Kepentingan Ilmu Qalam (Aqidah)

DALAM rancangan Tarbiyyah bersama Professor Madya Dr. Khalif Muammar A.Harris, pensyarah di Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradadan (CASIS-UTM) yang bersiaran di IKIMfm pada Jumaat jam 10.15 pagi, beliau menjelaskan bahawa sepertimana telah disebutkan sebelum ini, tujuan pendidikan itu ialah bagi melahirkan manusia beradab, dan  untuk menjadi manusia beradab dia hendaklah memiliki ilmu yang benar kerana tanpa memiliki ilmu yang benar, dia tidak akan mampu menjadi manusia yang beradab. Di sana ada dua bentuk ilmu yang perlu diketahui, pertama ilmu yang disebut sebagai ilmu Fardu Ain dan satu lagi ilmu Fardu Kifayah.

Ilmu fardu ain itu ibarat akar bagi sebuah pohon, bagi sebuah peradaban Islam sedangkan ilmu fardu kifayah itu seperti sains dan teknologi walaupun penting dalam Islam, namun keutamaan itu tidak sama di mana ilmu fardu ain itu merupakan ilmu yang paling utama. Jangan kita merasakan bahawa setelah kita memahami ilmu  asas fardu ain seperti solat, puasa dan lain-lain maka ianya sudah memadai. Ilmu fardu ain ini bukannya bersifat statik tetapi dinamik dan berkembang sepanjang hidup seseorang itu hinggalah ke akhir hayatnya dia mesti melalui proses pembelajaran sepanjang hayat lebih-lebih lagi di zaman fitnah hari ini di mana banyak cabaran-cabarang pemikiran yang perli didepani.

Pendidikan bukan sekadar untuk menyiapkan manusia bagi mengisi jawatan-jawatan tertentu di pasaran kerja, tetapi bagi melahirkan manusia beradab yang akan menjalankan misi khalifah di atas mukabumi ini. Insan yang beradab juga bertanggungjawab melaksanakan misi islah atau pembaikan dalam masyarakat sepertimana tuntutan ‘amr ma’ruf wa nahy anil munkar’.

Ada tiga cabaran besar yang dialami oleh manusia, pertama ialah cabaran pemikiran dan kekeliruan pemikiran sepertimana yang dibawa oleh golongan modernis pada hari ini. Mereka menolak perbahasan ilmu kalam yang dibawa oleh para ulama silam dan melihat bahawa ianya tidak penting. Begitu juga dengan faham Sekularisme yang dibawa orang-orang Islam yang belajar di Barat dan terpengaruh dengan faham ini. Sebagai contoh dalam ilmu biologi di kalangan masyarakat Barat mereka percaya bahawa manusia itu berasal daripada haiwan sepertimana teori evolusi Darwin.

Faham ini sudah pasti bertentang dengan ajaran Islam kerana Islam memuliakan bani Adam yang diciptakan oleh Allah SWT sebagai makhluk khusus dan bukannya berasal daripada haiwan. Begitu juga faham-faham Barat yang lain yang banyak menular dalam negara kita seperti pluralisme, atheisme, agnotisme, skeptisme, liberalisme dan faham-faham lain yang bertentangan dengan aqidah Islam. Sebagai contoh LGBT yang kini begitu kuat diperjuangkan oleh kelompok tertentu di negara kita ini sebenarnya adalah berasal daripada faham kebebasan diri di mana manusia berhak berbuat apa sahaja atas dirinya.

Faham ini sudah pasti bertentangan dengan ajaran Islam yang mengajar bahawa diri manusia itu adalah amanah Allah SWT dan kerana itu manusia tidak boleh berbuat sesuka hati dengan amanah tersebut. Oleh kerana ianya amanahlah maka manusia tidak dibolehkan membunuh diri kerana hak mencabut nyawa itu hanya milik tuan punya amanah tersebut iaitu Allah SWT.

Justeru itu generasi hari ini perlu dilengkapkan dengan ilmu yang cukup bagi menghadapi cabaran pemikiran masakini kerana cabaran hari ini berbeza daripada cabaran ibubapa dan nenek moyang kita dahulu. Dahulu tiada isu LGBT atau pluralisme agama yang menyamakan semua agama, tetapi pada hari ini ianya semakin rancak dan berkembang. Persiapan dan jatidiri umat Islam hari ini perlu diperkukuhkan kerana apabila mereka meningkat dewasa nanti mereka faham dan mengerti akan faham-faham yang menyeleweng ini yang bertentangan dengan aqidah Islam.

Antara ilmu-ilmu fardhu ain yang wajar dilengkapkan kepada diri generasi muda hari ini sepertimana yang tela dibekalkan kepada generasi ayah dan datuk kita dahulu hingga mereka mampu berhadapan dengan pelbagai aliran pemikiran zaman mereka ialah Ilmu Kalam (aqidah) dan ilmu tasawuf (akhlak). Dua-dua ilmu ini amat penting sekali. Kerosakan aqidah merupakan kerosakan yang amat besar sekali lebih besar daripada kerosakan akhlak itu sendiri. Tiadalah dosa yang lebih besar daripada dosa syirik kepada Allah SWT dan hari ini gejala murtad di kalangan umat Islam semakin menular di kalangan masyarakat hari ini. Kemurtadan merupakan manifestasi daripada kegagalan memahami ilmu aqidah Islam yang sebenar khususnya Ilmu Kalam. Sekiranya seseorang itu memiliki ilmu aqidah yang kukuh, nescaya ianya akan membantu menyelamatkannya dari tergelincir dan jatuh murtad.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 23 Disember 2016
\"2016-12-23\"
Scroll to Top