Manfaat Khasiat Alam untuk Kesihatan

Manfaat Khasiat Alam untuk Kesihatan

Oleh Syazwana Ahmad

Kuala Lumpur – Allah SWT menciptakan alam ini dengan kurniaan hasil bumi yang tidak terhitung nilai dan manfaatnya. Kekayaan sumber alam yang terdiri daripada pelbagai sumber tumbuhan semulajadi ini dapat dimanfaatkan sebagai penawar bagi merawat masalah kesihatan. Namun, malangnya ramai yang tidak tahu khasiat tumbuh-tumbuhan yang ada di bumi ini dan kebanyakan masyarakat tidak menyedari akan khasiat alam untuk menyembuhkan penyakit.

Pegawai Penyelidik Prinsipal Pusat Penyelidikan Makanan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr Suri Roowi berkata madu umpamanya mempunyai khasiat yang tinggi untuk kesihatan malah kajian mendapati madu mampu menjadi agen yang membunuh bakteria dan dijadikan sebagai iodin untuk membantu menyembuhkan luka.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran menerusi surah an-Nahl, ayat 69 yang bermaksud “Dari perut lebah itu keluar minuman iaitu madu yang bermacam-macam warna, di dalamnya terdapat ubat menyembuhkan bagi manusia”. Ayat al-Quran ini menjelaskan bahawa besarnya khasiat madu yang boleh merawat penyakit manusia.

Dr. Suri yang juga pakar antioksidan berkata, tumbuhan habatus sauda atau jintan hitam (Nigella Sativa) juga mempunyai khasiat yang tinggi bagi menyembuhkan penyakit dan digunakan secara meluas dalam bidang perubatan.

Dalam hadis riwayat Imam Bukhari, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Pada habbatus sauda itu ada penawar atau ubat bagi semua penyakit kecuali mati”. Cara pengunaan habatus sauda pula sebaik – baiknya diamalkan lima hingga tujuh biji sehari sesuai dengan sunnah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW”. Katanya ketika menjadi tetamu rancangan ‘Ilham Muslimah’ di radio IKIMfm, terbitan Nik Hasnah Ismail yang keudara pada Khamis jam 3.15 petang hingga 3.50 petang. Rancangan tersebut mendapat penajaan Takzims, iaitu sebuah syarikat tekstile yang berpusat di Shah Alam.

Beliau juga menyarankan penggunaan bahan perwarna dari alam semulajadi dalam masakan atau makanan kerana bahan pewarna dari tumbuhan seperti daun pandan lebih cepat menyerap dan hanya mengambil masa 3 saat sahaja untuk bertindak di dalam badan manusia. Bahan pewarna dari alam ini juga lebih menyihatkan dan selamat.

Bagaimanapun, sekiranya sukar untuk menemui pewarna makanan dari bahan asli ini, pengguna boleh menggantikannya dengan bahan yang beraroma seperti bunga cengkih atau kulit kayu manis. Cara yang terbaik untuk mengamalkannya adalah melalui kaedah aromaterapi iaitu dengan menghidu bau bauan tersebut setiap hari.

Limau purut juga adalah salah satu bahan yang mempunyai banyak kebaikan. Di dalam sebiji limau purut terdapat bahan seperti sitronella dan gamma terpine. Sittronella  bersifat antibakteria manakala gamma terpine bersifat antioksida yang mampu merawat penyakit kanser. Cara mudah untuk mendapat khasiat daripada bahan beraroma ini adalah meletakkannya di bawah bantal ketika tidur supaya sepanjang malam dapat menghidu khasiat daripada bau bahan ini.

Bagi mereka yang sedang berdiet pula, amat baik mengamalkan pemakanan berasaskan buah-buahan dan madu. Buah tin dan zaitun misalnya adalah sangat berkesan kerana kandungan viber larut air yang tinggi mampu menyihatkan usus besar manakala buah zaitun mempunyai acid lemak tak tepu dan mampu menyihatkan jantung dengan sempurna.

Menurut Dr. Suri, terdapat banyak teknik yang boleh digunakan untuk memastikan hasil yang maksimum dalam penggunaan herba dalam masakan. Cara memasak herba yang betul adalah dengan mengunakan suhu sekurang-kurangnya 80 darjah celsius atau memasaknya di dalam bekas yang berisi air panas bukannya memasak secara terus kerana khasiat herba tersebut akan berkurangan .

Manakala cara untuk memasak sayur pula sebaiknya menggunakan kaedah stim bukan menumis kerana dengan mengunakan kaedah stim, khasiat yang terdapat di dalam sayur akan lebih terpelihara. Begitu juga cara memasak jering dan kerdas perlu direbus sebelum makan kerana kedua ulam ini mampu merosakkan buah pinggang jika dimakan secara mentah.

Masyarakat Melayu sering didedahkan dengan khasiat bawang putih yang baik untuk melancarkan peredaran darah di dalam badan. Namun ramai yang tidak tahu bagaimana cara yang terbaik untuk mengekalkan khasiat bawang putih. Bagi mengekalkan khasiatnya, bawang putih perlu dipotong ataupun diketuk dan dibiarkan selama sepuluh minit sebelum memasaknya .

Begitu juga buah anggur sangat baik untuk kesihatan. Kulit buah anggur sangat bagus untuk membantu mengurangkan risiko kanser payudara manakala bijinya pula mampu merawat penyakit  kencing manis.

Minyak zaitun memiliki segudang manfaat dan fungsi yang luar biasa untuk kesihatan badan. Minyak zaitun tidak hanya boleh digunakan dalam masakan sahaja, tetapi ianya boleh dijadikan bahan asas bagi rawatan kecantikan wajah. Minyak zaitun boleh digunakan sebagai masker (topeng wajah) atau pembersih makeup. Selain itu ianya juga digunakan sebagai minyak aroma terapi atau terapi umum untuk merawat beberapa jenis penyakit seperti kanser dan penyakit kulit.

Kesimpulannya, tumbuh-tumbuhan semulajadi merupakan sumber utama dalam merawat pelbagai jenis penyakit dan telah diamalkan beratus tahun oleh generasi terdahulu. Justeru, kekayaan hasil bumi ini harus dimanfaatkan dengan kefahaman yang mendalam tentang cara amalan dan penggunaannya agar dapat membina kesihatan yang lebih sempurna.

Kongsi artikel ini di: