Majlis Tilawah Dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1439H/2018M

KUALA LUMPUR, 28 Mac 2018 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menganjurkan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1439H/2018M yang dijadualkan berlangsung selama 6 hari bermula pada 14 hingga 19 Rejab 1439H bersamaan 01 hingga 06 April 2018 bertempat di Kompleks Islam Putrajaya.

MTHQK 1439H/2018M ini adalah merupakan program tahunan JAKIM dengan kerjasama pelbagai agensi Kerajaan. Penganjuran program ini adalah menggambarkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam menerapkan budaya cinta al-Quran dan memahami intipatinya serta mengaplikasikan tuntutan dan larangan Yang Maha Esa dalam amalan kehidupan kita seharian.

Pertama kali diadakan di Kompleks Islam Putrajaya

MTHQK edisi pada tahun 1439H/2018M ini juga istimewa kerana buat julung kalinya diadakan di Kompleks Islam Putrajaya (KIP). Kompleks  ini telah dirasmikan pada 18 Julai 2017 oleh YAB Perdana Menteri Malaysia. Penganjuran MTHQK 1439H/2018M ini akan menyerlah dan memperkukuhkan lagi kedudukan KIP yang merupakan mercu tanda Islam yang terbaru di Putrajaya.

Penglibatan Peserta

Sehingga kini JAKIM mengesahkan menerima penyertaan dalam kategori Tilawah seramai 28 orang peserta yang diwakili oleh 14 orang Qari dan 14 orang Qariah dari semua negeri di Malaysia manakala penyertaan bagi kategori menghafaz al-Quran adalah seramai 79 orang yang terdiri 42 orang lelaki dan 37 orang wanita. Jumlah ini menyaksikan peningkatan seorang peserta berbanding penyertaan pada tahun 2017.

Untuk penganjuran pada kali ini, semua peserta kategori tilawah diwajibkan membaca al-Quran secara bertaranum dengan dua (2) jenis lagu yang ditetapkan secara berturut-turut dan ia hanya akan diketahui oleh peserta ketika proses pengundian ayat. Perkara ini telah ditetapkan oleh jemaah hakim dan sememangnya merupakan satu perkara yang agak mencabar bagi peserta. Tujuannya adalah supaya semua peserta lebih mendalami ilmu-ilmu taranum di dalam al-Quran dan pastinya akan memberi nilai tambah kepada peserta yang akan menjadi johan nanti.

Bagi kategori menghafaz pula, setiap negeri akan menghantar 6 orang wakil bagi semua kategori menjadikan jumlah keseluruhannya adalah seramai 79 orang peserta. Kesemua peserta adalah berumur diantara 12 hingga 25 tahun.

Siaran Langsung MTHQK 1493H/2018M

MTHQK Tahun 1439H/2018M akan disiarkan secara langsung menerusi RTM dan TV AlHijrah seperti waktu berikut :

Kategori Tilawah: 2 – 6 April 2018, jam 8.30 malam – 10.30 malam (RTM)

Kategori Menghafaz: 1 – 5 April 2018, jam 9.00 pagi – 4.30 petang (TV AlHijrah)

Barisan Jemaah Hakim

Para peserta akan dinilai oleh 15 orang hakim (kategori tilawah) dan 17 orang hakim (kategori menghafaz) yang berkaliber dan berpengalaman dalam bidang masing-masing. Barisan jemaah hakim akan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah JAKIM. Penilaian jemaah hakim akan mengambil kira aspek kelancaran (fasahah) bacaan dan hafazan masing-masing, hukum tajwid, kelunakan suara, persembahan dan taranum.

Hadiah Kepada Pemenang

Alhamdulillah tahun ini masih diberikan rezeki yang istimewa kepada Johan bagi kedua-dua kategori tilawah dan menghafaz bagi MTHQK 1439H/2018M ini. Penganjur juga menyatakan sepenuhnya penghargaan kepada Lembaga Tabung Haji kerana bersetuju untuk meneruskan penajaan hadiah dengan dua buah kereta Proton Ertiga kepada setiap Johan Qari dan Qariah bagi acara Tilawah. Penghargaan juga kepada Bank Islam Malaysia Berhad kerana bersetuju untuk menaja hadiah dua buah kereta Perodua Axia kepada setiap Johan Menghafaz Lelaki dan Wanita bagi kategori Juzuk 1 hingga 30. Hadiah- hadiah yang ditawarkan kepada peserta adalah seperti berikut:

1. Kategori Tilawah Al-Quran:

i. Johan Qari dan Qariah :

  • Wang Tunai RM 15,000;
  • Tambahan wang tunai RM 10,000 untuk menunaikan Fardhu Haji;
  • Piala Iringan; dan
  • Sebuah kereta Proton Ertiga.

ii. Naib Johan Qari dan Qariah : Wang Tunai RM 10,000 dan tambahan wang tunai RM 10,000 untuk menunaikan Fardhu Haji,

iii. Tempat Ketiga Qari dan Qariah : Wang Tunai RM 7,500 dan tambahan wang tunai RM 10,000 untuk menunaikan Fardhu Haji

iv. Hadiah Saguhati : Wang Tunai RM 3,000

  • Selain itu, setiap peserta akan menerima cenderamata dan sijil penyertaan.

