Memandu Dengan Hati

Setiap kali cuti panjang bakal menjelma membawa kepada pelbagai jenis operasi dilaksanakan bertujuan untuk mengurangkan kadar kemalangan dan berlakunya kehilangan nyawa. Pesanan “Berhati-hati memandu” acapkali diluahkan tetapi kali ini menerusi Islam Itu Indah minggu lalu Ustaz Pahrol Mohd Juoi memperkenalkan slogan baru iaitu “memandu dengan hati”. Jalan raya boleh menjadi kayu ukur dan asbab muhasabah diri untuk tahu sifat mazmumah yang dimiliki. Jalan raya juga mampu memperkenalkan diri kepada warna sebenar dan litar di jalan raya adalah bayangan sebenar litar  kehidupan seseorang.

Bagai sudah menjadi budaya, sebahagian kehidupan seharian dihabiskan untuk menempuh kesesakan. Bayangkan dianggarkan dalam sehari seseorang itu akan menempuh kesesakan lalulintas selama dua jam atau lebih. Kebiasaanya kesesakan lalulintas ini berlaku di waktu pagi, di saat masa yang sangat dinamik dan berkualiti yang sewajarnya diisi dengan sesuatu yang benar-benar bermanfaat untuk memulakan hari. Ketika minda segar, ia diletihkan dengan satu ujian iaitu ujian kesesakan lalulintas. Itu adalah ujian dunia hari ini, ujian di zaman moden.

Bayangkan, masa dua atau tiga jam itu bukan sekadar panjang dari segi ukuran tetapi juga sangat berkualiti sebagaimana sabda Rasulullah SAW mafhumnya, Berpagi-pagi  adalah amalan supaya memperoleh keberkatan dan dimurahkan rezeki.” Agak malang apabila tiba waktu berkat itu , diri berada dalam keadaan tersekat dengan kesesakan lalulintas.

Perbandingan kira-kira mudah, solat yang didirikan hanya mengambil masa sepuluh minit sahaja. Manakala membaca al-quran pula tidak memakan masa selama kesesakan yang ditempuh. Beruntunglah kepada yang dapat memanfaatkan masa tersebut untuk beribadah sepertimana pesanan para guru dan murabbi bahawa kehidupan ini adalah untuk beribadah menepati firman Allah mafhumnya, Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (surah Adz-Dzaariyaat ayat 56). Tugasan dua puluh empat jam sebagai hamba Allah tidak pernah memilih tempat. Sewajarnya, waktu memandu itu juga dijadikan sebagai detik-detik penghambaan kepada Allah SWT. Ibadah bukan sekadar di atas sejadah, malah jalan raya juga mampu menjadi gelanggang ibadah.

Memandu adalah ibadah umum yang tidak secara terus kepada Allah tetapi memiliki hubungan sesama manusia. Memandu akan di kira ibadah sekiranaya sepanjang pemanduan diniatkan kerana Allah dan cara mengendalikannya sesuai dengan sunah Rasulullah SAW.. Rupa-rupanya, memandu juga boleh menjadi ibadah yang menjanjikan pahala. Tapi semua itu terletak kepada kebijaksanaan dalam mengatur dan menyusunnya mengikut prinsip yang ditetapkan, Jika tidak, memandu hanya menambah lagho dan sesak serta letih semata yang terkumpul sepanjang mengharung ujian kesesakan lalulintas itu.

Lebih malang lagi apabila berlaku perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat, adab dan akhlak dalam Islam. Pada ketika itu memandu mendatangkan dosa. Bayangkan jika dua jam itu dipenuhi dengan sumpah seranah dan dihiasi maki hamun segalanya menambah akaun dosa. Disebabkan kebanyakkan masa terbuang di atas jalan raya, maka usah bazirkan ia dan dibiarkan berlalu tanpa pengisian yang menguntungkan.

