Kepentingan Pendidikan Akhlak

PROFESOR Madya Dr Khalif Muammar A.Harris, pensyarah Pusat Pengajian Tinggi Islam dan Pedabadan Universiti Teknologi Malaysia dalam rancangan Tarbiyyah di radio IKIMfm yang bersiaran setiap Jumaat jam 10.15 pagi, telah membincangkan berhubung dengan kepentingan pendidikan akhlak dalam masyarakat hari ini.

Apabila kita mengetahui sesuatu itu penting bukan bermakna yang lain itu tidak penting. Sebagai contoh apabila kita memiliki anak-anak, tanggungjawabnya ialah memberi makan, minum untuk anak-anak. Tanggungjawab ini bukan sahaja diketahui oleh manusia tetapi juga haiwan. Tetapi jika manusia hanya sekadar tahu memberi makanan sahaja tetapi tidak tahu mendidik anak-anak maka manusia itu tidak ubah seperti haiwan. Manusia perlu memberi pendidikan kepada anak-anaknya bukan sekadar memberi makan dan minum sahaja. Dan pendidikan itu pula bukan setakat ilmu-ilmu yang bersifat duniawi atau tetapi ilmu-ilmu rohani dan akhlak.

Akhlak pula jangan sekadar kita berpuas hati dengan sopan santun seperti mencium tangan orang tua sahaja. Tetapi akhlak ini termasuklah perlakuannya dalam kehidupan sehariannya dalam membawa dirinya sesuai dengan tuntutan ajaran Islam yang merangkumi banyak perkara. Akhlak dengan orang tua, dengan guru dan para alim ulama dan akhlak dalam belajar menuntut ilmu. Mengetahui adab dalam meletakkan sesuatu kena pada tempat yang sepatutnya itu juga merupakan sebahagian daripada akhlak Islam.  

Kalau hari ini kita dapati anak-anak kita tidak berakhlak atau biadap dengan guru dan orang tua, yang salah bukannya anak-anak itu tetapi ibubapa kerana gagal memberi pendidikan akhlak kepada anak-anak ketika mereka masih kecil. Orang tua-tua kita dahulu begitu menitikberatkan pendidikan akhlak sebab itu ibubapa hari ini sebahagiannya besarnya masih lagi berakhlak. Antara lain kerana masa kita dengan anak-anak itu lebih lama. Dahulu rata-rata ibu tidak bekerja dan dengan itu masa ibu dan anak juga lama di rumah dan pendidikan akhlak juga dapat dijalankan. Dengan kedua-dua ibubapa yang bekerja hari ini, anak-anak dibiarkan dengan pengasuh di rumah ini sudah tentu tidak menjamin pendidikan akhlak dapat dilaksanakan dengan biak.

Apabila Islam menyuruh kita memberi penekanan terhadap pendidikan akhlak, rohani, dan tasawuf bukanlah bermakna Islam mengenepikan penekanan terhadap Syariat, atau hukum hakam fekah. Tasawuf, dan hukum hakam kedua-dua sama penting. Jika undang-undang itu diibaratkan seperti tanaman, makan tasawuf atau pendidikan akhlak itu diibaratkan seperti pagar di mana ianya membendung dan mengawal tanaman daripada dimasuki oleh binatang-binatang buas yang boleh merosakkan tanaman itu tadi. Hari ini kita begitu menitikberatkan hukum-hakam, halal dan haram tetapi akhlak tidak begitu diberi penekanan yang kuat.

Apabila pendidikan akhlak diabaikan, maka kita akan dapati banyak kerosakan akan berlaku dalam masyarakat. Masyarakat juga tidak akan bahagia apabila akhlak rosak, dan kebahagian itu bukan bersifat luaran tetapi ianya adalah dalaman, dan rohani. Jika kita mendambakan kebahagian di dunia ini dan bahkan di akhirat, kita perlu beri penekanan yang kuat terhadap pendidikan akhlak kerana apabila kita berakhlak barulah kita menjadi dekat dengan Allah SWT dan dengan itu barulah kita akan menjadi masyarakat yang berbahagia.

Mendukacitakan kita hari yang tidak memiliki akhlak bukan sahaja di kalangan orang-orang awam sahaja, tetapi juga di kalangan para pendakwah, dan mereka yang bergiat aktif dalam gerakan Islam. Kita saling bercakaran dan bertelagah dalam pelbagai bidang. Dalam dakwah, dalam politik dan dalam apa sahaja tanpa boleh berbeza pandangan dengan cara yang berakhlak tetapi sebaliknya dengan kata-kata kesat dan saling kecam mengecam. Ingin kita tegaskan bahawa pendidikan akhlak tidak bermakna mengenepikan syariat atau hukum-hakam tetapi sebaliknya ia saling lengkap melengkapi.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 25 November 2016
Scroll to Top