Memperkasa Pemikiran Islam

ERA baharu yang sarat dengan pembaharuan fizikal dan material, mendatangkan cabaran besar ke atas pemikiran Islam. Pemikiran Islam perlu dijaga dan diperkasa daripada sebarang bentuk noda kerana ia merupakan asas kepada pembentukan peradaban Islam. Sekiranya kabur pemikiran Islam maka akan malaplah peradaban Islam. Sekiranya tiada pemikiran Islam, lenyapkah hasrat membina peradaban Islam.

Secara tradisinya istilah pemikiran Islam ini bukanlah wujud secara harfiah dalam al-Quran atau pun al-Hadith, tetapi istilah ini dikenali ketika berkembangnya cabaran terhadap Islam. Dan istilah tersebut dilahirkan dalam perjuangan pemikir-pemikir dan ulamak Islam terdahulu ketika Islam sudah sarat dalam kemunduran. Istilah ini juga diperkenal bagi mengimbangi perkembangan tamadun atau pemikiran Barat.

Ringkasnya istilah pemikiran Islam itu diperkenal bagi tujuan menjaga peradabaan Islam supaya tidak tergugat dengan pembangunan peradaban lain. Pemikiran Islam umumnya merupakan pemikiran atau penilaian yang dibuat menurut pandangan atau sudut pandang Islam. Ringkasnya juga pemikiran Islam itu mengandungi tiga unsur, iaitu fakta, hukum dan hubungan antara fakta dan hukum. Pemikiran Islam ini wujud dalam dua ruanglingkup yang luas, iaitu, dalam soal akidah atau hal bersifat ketuhanan dan juga amal syariah. Dalam kata lain, pemikiran Islam melibatkan persoalan berkaitan kepercayaaan Islam dan amalan kepada kepercayaan Islam.

Pemikiran Islam dalam kedua-dua aspek ini telah menjadi target dalam beberapa agenda barat seperti agenda hiburan, liberalisme, kesamarataan antara agama dan agenda hak asasi yang berbentuk human rightism atau ideologi hak asasi yang mengenepikan peranan agama, terutamanya dalam hal-hal yang melibatkan gender atau orientasi seks.

Cabaran, bahkan ada yang menggap sebagai ancaman kepada pemikiran Islam ini telah menjadi tajuk utama pelbagai bahan bacaan serius ketika ini. Atas kacamata apa yang kita lihat, sama ada cabaran pemikiran ini semata-mata cabaran, atau ia juga adalah ancaman ke atas pemikiran Islam, apa yang pasti ialah, kita tidak boleh biarkan ia berterusan.

Walaupun secara umumnya cabaran sebegini bukanlah perkara baharu kerana ia telah berlangsung ketika Barat melakukan penjajahan fizikal ke atas negara-negara Islam.

Semasa era penjajahan fizikal ke atas negara-negara Islam itu, penerapan cara pemikiran Barat telah dikembangkan secara sistematik menerusi sistem pendidikan. Setelah ratusan tahun menjajah secara fizikal, cara berfikir atau pemikiran umat Islam juga telah berjaya diubah dan secara langsung telah dipengaruhi dengan kukuh sekali cara pemikiran Barat. Sehingga kini cara berfikir dalam pemikiran Barat tersebut telah menjadi sebati. Kesannya dapat dilihat dan dirasai sehingga kini.

Masyarakat negara kita juga tidak terkecuali daripada kesan tersebut. Kita melihat perkembangan semasa dalam negara, ia bukan mudah menanam pemikiran Islam secara total kerana kelangsungan kesan pemikiran Barat ke atas golongan yang mendapat pendidikan dalam sistem Barat itu masih lagi ketara di persada khalayak walaupun tidak semua mereka itu begitu.

Belum lagi bersih daripada kesan penjajahan fizikal dan kesan sistem pendidikan barat, umat Islam perlu menghadapi cabaran pemikiran cara baharu. Cabaran baharu ini lebih serius kerana ia bukan sahaja melibatkan pemikiran tentang hal-hal fizikal, tetapi bersifat pemikiran berkaitan ketuhanan atau bersifat akidah. Walaupun cabaran atau ancaman ke atas akidah umat Islam telah juga berlaku dahulu, tetapi kini ia amat ketara kerana agenda memisahkan agama berlaku dalam pelbagai wadah. Selain itu, mekanisme penyebaran pemikiran Barat itu juga begitu mudah berada dalam persada umum apabila jaringan internet menguasai massa. Kelangsungan pemikiran Barat yang ditanam melalui sistem pendidikan Barat juga menjadikan cabaran baharu tersebut mudah memasuki aliran pemikiran umat Islam.  

Umat Islam kini telah sedar, bahkan amat menyedari tentang cabaran atau ancaman pemikiran Islam tersebut. Oleh itu, gerakan memperkasa ummah sebagaimana seruan pimpinan hendaklah diambil peluang oleh seluruh umat Islam negara ini. Seruan tersbut tidak patut dianggap sebagai seruan politik atau semata-mata agenda politik. Ia adalah seruan dan agenda perjuangan ummah. Kesediaan pimpinan hendaklah dijadikan landasan untuk umat Islam memperkasa perjuangan untuk memelihara dan memperkasa pemikiran Islam.

Rencana yang disiarkan ini merupakan pandangan peribadi penulis sendiri
Kongsi artikel ini di:

Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abd Aziz

Prof. Madya Dr. Shamrahayu ialah Felo Utama Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang & Politik (SYARAK) di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Beliau turut mengendalikan slot Islam dan Perundangan di IKIMfm yang bersiaran langsung setiap hari Selasa jam 10.15 pagi.