Keperitan Neraka

DAHSYATNYA siksaan neraka Allah terhadap golongan yang ingkar digambarkan di dalam al-Quran, di antaranya menerusi firman-Nya di dalam Surah Saba’ ayat 33: “Dan berkata pula orang-orang yang tertindas kepada orang-orang yang sombong takbur itu: \”Tidak! Bahkan (yang menghalang kami daripada beriman ialah) perbuatan kamu memperdaya kami malam dan siang, ketika kamu menyuruh kami berlaku kufur kepada Allah dan mengadakan sekutu-sekutu bagiNya. Akhirnya masing-masing diam sambil memendamkan perasaan sesal dan kecewa semasa mereka melihat azab; dan Kami pasangkan belenggu-belenggu pada leher orang-orang yang kafir itu. Mereka tidak dibalas melainkan dengan apa yang mereka telah kerjakan.” Di dalam neraka, malaikat diperintahkan untuk memegang dan mengikat tengkuk manusia, lalu mereka dihumban ke dalam neraka dan dibakar. Kemudian mereka dibelit dengan rantai yang panjangnya 70 hasta, setiap satu hasta sama panjangnya dengan timur dan barat.

Pukulan yang dikenakan kepada ahli neraka itu dengan menggunakan cambuk-cambuk besi yang disediakan Allah bagi mereka yang cuba untuk keluar daripada azab di dalam neraka. Orang-orang kafir yang menghuni neraka, apabila mereka berada di dalamnya dengan keadaan terikat dengan rantai yang membelenggu dan membebani tubuh badan mereka, menyebabkan mereka berada tetap dikedudukan masing-masing sambil melihat peluang untuk keluar daripada neraka. Mereka berusaha merangkak keluar menuju ke bahagian atas neraka dan tindakan mereka itu dilihat oleh malaikat Zabaniah dengan pandangan yang seolah-olah mengejek ahli neraka, dan pandangan itu menambah beratnya bebanan yang ditanggung sebagaimana yang digambarkan di dalam surah al-Muddathir, ayat 17: “Aku akan menyeksanya (dengan azab) yang memuncak beratnya.”

Apabila mereka berada di dalam keadaan hampir untuk keluar dari neraka dalam keadaan susah payah, tiba-tiba didatangi malaikat Zabaniah dan memukul mereka dengan besi dengan kedahsyatan hentaman yang hanya diketahui oleh Allah menyebabkan mereka jatuh  semula ke dasar neraka, kemudian mereka merangkak semula untuk berusaha keluar darinya. Di dalam surah al-Hajj, ayat 21-22, Allah berfirman: “Dan mereka pula disediakan batang-batang besi untuk menyeksa mereka. Tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu, disebabkan mereka menderita azabnya, mereka dikembalikan padanya, serta dikatakan: \”Rasalah kamu azab seksa yang membakar!\”

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati di IKIMfm turut berkongsi kisah tentang Rasulullah yang mendekati seorang pemuda yang sedang menangis di dalam sebuah masjid pada waktu dhuha, dan bertanya kepadanya, “Wahai anak muda,kenapa kamu menangis? Pemuda itu menjawab bahawa dia dibebani dengan hutang-piutang yang banyak dan tidak mampu untuk melangsaikannya. Lalu Baginda menitipkannya dengan doa yang mampu melepaskannya daripada bebanannya itu, “Ya Allah jauhkanlah aku daripada satu bebanan dan juga dukacita. Dan jauhkanlah aku daripada rasa lesu dan malas, jauhkanlah aku daripada rasa takut dan kedekut. Ya Allah, jauhilah aku daripada bebanan hutang dan ditekan oleh orang yang berkuasa.” Setelah mengamalkan doa ini, dengan izin Allah dia dilepaskan daripada bebanan hutang yang membelenggu dirinya.

