Malaysia Berpotensi Di Baris Depan Dalam Pelajaran Ilmu Bahasa Arab

SUNGAI PETANI, 26 Julai – Malaysia mampu berada di barisan hadapan berbanding negara Islam lain dalam mempelajari dan mendalami ilmu bahasa Arab, kata Pengarah Pusat Bahasa Sheikh Zayed, Universiti Al-Azhar Mesir, Prof Dr Mahmoud Ahmad Farj.

Beliau berkata pusat itu menerima 1,200 pelajar Malaysia setiap tahun, yang mewakili satu pertiga jumlah pelajar di pusat itu sejak ia ditubuhkan pada tahun 2013.

“Kami menerima 3,000 pelajar setiap tahun dari 50 negara dan ini menunjukkan satu pertiga daripada jumlah itu dari Malaysia.

“Ini mencerminkan minat yang sangat tinggi dalam kalangan pelajar Malaysia untuk mempelajari ilmu bahasa Arab di Universiti Al-Azhar,” katanya ketika ditemui Bernama selepas majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Pemerkasaan Bahasa Arab Merentas Globalisasi (ALIC) 2017 di Kuala Ketil, dekat sini semalam.

Beliau berkata prestasi pelajar Malaysia di pusat bahasa itu amat memberangsangkan berbanding pelajar negara lain dan pihak kedutaan Malaysia di Mesir pula sentiasa memantau perkembangan mereka dari semasa ke semasa.

Sumber BERNAMA

Kongsi artikel ini di: