Mengambil Apa Yang Baik

DALAM masyarakat yang berbilang kaum dan dunia yang sudah semakin mengecil menjadi apa yang disebutkan oleh Marshall McLuhan sebagai “global village” atau “perkampung global” disebabkan oleh kewujudan internet, budaya dan adat sesuatu masyarakat atau kaum akan mudah dikesan dan diketahui bahkan turut ditiru dan diserap oleh bangsa lain kemudiannya.

Ketika umat Islam menyambut Hari Raya baru-baru ini, berlegar beberapa persoalan berhubung dengan apakah hukum “menyerupai orang bukan Islam” atau dalam bahasa Arabnya disebut “al-tasyabbuh bil kuffar” beberapa perbuatan yang asalnya adalah perbuatan atau amalan bangsa lain. Contoh, seperti pemberian sampul wang raya yang asalnya ditiru dari sampul angpow kaum Cina ketika mereka merayakan Tahun Baru Cina.

Ini kerana ada hadith Sahih daripada Baginda SAW melalui pelbagai jalur periwayatan antaranya  daripada Abdullah ibn Umar RA yang menegah “menyerupai kaum kafir” sepertimana mafhumnya,  “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia sebahagian daripada mereka”  (HR Abu Dawud).

Hadith ini jika difahami secara literal ia seolah membawa maksud bahawa apa sahaja amalan yang kita tiru menyerupai kaum lain khususnya kaum bukan Islam, maka kita juga menjadi sebahagian daripada mereka dan kafir (Naudhubillahi min dhalik!).  Fahaman sebegini adalah fahaman yang salah dan simplisitik yang tidak merujuk kepada syarah atau tafsiran para ulama muktabar berhubung mafhum sebenar hadith tersebut.

Tokoh hadith dan imam dalam Mazhab Shafie, Imam Ibn Hajar al-Haytami al-Makki (wafat 974H) dalam kitabnya al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra dalam bab al-Riddah (Murtad) menyebut bahawa “menyerupai kaum kafir” atau tasyabbuh bil kuffar itu terbahagi  kepada  tiga hukum:

  • Pertama, apabila ada unsur redha dengan kekafiran mereka maka hukumnya haram dan jatuh kafir;
  • Kedua, apabila ada unsur meninggikan syiar agama bukan Islam, tetapi tiada niat redha dengan kekufuran mereka, maka hukumnya haram dan berdosa;
  • Ketiga, apabila tiada niat “menyerupai” sama sekali, maka hukunya harus.

Daripada syarah Imam Ibn Hajar al-Haytami ini dapat kita fahami bahawa tasyabbuh bil kuffar atau “menyerupaik kaum kafir” itu ada dua jenis: ada yang diharamkan dan ada yang diharuskan. Yang diharamkan dalam Islam ialah apabila kita meniru atau menyerupai amalan-amalan atau perbuatan yang melibatkan amalan khusus ajaran agama bukan Islam, dan meninggikan syiar agama mereka. Sekiranya kita meniru amalan-amalan agama bukan Islam tersebut dan redha dengannya, maka ia boleh membawa kepada kafir, manakala sekiranya kita tidak meredhainya tetapi masih meniru amalan tersebut, maka ia tetap berdosa dan haram. Adapun dalam hal-hal yang bukan khusus melibatkan amalan agama orang bukan Islam, maka ia diharuskan .

Hakikatnya hari ini banyak perkara-perkara yang tidak berasal daripada umat Islam dan kita mengambil dan menirunya, dan menggunakannya. Sebagai contoh segala kemudahan dan penciptaan teknologi hari ini hampir kesemuanya berasal daripada orang bukan Islam khususnya daripada Barat tetapi umat Islam seluruh dunia menggunakannya hatta di Mekah dan Madinah pun.

