Mencari Keberkatan Dalam Kerja

“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”. (Al-A’raaf ayat 96)

Pekerjaan bukan sekadar memenuhi keperluan hidup, tapi punya perkaitan dengan tujuan hidup iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah dan menjadi khalifah yang memberi kebaikkan kepada orang lain. Sesungguhnya kerja itu seharusnya bermula dari hati dan penuh hati-hati.

Pertemuan bersama Ustaz Pahrol Mohd Juoi minggu lalu memberi kesempatan pendengar program Islam Itu Indah untuk memahami dan menguasai makna sebenar di balik perkataan berkat terutama menerusi pekerjaan yang mejoriti individu dewasa akan memperuntukan 1/3 daripada hari dengan aktiviti tersebut. Keberkatan inilah yang menjadi asas dalam menghidupkan kehidupan dengan kata kunci iman dan taqwa.

Menyorot kaedah mengapai keberkatan iaitu iman dan taqwa, para ulama menarifkan iman sebagai sesuatu yang diikrarkan dengan lisan, diakui dengan hati kebenarannya dan dibuktikan dengan perbuatan. Manakala taqwa pula berasal dari makna perkataan berhati-hati dan berjaga-jaga dalam hidup agar sentiasa diatur dan disusun mengikut peraturan daripada Allah SWT. Jelas kedua-dua iman dan taqwa ini datangnya dari hati sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Taqwa itu letaknya di sini,” sambil meletakkan tangan di dada menggambarkan lokasi hati itu berada.

Panduan untuk melunaskan pekerjaan dengan iman dan taqwa dalam meraih keberkatan perlu dimulakan dengan niat yang lazimnya ditunjangi oleh tiga niat utama seseorang iaitu sebagai sumber rezeki, bagi membiayai keluarga dan untuk memberi kebaikan dan perkhidmatan kepada masyarakat dan Negara. Niat itu cukup baik, tetapi persoalannya; dimanakah Allah dalam ketiga-tiga niat tersebut?

Bekerja bukan sekadar mencari rezeki semata tetapi untuk mencari rezeki yang halal yang sangat-sangat dituntut oleh Allah SWT sebagaimana firmanNya, “Wahai orang-orang yang beriman ! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu”. (Surah al-Baqarah ayat 172) dan Rasulullah menegaskan juga di dalam sabdanya, “Mencari yang halal adalah fardhu (wajib) bagi setiap orang Islam.” (Riwayat Dailami). Sesungguhnya, mencari rezeki yang halal miliki talian hayat yang terkait dengan Allah.

Apabila kerja diniatkan utuk menyara dan membiayai keluarga bagi seorang lelaki dan suami hakikatnya ia adalah kewajipan. Wajib itu takrifan dalam syariat adalah sesuatu yang dibuat dapat pahala dan berdosa meninggalkannnya di sisi Allah SWT. Begitu juga pada niat kerja kerana ingin memberi kebaikan dan perkhidmatan kepada masyarakat dan Negara. Luaskan kefahamannya dengan mengambil sabda Rasulullah SAW mafhumnya, “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia yang lain”. Melakukan tugasan dengan sesuatu yang didorong oleh Rasulullah SAW dan seperti yang termaktub di dalam al-quran bahawa setiap tutur Rasulullah adalah dorongan daripada Allah SWT menerusi firmanNya, “Rasulullah tidak berkata melainkan wahyu Allah.” (Surah al-Najm ayat 3 dan 4).

Dari sudut taqwa pula, penting bagi pekerja menghindar daripada perkara-perkara yang haram seperti curi masa, curi tulang, umpat-mengumpat, tikam belakang, memfitnah, menindas, rasuah dan banyak lagi. Bagi yang bekerja atas batas taqwa, perkara-perkara seumpama itu akan dihindar dan perkara-perkara wajib yang digalakkan oleh syariat akan dilakukan dengan penuh kesungguhan, efektif,efisyen dan penuh etika sebagaimana sabda Rasulullah SAW mafhumnya, “Sesungguhnya Allah mencintai seseorang yang apabila mengerjakan sesuatu pekerjaan dilakukannya dengan penuh kesungguhan (itqan)”. (Riwayat al-Baihaqi).

Berkat atau barakah dari segi bahasa bermaksud bertambah dan berkembang. Imam An-Nawawi menggariskan barakah sebagai suatu kebaikan yang melimpah-ruah secara berterusan. Tatkala bekerja dengan iman yang mempengaruhi niat dan taqwa yang terjelma dalam perlaksanaan kerja akan menghasilkan barakah. Kebaikan barakah ini akan terpancar kepada tempat, orang, benda, masa dan amalan. Sebagai contoh Allah berfirman mafhumNya, Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui. “ (Surah al-Isra’ ayat 1). Ini merujuk kepada keberkatan pada tempat. Selain itu, menerusi surah Maryam merujuk keberkatan seorang nabi iaitu nabi Isa yang akan menjadi “berita gembira” buat umat Muhammad SAW membuktikan berkat yang terletak pada seseorang. Pada benda pula Allah menegaskan bahawa pada al-quran itu ada keberkatan. Benda di sini merujuk kepada al-quran. Satu pertiga malam juga adalah berkat yang merujuk kepada masa sepertimana keberkatan berdoa di antara dua khutbah. Berkat juga Allah letak pada amalan seperti amalan bersahur dan duduk di dalam majlis ilmu.

Hikmah Allah meletakkan barakah itu pada makhluk sebagai pemangkin untuk manusia berfikir bahawa bukan makhluk yang memberi berkat tetapi Allah meletakkan kebaikan pada makhluk itu untuk disebar dan dikembangkan kebaikannya kepada yang lain. Asbab kelebihan-kelebihan berkat yang ada pada makhluk-makhluk seperti masa, tempat, benda dan sebagainya itu akan menghampirkan manusia kepada Allah yang memberi berkat.

Berkat itu tidak ketara dek mata, tapi dapat dirasa. Tidak diukur pada kuantiti harta tapi letak pada kualiti jiwa. Dengan barakah akan peroleh ketenangan di samping kesenangan. Menerusi berkat, sedikit mencukupi banyaknya bisa dibahagi dan diberi. Melalui keberkatan kerja akan raih kepuasan tugasan lebih daripada itu kemanisan beribadah. Semakin tinggi prestasi kerja semakin rendah hatinya. Teruskan kerja dengan mencari berkatnya yang merata.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 15 April 2015
Kongsi artikel ini di:

Norhayati Paradi

Merupakan penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Motivasi Pagi, Agama dan Peradaban, Dimensi, Dinamika dan banyak lagi.