Meluruskan Jalan Hidup

TIGA fasa di dalam perjalanan kehidupan manusia iaitu fasa pertama ketika melalui usia kanak-kanak, mereka mempunyai tenaga dan mempunyai masa tetapi tidak berharta. Fasa kedua ketika manusia melalui masa berkerjaya, mempunyai tenaga dan harta tetapi tidak mempunyai masa kerana faktor kesibukan dan sebagainya. Manakala fasa terakhir, manusia memiliki harta dan masa, namun tidak lagi mempunyai tenaga kerana berada di dalam usia tua. Pada ketika inilah merupakan masa yang paling penting kerana manusia berada di dalam situasi getir, menghampiri sakaratul maut dan seharusnya berusaha untuk kekal yakin dengan agama Allah pada saat yang penuh kekalutan dan berada di dalam keadaan jasad yang lemah serta tidak lagi berupaya untuk berfikir dengan baik.

Peringatan Allah kepada umat manusia agar tidak mati kecuali berada di dalam keadaan benar-benar seorang yang muslim. Malah ketika usia melangkaui 40 tahun inilah manusia seharusnya berusaha menyucikan hati dan jasad. Jasad yang zahir disucikan dengan menyempurnakan wuduk, mandi dan mengangkat hadas. Sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Maaidah, ayat 6 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah – debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah – debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.”

Perkongsian oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati yang ke udara di IKIMfm, semakin berusianya manusia, mereka semakin mengabaikan kebersihan diri, tidak lagi berpakaian kemas dengan alasan tidak lagi perlu menarik perhatian orang lain tanpa memikirkan bahawa sewajarnya mereka perlu mengutamakan kehendak dan perintah Allah SWT. Pada masa yang sama, jagalah kebersihan hati agar terhindar daripada kekotoran yang diakibatkan oleh dosa-dosa seperti sering bersangka buruk terhadap manusia lain, hidup dipengaruhi dendam, bakhil dan kedekut, serta dicelai dengan sikap terlalu cintakan dunia. Banyakkan taubat bagi menyucikan hati yang kotor, bacalah al-Quran dan jadikanlah ia sebagai amalan di dalam kehidupan seharian serta sentiasa mengambil peluang untuk berada di dalam majlis ilmu. Selain itu banyakkan berinfaq di jalan Allah kerana ia merupakan amalan yang dituntut sekalipun manusia sudah menghampiri waktu ajalnya.

Sentiasalah berdoa kepada Allah sekalipun diri berada di dalam kesenangan dan ketika menghadapi kesusahan kerana ia juga merupakan di antara ciri yang seharusnya ada pada setiap orang mukmin, selain ia juga merupakan antara amalan yang mampu menyucikan hati manusia. Sesungguhnya Allah amat menyukai umat yang sentiasa mengadu, meminta dan berdoa kepada-Nya kerana ia membuktikan kehambaan mereka kepada Allah SWT dan mengakui bahawa Dialah yang Maha Pencipta. Di dalam surah at-Taubah, ayat 108, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).”

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 5 April 2018

\"\"

Scroll to Top