Ketua Pengarah IKIM Dapat Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1438H Peringkat Wilayah Persekutuan

DSC_2016

KUALA LUMPUR, 7 Okt – “Bagi saya, cabaran berdakwah ketika zaman teknologi ini dilihat sebagai cabaran untuk semua khususnya dalam mengawal diri menyebarkan ilmu dan maklumat sahih memandangkan boleh diperoleh hanya di hujung jari,” kata Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Datuk Dr Azizan Baharuddin selepas dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1438H/2016M Peringkat Wilayah Persekutuan, semalam.

Beliau menerima anugerah itu bagi mengiktiraf sumbangannya yang bergiat aktif dalam pelbagai organisasi termasuk Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM) selain pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian di Antara Penganut Agama (JKMPKA), Jabatan Perpaduan Negara (JPM).

Menurut beliau, kerja dakwah ketika ini perlu disesuaikan dengan kepantasan teknologi memandangkan semua maklumat mampu diperoleh dengan cepat.

“Dalam zaman sekarang, dakwah tidak mungkin boleh dilakukan secara diam kerana dalam keadaan serba canggih ini segalanya amat pantas.

“Penggunaan gajet amat meluas di semua peringkat, malah kanak-kanak turut menggunakannya. Namun, kita yang mengawal setiap maklumat yang disebarkan itu. Biarlah perkara yang disebarkan itu menyihatkan perasaan dan jiwa,” katanya.

Sambutan Maal Hijrah itu turut memberi pengiktirafan terhadap beberapa lagi individu menerusi anugerah sama berdasarkan kategori iaitu Presiden Yayasan Persaudaraan Islam, Sharin Low Abdullah (kategori korporat), Imam 1 Masjid Bukit Aman Kuala Lumpur, Superintendan Ghazali Daud (kategori pendakwah) dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal (kategori ilmuan).

Anugerah tersbut disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sambil disaksikan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tan Sri Othman Mustapha dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Paimuzi Yahya.

Kongsi artikel ini di:

Syafiq Salleh

Merupakan Penyampai dan Penerbit Rancangan Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Mengendalikan segmen Destinasi IKIMfm serta terlibat dalam suntingan artikel dan berita. Mendapat pendidikan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Kejuruteraan Perisian) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Memilik Diploma Teknologi Maklumat (Pengaturcaraan) dari Politeknik Malaysia. Boleh dihubungi melalui email msyafiq@ikim.gov.my

One thought on “Ketua Pengarah IKIM Dapat Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1438H Peringkat Wilayah Persekutuan

  • October 8, 2016 at 8:51 am
    Permalink

    Tahniah Prof Datuk Dr Azizan……u r d best!!!

Comments are closed.