Belantan besi yang digunakan untuk menghentam ahli neraka yang cuba melepaskan diri, jika diletakkan di atas muka bumi dan setiap manusia dan jin dikumpulkan untuk mengangkatnya, maka tidak akan berjaya menggerakkannya walaupun seinci. Al-Hassan berkata, sesungguhnya neraka itu akan memukul dengan kobarannya sehingga terangkat penghuninya dan apabila berada dipuncaknya, mereka dapat melihat ahli syurga. Pada ketika itu Allah membuka hijab yang memisahkan syurga dan neraka, lalu penghuni syurga menyapa ahli neraka sudahkah mereka merasai janji Allah terhadap orang yang ingkar terhadap perintahnya, sedangkan pada masa yang sama penghuni syurga sedang menikmati ganjaran yang dijanjikan Allah kepada mereka yang taat kepada-Nya. Ketika berada di puncak neraka akibat diangkat kobaran api, kemudian penghuni neraka dihentam dan dipukul oleh malaikat sehingga mereka terjatuh semula  di dalam tempoh 70 musim lamanya untuk kembali ke dasar neraka.

Abu Said al-Qudri menyebut, Rasulullah SAW bersabda: “Kalaulah gunung itu walaupun hanya sekali dihentam daripada cambuk atau belenggu besi penghuni neraka, nescaya berkecai seluruh alam ini.” Manakala Imam Ahmad menyebut di dalam kitab al-Zuhdu daripada Sayyar bahawa Ja’far mendengar daripada Malik bin Dinar menyebut, “Apabila penduduk neraka terkena pukulan belantan besi itu, mereka terjatuh semula di dalam genangan air yang sangat panas mengelegak, lalu dia berlari didalam keadaan terhina sebagaimana seorang yang jatuh ke dalam air di dunia dengan rasa sangat malu kerana dipandang orang terhadap perlakuannya itu.”

Menurut para ulama ada beberapa jenis makanan yang disediakan Allah untuk penghuni neraka. Di antaranya ialah al-dhari’ iaitu makanan yang berduri dan zaqqum. Di dalam surah al- Ghaasyiyah, ayat 6-7, “Tiada makanan bagi mereka (di situ) selain dari pokok-pokok yang berduri, yang tidak menggemukkan, dan tidak pula dapat menghilangkan sedikit kelaparan pun.” Dhari’ juga dikatakan berada di bumi Hijjaz, ia juga merupakan duri yang tidak makan oleh sesiapa, sekalipun seekor haiwan disebabkan buruk rupanya, berbau busuk dan rasanya yang pahit. Diriwayatkan oleh Imam al-Qurtubi daripada Ibnu Abbas, dhari’ berada di dalam neraka dan berduri yang lebih pahit daripada pohon gaharu, lebih busuk daripada bangkai dan lebih panas daripada api neraka.

Di dalam neraka juga terdapat pohon zaqqum, dan merupakan makanan kepada mereka yang melakukan dosa. Apabila ia masuk ke dalam perut penghuni neraka, ia akan mendidih seperti air yang sangat panas. Penghuni neraka yang sedang haus dan kelaparan diperintahkan Allah kepada malaikat untuk memegang dan menangkap mereka, lalu diseret hingga ke tengah-tengah api neraka, kemudian mulut mereka direnggangkan dan disumbat dengan zaqqum. Abu Saud berkata zaqqum dan al-hamim ialah hidangan yang diperuntukkan kepada mereka yang menjadi penghuni neraka Jahim. Selain itu di antara makanan dan minuman neraka ialah ghislim dan ghassaq. Sebagaimana yang terkandung di dalam firman Allah di dalam surah al-Haaqqah, ayat 35-37: “\”Maka pada hari ini, tidak ada baginya di sini (seorangpun dari) kaum kerabat serta sahabat handai (yang dapat menolongnya). Dan tidak ada makanan (baginya) melainkan dari darah yang dicampurkan dengan nanah, yang tidak memakannya melainkan orang-orang yang melakukan perkara yang salah\”.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 29 Disember 2016
\"2016-12-29\"
Scroll to Top