imam Malik, katanya “tidak menjawab bukanlah bermakna menghilangkan kehebatan, orang-orang yang bertanya menundukkan dagu-dagu tanda penghormatan, ketakwaan itulah yang menjadikan cahaya ketinggian dan lebih mulia daripada sultan, dialah yang digeruni kerana kewibawaannya sedangkan dia bukan seorang sultan.”

Khalifah selepas itu, Khalifah Jaafar al-Mansur pernah mendengar riwayat hadith daripada Imam Malik melalui kitab Muwatta’ yang sangat terkenal itu. Lalu kata Khalifah Jaafar al-Mansur “aku berazam untuk menjadikan kitab ini sebagai rujukan orang ramai. Akan disalin nanti dan aku akan perintahkan setiap naskah dihantar ke setiap wilayah pemerintahan Islam dan aku akan perintahkan mereka beramal mengikut pendapat di dalam kitab Muwatta’ dan tinggalkan pendapat yang lain selain daripada pendapat dalam kitab tersebut kerana aku melihat kandungannya adalah rujukan asal ilmu mengikut para ulama Madinah.”

Imam Malik kemudian menunjukkan sikap ahli fikah yang sebenar, ahli takwa yang zuhud dan orang yang mengenal akan hikmah dan rahsia fikah dan syariat. Kata beliau “Wahai Amirul Mukiminin, jangan lakukan. Sesugguhnya manusia telahpun menerima akan pendapat-pendapat. Mereka telah mendengar hadith-hadith serta mereka meriwayatkan yang bukan satu bahkan banyak. Setiap kaum dan kelompok itu mereka menerima apa yang datang kepada mereka dan mereka beramal dengan pendapat yang mereka pegang serta mereka menulis akan pendapat-pendapat itu. Sebab pendapat-pendapat ini, datang daripada khilaf dan pandangan para sahabat Rasulullah SAW dan orang-orang lain daripada mereka. Sesungguhnya kita mahu kembalikan daripada apa yang telah mereka pegang itu, adalah satu perkara yang sangat tegas. Wahai Amiurul Mukminin, biarkanlah sahaja manusia atas apa yang mereka pegang dan apa yang dipegang oleh setiap kumpulan atas diri mereka sendiri.” Ini sikap yang sangat hikmah, menunjukkan toleransi dalam fiqah, menerima pendapat orang lain dan tidak hanya berpegang kepada pendapat sendiri.

Sekiranya kita berbicara mengenai bab hadith, Imam Malik merupakan insan yang sangat luar biasa sehingga para ulama katakan “sekiranya hadith yang diriwayatkan oleh Imam Malik daripada gurunya, Nafiq dan Ibnu Umar, inilah yang dikatakan ‘rantai emas’ iaitu sahih.” Imam al-Bukhari mengatakan “daripada Ali bin Abdillah untuk Imam Malik, beliau meriwayatkan hadith daripada Imam Malik lebih daripada seribu hadith.” Imam Yahya ibn Ma’in berkata “semua yang diriwayatkan oleh Imam Malik daripada mereka adalah thiqah melainkan Abu Umayyah sahaja.” Malah Imam as-Syafie turut memuji guru beliau ini dalam ilmu hadith, katanya “Jika berbicara tentang hadith, maka Imam Malik lah tokohnya. Apabila datang hadith kepadamu daripada Imam Malik, maka peganglah ia seutuhnya.” Imam Ibnu Uyainah mengatakan “Imam Malik tidak meriwayatkan hadith melainkan hadith yang sahih. Beliau tidak meriwayatkan hadith melainkan daripada perawi yang thiqah. Aku tidak pernah melihat bumi Madinah muram dengan ilmu melainkan setelah wafatnya Imam Malik.”

Kecintaan Imam Malik kepada Baginda Nabi SAW sangat hebat dan beliau sangat mencintai hadith Nabi SAW. Beliau tatkala meriwayatkan hadith dan saat itu terdapat orang bercakap-cakap, beliau akan marah. Kata beliau “wahai kamu, jangan angkat suara kamu lebih tinggi daripada suara Nabi SAW.” Walhal hadith ini bukan mengenai orang yang bercakap ketika hadith diriwayatkan, tetapi kerana cinta beliau kepada ilmu hadith. Di rumah Imam Malik terdapat seorang pembantu dan apabila orang datang mengetuk pintu, lalu pembantu ini akan bersegera membukanya dan bertanya mengenai hajat mereka yang hadir. Sekiranya mereka hadir untuk bertanyakan tentang hukum hakam, lalu Imam Malik bersegera pergi kepada mereka. Tetapi sekiranya ada orang mengatakan ingin mendengar hadith diriwayatkan oleh Imam Malik, maka beliau akan katakana “tunggu sebentar”. Saat itu, Imam Malik masuk ke bilik mandi serta mengenakan pakaian berwarna putih yang sangat harum. Beliau akan berserban dan memakai penutup di kepala. Kemudian akan dipersilakan masuk dengan penuh hormat. Beliau tidak akan mengajar hadith kecuali setelah dibakar bakhur (wangi-wangian) dan diambil tempat duduk khas bagi mengajar hadith. Lalu apabila beliau membacakan riwayat hadith sebelum sempat masuk ke bahagian hadith tersebut, lalu mengalir airmata kerana rindukan Baginda Nabi SAW.

Itulah antara sebab mengapa beliau enggan tinggalkan bumi Madinah. Imam Malik meninggal dunia pada bulan Rabiul Awwal, tahun 179 Masihi, pada hari Ahad, 22 hari selepas beliau sakit dengan umur yang sangat berkat dan ilmu yang sangat bermanfaat. Umur beliau pada ketika itu ialah sekitar 89 tahun.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 5 September 2017
\"\"
Scroll to Top