2. Kategori Menghafaz Al-Quran:

  • Kategori Pertama: Menghafaz Juzuk 1 hingga 10
  1. Johan Lelaki dan Wanita : Wang tunai RM 5,000 dan piala iringan.
  2. Naib Johan Lelaki dan Wanita : Wang tunai RM 4,000.
  3. Tempat Ketiga Lelaki dan Wanita: Wang tunai RM 3,000.
  4. Saguhati Lelaki dan Wanita: Wang tunai RM 1,000.
  • Kategori Kedua: Menghafaz Juzuk 1 hingga 20
  1. Johan Lelaki dan Wanita: Wang tunai RM 7,000 dan piala iringan.
  2. Naib Johan Lelaki dan Wanita: Wang tunai RM 5,000.
  3. Tempat Ketiga Lelaki dan Wanita: Wang tunai RM 3,500.
  4. Saguhati Lelaki dan Wanita: Wang tunai RM 1,500.
  • Kategori Ketiga: Menghafaz Juzuk 1 hingga 30

1. Johan Lelaki dan Wanita:

  • Wang tunai RM 15,000;
  • Tambahan wang tunai RM 10,000 untuk menunaikan Fardhu Haji;
  • Piala Iringan; dan
  • Sebuah kereta Perodua Axia.

2. Naib Johan Lelaki dan Wanita: Wang tunai RM 10,000 dan tambahan wang tunai RM 10,000 untuk menunaikan Fardhu Haji,

3. Tempat Ketiga Lelaki dan Wanita: Wang tunai RM 7,500 dan tambahan wang tunai RM 10,000 untuk menunaikan Fardhu Haji,

4. Saguhati Lelaki dan Wanita: Wang tunai RM 3,000

  • Selain daripada itu, setiap peserta akan turut menerima cenderamata kenangan dan sijil penyertaan.

Sebagaimana maklum, para peserta yang menyertai MTHQK adalah merupakan johan Tilawah dan Menghafaz Al Quran di peringkat negeri masing-masing. Seterusnya johan ini pula akan mewakili Malaysia bagi menyertai Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) yang dijadualkan pada 7 hingga 12 Mei 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN

Penganjuran Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 1439H/2018M yang bertemakan “Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara” akan disempurnakan penutupan dan penyampaian hadiahnya oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri pada 6 April 2018 (Jumaat) jam 8.30 malam di Kompleks Islam Putrajaya.

ACARA-ACARA MENARIK YANG LAIN

Dalam masa yang sama, beberapa program telah diatur bagi menarik lebih ramai pengunjung hadir ke majlis ini. Antaranya pihak penganjur telah menyediakan :-

  • TV LED Skrin Besar di perkarangan blok A dan B Kompleks Islam Putrajaya untuk menyiarkan secara langsung MTHQK ini.
  • 15 tapak pameran agensi di bawah YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan 12 gerai peniaga mulai jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam yang akan menjual pelbagai produk.
  • 10 buah food truck yang akan menjual pelbagai produk makanan dan minuman mulai jam 4.00 petang hingga 10.00 malam. Khemah-khemah tempat duduk awam juga disediakan di tepi bangunan KIP berhadapan dengan tasik bagi tujuan memudahkan orang awam untuk menjamu juadah makanan dan minuman yang dijual oleh pengusaha food truck.

Justeru itu, orang ramai adalah dijemput hadir bersama keluarga dan sesuai untuk semua peringkat umur bagi menghayati bacaan ayat-ayat suci Al-Quran serta mengikuti acara-acara menarik lain yang telah diatur. Parkir awam turut disediakan di ruang parkir Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan parkir terbuka bersebelahan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin serta Kiblat Walk.

Di samping itu, MTHQK 2018 ini juga boleh ditonton secara langsung di saluran RTM dan TV AlHijrah, siaran langsung melalui radio Nasional FM dan IKIM FM ataupun melalui melalui live streaming web TV JAKIM dengan melayari laman web. Beberapa radio RTM juga akan membuat lintas langsung iaitu Salam FM (BM), KL FM (BM), Ai FM (Mandarin), Traxx FM (B. Inggeris), Minnal FM (Tamil) dan Asyik FM (Radio Orang Asli).

Sehubungan itu, dipohon jasa baik pihak media mewar-warkan penganjuran majlis ini dan membuat liputan bermula tarikh 01 hingga 06 April 2018 dari jam 8.30 pagi hingga 11.00 malam setiap hari bertempat di Kompleks Islam Putrajaya.

Kongsi artikel ini di:

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my