Kepimpinan Sebagai Amanah

Menurut Al Mawardi, Islam meletakkan kepimpinan sebagai pengganti kepada fungsi kenabian bertujuan menjaga agama Allah SWT dan mengatur kehidupan manusia di dunia dengan adil dan sejahtera. Seseorang ketua atau pemimpin dalam sesebuah organisasi dan masyarakat penting bagi melaksanakan syariat Allah S.W.T di muka bumi ini, selain menjaga kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan ramai, serta mengelak berlakunya pertelingkahan antara mereka.

Mendekati suasana pilihanraya yang semakin hampir, Rancangan Suluh Budi tidak ketinggalan membicarakan peringatan dan renungan berkenaan isu-isu kepimpinan. Dr. Mohd Farid Mohd Shahran menjelaskan perkara ini adalah penting dibincangkan secara ilmiah dalam langkah melaksanakan kewajipan sebagai rakyat dalam memastikan kehidupan yang adil dan sejahtera. Malah peringatan berkaitan isu kepimpinan adalah relevan pada setiap masa kerana setiap dari kita adalah pemimpin diri  dan sesungguhnya pesan-berpesan serta ingat mengingati itu adalah sebahagian dari agama. (Surah Al Asr ayat 1-3)

Kepimpinan dalam Islam

Seorang pemimpin yang bertanggungjawab perlu melaksanakan tugas secara berhati-hati dan tiada berhajat untuk mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi dalam menjalankan amanahnya.

Disebutkan dalam perkongsian yang lalu akan peringatan betapa beratnya tugas seseorang pemimpin itu adalah dengan ancaman sekiranya ia gagal dalam melaksanakan tugas dengan adil dan mengabaikan kebajikan rakyat, maka pemimpin itu dijanjikan azab yang berat oleh Allah S.W.T. di akhirat kelak.

Dalam memastikan ciri-ciri kepimpinan yang adil dimiliki oleh seseorang yang berhajat mahupun dilantik selaku pemimpin yang bertanggungjawab, garis panduan dihuraikan dalam tiga perkara iaitu yang pertama meletakkan nilai agama sebagai yang utama. Disebutkan seseorang pemimpin itu tidaklah semestinya seseorang yang pakar ilmu agama, tetapi pemimpin perlulah terbuka dan bersedia menerima nasihat ulama dalam urusan pentadbirannya. Bahkan sejarah telah menulis begitu ramai kalangan ulama yang menjadi nadi dalam menasihati pemerintah dan penguasa yang terkenal. Ulama dan pemimpin boleh memainkan peranan yang lebih baik sekiranya mereka memahami tanggungjawab masing-masing dan saling melengkapi.

Perkara kedua pula adalah memastikan kebersamaan pemimpin dan pengikut itu dalam satu ikatan atau nilai yang sama. Nilai yang mengikat adalah keadilan dan akhlak yang konsisten diantara pemimpin dan rakyat. Nilai akhlak dalam urusan menjalankan kuasa dan amanah pentadbiran pemimpin itu dan melaksanakan tanggungjawab rakyat mestilah adil, tidak disalahguna atau pilih kasih. Kerana walaupun memiliki kuasa, seseorang pemimpin itu masih terikat dengan kedudukannya sebagai hamba kepada Allah yang maha berkuasa.

Seterusnya yang ketiga, perlu disematkan dalam minda bahawasanya tiada siapa dikalangan manusia itu memiliki kuasa mutlak kerana semua dari kita adalah terikat dengan kuasa mutlak yang ada pada Allah SWT. Hanya yang benar-benar memiliki kuasa mutlak itu adalah Allah SWT. Dialah yang maha benar,  maha adil dalam menghukum pada hari pembalasan. Tiada yang dapat dirahsiakan dan disembunyikan daripada pengetahuan dan pandangan Allah, dan kita semua akan diberi ganjaran atau balasan dengan seadil-adilnya di akhirat kelak oleh sebenar-benar Penguasa. Imam al Ghazali dari kitab Nasihat al Muluk menyebut berkenaan nasihatnya kepada penguasa iaitu manusia jika tidak diingatkan tentang sifat Tuhan, ia akan cenderung menjadi lupa akan kekuasaan Tuhan dan boleh menjurus kepada kezaliman dan penganiayaan.

Melihat kepada usaha menerapkan amanah dalam diri pemimpin menurut Islam adalah pertama dia harus memiliki ilmu tentang pemilik kuasa yang sebenar. Ilmu tetang sifat-sifat dan kekuasaan Allah akan memandu dan menjaga akhlak dan perbuatannya dalam mentadbir dengan bertanggungajwab dan taqwa kepada Allah.

Kedua adalah penguasaan ilmu dalam urusan amanah yang dipegangnya. Ilmu ini akan mengingatkan dirinya berkenaan pelaksana syariat Allah dan urusan hukum hakam kepimpinannya. Sesiapa yang menyasarkan kuasa kepimpinan itu perlulah mengukur baju dibadan sendiri  dengan melihat kemampuan dan kelayakan diri. Ini bagi mengelakkan dari kelemahan pentadbiran, penyalahgunaan kuasa dan kezaliman kepada orang yang dipimpinnya. Kelayakan itu pula diukur berdasarkan ijmak. Namun begitu, seseorang itu perlu menerima kuasa jika dilantik sekiranya kita tiada yang lebih berkelayakan darinya. Jika tidak ia akan menyebakan kuasa tersebut jatuh kepada mereka yang lemah dan akhirnya memberi akibat buruk kepada maslahah umat itu.

Perkara lain yang juga penting dalam setiap diri seorang pemimpin adalah Muhasabah setiap hari. Seusai menunaikan kewajipan solat fardhu, setiap Muslim terutamanya seorang pemimpin  perlu menyoal diri kembali tentang setiap perbuatan, keputusan dan akhlaq mereka bagi menilai samada memberi manfaat atau mudarat kepada masyarakat.

Justeru menjadi pemimpin atau penguasa itu bukan lah tugas yang dianggap mudah dan sewenangnya dipegang oleh mereka yang tidak berkemampuan. Selain bertanggungjawab menjaga kewajipan memelihara kepimpinan diri, kemudian keluarga, dan penguasa juga akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT nanti berkenaan ahli yang berada dibawah amanahnya.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 17 April 2018

Kongsi artikel ini di:

Hajah Mazlina Ismail

Merupakan penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Psikologi & Kesihatan Mental, Book of Assistance, Smart Parents dan banyak lagi.