Manusia Mempunyai Dua Watak

SIFAT asal manusia yang sebenarnya adalah baik sepertimana disebutkan iaitu dilahir dalam keadaan fitrah. Fitrah manusia juga ialah mempunyai pasangan dari kaun yang bukan sejenis mereka. Begitulah asalnya sifat manusia  boleh bersatu sebagai asbab terjadinya ikatan sesebuah perkahwinan. Penyatuan dalam banyak perkara membolehkan terbinanya tamadun manusia. Namun akan halnya kita sedia maklum sejak wujudnya Qabil dan Habil lagi perselisihan telahpun berlaku dan terus berlaku.  Perselisihan bukanlah  asing  dalam kehidupan kita. Ia sering terjadi dalam konteks kemasyarakatan khususnya dalam  hubungan antara suami isteri.      

Allah SWT berfirman maksudnya:  \”Manusia itu dahulu hanyalah satu umat yang satu kemudian mereka berselisih. Kalaulah tidaklah kerana ada satu ketetapan yang telah ada dari tuhanmu dahulu, pastilah telah diberikan keputusan dan azab kepada mereka di dunia, tentang apa yang mereka perselisihkan itu\”. (Surah Yunus ayat 19)  Allah SWT merujuk sebagai umat yang satu bilamana manusia semua asalnya adalah baik dan tidak dicemari.

Apabila seseorang itu telah mula baligh dia akan mula boleh berfikir, membuat pelbagai tuntutan dan terdedah kepada kebarangkalian terpengaruh dengan fikiran yang tidak betul. Nafsu mula berkembang dan seandainya tanpa ilmu, seseorang boleh menjadi songsang apabila kehidupan dijalani hanya dengan menurut hawa nafsu. Manusia disifatkan sebagai sebaik-baik kejadian Allah dicipta dengan akal fikiran. Lihat sahaja orang Arab jahiliah, mereka adalah golongan pedagang yang terkemuka kerana kepandaian berniaga. Ayat satu dan dua daripada surah  Quraisy membuktikan kecerdikan bangsa  tersebut. Sebagaimana Allah s.w.t berfirman  \”Kerana kebiasaan orang-orang Quraish.  Mereka  menjalankan perniagaan pada musim dingin dan panas\”. (Surah Quraisy, ayat 1-2). Musim dingin digunakan untuk mengembara ke negara Syam manakala musim panas ke negara  Yaman.

Bangsa Quraisy terkenal sebagai peniaga yang amat berpengalaman dalam urusan jual beli serta menempuh perjalanan yang sangat luas sehingga al-Quran sendiri mencatatnya.  Akan tetapi ironinya, bagaimanakah bangsa Quraisy ini mendapat gelaran jahiliah. Justeru, pada siri perbincangan dalam rancangan Pesona D’ Zahra pada minggu lalu, Ustaz Muhammad Abdullah  al-Amin memberi contoh orang-orang Quraisy ini sebagai bangsa yang tidak mampu menilai antara baik dan buruk lantaran akal fikiran mereka tidak dipandu dengan wahyu.   Dalam konteks masyarakat  pada masa kini  gelaran cerdik atau pandai  sering dirujuk kepada mahasiswa universiti,  pelajar sekolah,  mereka yang berkemahiran atau sesiapa sahaja yang boleh membaca dan menulis. Namun apakah kepandaian itu sudah memadai sebagai bekalan untuk menempuh ujian kehidupan? Sudah tentulah manusia berkehendakkan kepada ilmu berasaskan Al-Quran dan Hadith. Berbalik kepada manusia yang selepas balighnya mula berkecenderungan untuk berselisih, hanyalah dengan ketetapan serta rahmat daripada Allah yang menyebabkan manusia wahyu terus bersatu dan berkasih sayang. Hanyalah dengan ilmu pengetahuan agama yang sempurna mampu mengawal tindakan pasangan suami isteri supaya tidak menurut kehendak hawa nafsu masing-masing dalam menjalani kehidupan berumahtangga supaya rumahtangga  kekal aman.

Umat Nabi Muhammad s.a.w dipuji oleh Allah berbeza dengan umat terdahulu kerana mereka tidak akan meninggalkan orang yang tidak baik begitu sahaja. Orang-orang sebegini akan sentiasa ditarbiah  agar   dapat dikongsi bersama bagaimana untuk menjadi orang yang baik.Di samping itu, Muhammad menerangkan bahawa sifat manusia terbahagi kepada empat. Pertama, golongan jahat yg berbuat jahat yang terbentuk melalui kata -kata fitnah serta memburukkan orang lain dengan cara yang tidak wajar. Dalam diri ada dendam dan memaparkan kejahatan. Sebagaiman Allah s.w.t berfirman \”Tidakkah kamu perhatikan orang yang menjadikan hawa nafsunya itu sebagai tuhan maka kamu tidak akan dapat menjadi penolong ke atasnya.”  (Surah al-Furqan a.yat 43 ). Isteri Nabi Nuh dan Nabi Luth termasuk dalam golongan ini walaupun duduk bersama orang-orang yang soleh.

Kedua, orang yg jahat yg berusaha untuk menjadi baik. Telah memasang niat ialah ciri-ciri  golongan sebegini dan di hati kecil mereka ingin menjadi baik contohnya solat mereka lebih terpelihara dan teratur. Bagi seorang suami beristerikan seorang yang dahulunya mempunyai kehidupan yang berliku, janganlah diungkit-ungkit begitu juga dengan isteri.  Ketiga, golongan yang memang baik tetapi tersasar.  Golongan ini memerlukan bantuan dan bimbingan manusia  sekeliling kerana mungkin mereka tidak pernah membuat kesilapan sebelum ini. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud, \”Sesungguhnya taubat itu di sisi Allah bagi orang yang mengamalkan atau membuat perkara yang buruk kerana tersilap atau kejahilannya kemudian mereka segera bertaubat kepada Allah.  Mereka itu yang Allah berikan taubat kepada mereka dan Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Bijaksana\”. (Surah an-Nisa\’ ayat 17).  Kesan daripada kesilapan yang dilakukan oleh manusia ini boleh jadi kecil atau pun besar. Seterusnya adalah   orang yang baik tetapi tidak melakukan perkara yang betul seperti tidak bersolat atau berpuasa. Golongan ini perlu difahamkan tentang apa yg baik dan yang tidak baik dalam erti kata sebenar dan bukan baik sekadar mengikut pemahaman mereka.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 18 September 2017
\"\"
Scroll to Top