Pernah suatu ketika heboh dibincangkan apakah hukum menggunakan facebook kerana ianya diasaskan oleh seorang yang dikatakan Yahudi bernama Mark Zuckerberg? Jika mengambil kira ianya berasal daripada penciptaan orang bukan Islam dan menggunakannya maka bermakna “menyerupai” mereka, maka haramlah menggunakan facebook?. Bahkan bukan sahaja facebook termasuklah juga elektrik, lampu, kereta, kapalterbang, telefon dan sekalian yang lain kerana tiada satu pun itu adalah daripada penciptaan umat Islam. Allamah Sayyid Muhammad Amin ibn Abidin al-Shami atau lebih dikenali sebagai Ibn Abidin dalam kitabnya Radd al-Mukhtar ala al-Dur al-Mukhtar menyebut bahawa Baginda SAW sendiri pernah memakai alas kaki (selipar/kasut) yang diperbuat oleh orang bukan Islam. Peristiwa ini juga menjadi dalil bahawa tidak semua yang berasal daripada orang bukan Islam itu haram digunakan secara mutlak.

Berpakaian sepertimana kita berpakaian hari ini dengan berkemeja dan berseluar panjang dan bertali leher misalnya, atau makan dengan sudu dan garpu adalah antara perkara-perkara asing dan luar daripada adab umat Melayu dan umat Islam. Dahulukala umat Melayu memakai kain sarung atau kain pelikat dan yang memperkenalkan fesyen berseluar ini dipercayai daripada Barat. Adakah haram hukumnya berseluar dan menggunakan sudu garpu ketika makan? Tidak, kerana ianya tiada kena mengena dengan amalan ajaran agama Kristian atau agama mana-mana, sekalipun ianya bukan berasal daripada amalan atau adat umat Islam. Namun tidak dinafikan berpakaian dengan pakaian yang melambangkan identiti Islam itulah lebih baik.

Begitu juga setiap kali tiba musim sambutan perayaan Hari Ibu, Hari Bapa, atau hari-hari peringatan seumpama itu akan muncul suara-suara yang memilih berpegang kepada pandangan segelintir ulama Timur Tengah mengharamkannya kerana ianya tidak berasal daripada ajaran Islam. Benar, ianya bukan ajaran Islam sepertimana juga sambutan Hari Lahir, Hari Kemerdekaan, Hari Guru, Hari Polis, Hari Pahlawan namun sambutan tersebut juga tiada kena dengan mana-mana amalan agama bukan Islam. Ia lebih kepada adat, dan hari peringatan bagi menghargai sumbangan golongan tertentu walaupun ia bukan budaya Islam asalnya, namun ia tidaklah salah. Sambutan hari-hari tersebut sudah pastilah bukan menyamai atau menyaingi perayaan yang disyariatkan Islam kerana yang disyariatkan hanyalah Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha sahaja, sepertimana tegas Baginda SAW melalui Hadithnya.

Kesimpulannya, sementara umat Islam digalakkan untuk berbeza serba serbi daripada amalan orang bukan Islam dan mempunyai identiti tersendiri, dan jika pun mahu meniru tirulah apa yang dilakukan oleh para anbiya dan solihin sepertimana disebut “menyerupailah orang mulia, walaupun kamu bukan sebahagian daripada mereka“,  namun ada ketikanya di sana ada keperluan dan maslahah yang lebih besar untuk umat Islam turut  sama mengambil apa yang baik daripada amalan masyarakat bukan Islam, maka ianya dibenarkan sekiranya ianya menepati syarat-syarat berikut:

  • ia bukan syiar agama orang kafir dan bukan khusus amalan mereka;
  • ia bukan sebahagian daripada amalan ibadat mereka seperti meniru sujud, rukuk mereka dan sebagainya. Wallahu’alam.
Rencana yang disiarkan ini merupakan pandangan peribadi penulis sendiri
Kongsi artikel ini di:

Dr. Nik Roskiman Abdul Samad

Merupakan Pengarah Pusat Media Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Aktif menulis dalam akhbar dan majalah termasuk menjadi kolumnis majalah Q&A. Memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pengkhususan dalam bidang tasawuf dari Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Beliau boleh dihubungi melalui emel roskiman@ikimfm.my