Majlis Fatwa nilai penggunaan mata wang kripto

KUALA LUMPUR, 28 Februari : Penyelidikan dan kajian mengenai mata wang kripto mengikut perspektif Syariah sedang dilaksanakan sejak Disember lalu dan hasilnya dijangka siap serta dibentangkan kepada Majlis Fatwa, bulan depan.

Ketua Pejabat Kawalan Mutu Penyelidikan Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (ISRA), Dr Marjan Muhammad, setakat ini, terdapat beberapa institusi fatwa di dunia sudah mengeluarkan fatwa mengenai mata wang kripto, khususnya Bitcoin, yang mana dengan tegas tidak membenarkan penggunaannya.

Namun dari sudut pandangan individu pakar Syariah pula, Marjan berkata, ia terbahagi kepada tiga kategori iaitu membenarkan, tidak membenarkan dan membenarkan dalam keadaan tertentu.

Beliau berkata, individu pakar Syariah yang membenarkan penggunaan Bitcoin berpandangan, ia boleh diiktiraf sebagai mata wang dengan bersandarkan kepada kepercayaan antara pihak yang melaksanakan transaksi dan diiktiraf oleh masyarakat meskipun tidak sah diperlakukan.

“Bagi yang tidak membenarkan penggunaan Bitcoin pula, mereka berpandangan bahawa ia tidak memenuhi keperluan sebagai mata wang, kewujudan wang tanpa nilai intrinsik, tidak sah diperlakukan, tidak dikawal selia kerajaan, berisiko tinggi, turun naik yang tidak menentu dan harganya bersifat spekulasi dengan bersandarkan kepada turun naik pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Meja Bulat Mata Wang Kripto dan Sistem Kewangan Digital yang dianjurkan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini, hari ini.

Mata wang kripto adalah sejenis aset digital yang berfungsi sebagai alat atau perantara transaksi dengan menggunakan kodifikasi penyulitan rahsia, penerbitan unit terkawal dan terhad melalui pengesahan dalam rangkaian (unit yang sama akan kekal walaupun dipindahkan).

Kira-kira 1,500 mata wang diterbitkan dengan berbagai nama, bentuk, platform, ciri khusus dan fungsi yang pelbagai dengan nama seperti Bitcoin, Ethereum, Litecoin, Ripple.

Sumber BERITA HARIAN ONLINE

Kongsi artikel ini di: