Lebih 81 Peratus Murid Tahun Enam Kuasai Bacaan Al-Quran

KOTA BHARU, 13 Ogos – Sebanyak 81.98 peratus murid Tahun Enam didapati sudah mampu menguasai bacaan al-Quran bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini dan ia merupakan satu kejayaan yang cemerlang.

Menurut Timbalan Pengarah (Operasi Pendidikan) Kementerian Pendidikan Aminuddin Adam selain itu, dalam tempoh sama sebanyak 91.57 peratus murid berjaya menguasai bahasa Arab dengan baik dan ia melebihi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan kementerian iaitu 85 peratus.

Jelas beliau hasil itu dicapai menerusi Program Jawi, al-Quran, Arab, Fardu Ain (j-QAF) yang dilaksanakan kementerian di sekolah-sekolah kebangsaan di seluruh negara sejak sekian lama.

Beliau bercakap demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Pertandingan Kalam Sya’bi (dikir bahasa Arab) peringkat kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat di Kota Bharu, Kelantan.

Sumber BERNAMA

Kongsi artikel ini di:

Ahmad Nazri Yusof

Merupakan Pengurus Berita Radio di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Minhajul Abidin, Nasyid Klasik, Kerjaya dan Hala Tuju dan banyak lagi.