Mahasiswa Perlu Praktik ‘3J’ Hindari Gejala Rasuah Dan Salah Guna Kuasa

GOLONGAN mahasiswa disaran agar menjauhi gejala rasuah dan salah guna kuasa dengan mempraktikkan ‘3J’, seperti yang ditekankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha memerangi kegiatan negatif tersebut.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, ‘3J’, iaitu ‘Jangan Hulur, Jangan Kawtim, Jangan Settle’ perlu dipraktikkan agar aktiviti rasuah dan salah guna kuasa tidak menular dalam kalangan golongan belia yang bakal menjadi pemimpin negara.

“Berdasarkan hasil kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan Pencegahan Rasuah yang dijalankan dalam kalangan 1,000 mahasiswa di seluruh negara tahun lalu, kira-kira 16 peratus pelajar institusi pengajian tinggi sanggup menerima rasuah jika mempunyai peluang dan kuasa.

“Sekiranya pemikiran, jati diri dan integriti golongan mahasiswa tidak dipelihara, ini bermakna kita telah mengorbankan serta memperjudikan pembangunan masa depan negara yang telah diusahakan selama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Executive Talk Perhimpunan Mahasiswa Anak Muda Memerangi Rasuah Dan Salah Guna Kuasa (PEMARAH) 3.0 Borneo yang diadakan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), hari ini

Seramai 1,300 golongan mahasiswa dari institut pengajian tinggi di Kuching dan Bintulu telah menyertai program anjuran SPRM dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, UNIMAS dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) tersebut.

Selain UNIMAS, institusi pengajian tinggi lain yang terlibat ialah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kuching, Institut Kemahiran MARA (IKM) Kuching, IKM Bintulu dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) Bintulu.

Hadir sama pada program tersebut ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Dato’ Shamshun Baharin Mohd. Jamil; Pengarah Kanan Jabatan Siasatan, Dato’ Simi Abdul Ghani; Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, Dato’ Abdul Samat Kasah; Pengarah SPRM Negeri Sarawak, Dato’ Badrul Shah Norman, Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik, Mohamad Zakkuan Talib dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UNIMAS, Profesor Mohd. Fadzil Abd. Rahman.

PEMARAH 3.0 Borneo yang julung kali diadakan di negeri tersebut bertujuan untuk membentuk nilai pemimpin anak muda mahasiswa agar membenci dan menolak rasuah bersama masyarakat Malaysia.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk menzahirkan sokongan pemimpin anak-anak muda mahasiswa kepada usaha pencegahan rasuah oleh SPRM di negara ini.

Program yang berlangsung seawal pukul 9 pagi itu dimulakan dengan tayangan montaj bertajuk ‘Revolusi Integriti’, diikuti dengan persembahan busker dan Akustik Bermesej yang disampaikan oleh Al-Nabaw serta persembahan teater bertajuk ‘Rasuah Membawa Padah’ oleh Permata Kenyalang UiTM Kuching.

Turut diadakan ialah sesi Perkongsian Bicara oleh Khabirudeen Pulaver, persembahan Muzikalisasi Artis Bermesej oleh Eisner Nala, Nana Sheme dan Al-Nabaw serta persembahan tarian oleh Bayu UNIMAS.

Program yang turut disertai pegawai SPRM dan pensyarah serta kakitangan UNIMAS itu diakhiri dengan lafaz ikrar ‘Janji Kami’ yang diketuai Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UNIMAS, Abdul Muhaimin Roslan.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
KUCHING
18 NOVEMBER 2017

Kongsi artikel ini di:

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my