Di samping itu, jalan raya adalah tempat yang menyerlahkan dan menjelaskan diri yang sebenarnya. Warna diri yang sebenar akan terserlah di jalan raya kerana seluruh sifat-sifat mazmumah tercungkil. Jika marah, kemarahan itu akan dizahirkan melalui pemanduan di jalan raya. Jika bersifat dengan sifat mementingkan diri, maka sifat itu akan tertonjol di atas jalan raya. Oleh itu, sifat mahmudah juga secara tidak langsung akan teruji. Sifat belas kasihan, prihatin, sabar, memaafkan dan kasih sayang. Contohnya, jika ditakdirkan bertembung dengan seseorang yang ingin di beri laluan akibat tersilap lorong, teliti reaksi yang bakal diberikan. Jika sifat prihatin, kasihan dan sayang yang terpamer ini bermakna pemilihan untuk mendapatkan pahala atas kebaikan yang dilakukan. Lihatlah kepada menunggang dan pembonceng motorsikal yang perlukan belas kasihan dan sifat bertimbangrasa daripada mengguna jalan raya yang berkali ganda lebih besar saiznya. Dari situ menyubur sifat simpati dan mendidik rasa kasih sayang.

Sinario dipotong dari sebelah kiri yang menaikkan rasa marah atau sengaja melanggar lampu isyarat menjadi tanda sikap mementingkan diri sendiri. Sesungguhnya sifat-sifat mazmumah ini tidak tercungkil di dalam masjid kerana masjid menjanjikan suasana tenang dan kondusif . Berbeza di atas jalan raya yeng jauh berbeza hawanya.

Di atas jalanrayalah tempat melempiaskan segala sifat-sifat negatif yang terpendam dalam diri sebelum ini. Jalan raya boleh menjadi jalan mazmumah apabila sifat-sifat buruk dilonggokkan dan dihamburkan di atas jalanraya. Sesungguhnya maki hamun dan marah di atas jalan raya itu hanya akan membesarkan syaitan. Jika dahalu selalu dimomokkan syaitan banyak di kawasan perkuburan atau di dalam hutan, kini sudah beralih arah pabila jalan raya menjadi tapak syaitan di zaman moden dengan wujudnya sifat-sifat mazmumah umpama bangkai yang menarik anjing liar. Jauh kelebihannya tatkala apa jua yang berlaku di atas jalan raya di sambut dengan zikir, istighfar dan tasbih yang sentiasa basah di bibir sekaligus menjadikan jalanraya medan sifat-sifat mahmudah.

Jadikanlah perjalanan sebagai perjalanan ibadah yang indah. Jalan raya adalah salah satu sebab untuk mempraktikkan ajaran Islam. Dua per tiga daripada ajaran al-quran itu adalah ajaran akhlak yang berkaitan hubungan sesama manusia dan selebihnya satu pertiga adalah ajaran akidah  dan syariat. Daripada Abu Musa Al-Asy’ari r.a dia berkata, aku bertanya, “Wahai Rasulullah, orang Islam yang bagaimanakah yang paling utama? Baginda menjawab, “Orang yang kaum Muslimin selamat dari lisannya dan tangannya.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Lisan dan tindakan perlu dijaga untuk memastikan diri menjadi individu yang selamat dan juga menyelamatkan orang lain. Pemanduan yang tidak selamat akan membahayakan bukan sekadar diri sendiri malahan orang lain. Itu bukan ciri muslim yang terbaik. Dalam sejarah Rasulullah SAW melalui satu jalan yang menjadi sasaran wanita Yahudi membaling sampah, duri, najis dan sebagainya di atas jalan tersebut. Rasulullah kuak dan jalan seperti biasa. Ironinya, dunia reality hari ini bukan ramai yang ingin mencontohi Rasulullah SAW yang melapangkan tetapi lebih ramai yang mengambil laluan untuk bersama wanita Yahudi yang selalu mencipta kebuntuan atau kesesakan menjadi semakin senak.

Justeru, belajarlah untuk memandu dengan rasa kasih. Siapa diri kita di jalan raya adalah siapa kita di dunia sebenar. Ingatlah bahawa kita selalu inginkan waktu yang cepat tetapi percayalah Allah akan sediakan dan beri waktu yang tepat.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 18 Februari 2015
Kongsi artikel ini di:

Norhayati Paradi

Merupakan penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Motivasi Pagi, Agama dan Peradaban, Dimensi, Dinamika dan banyak lagi.