Kenyataan Media Tun Abdullah Ahmad Badawi

1. Pada 9 hb Mei 2018 rakyat Malaysia yang layak akan mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke 14.  Sekali lagi rakyat Malaysia yang bertanggungjawab akan mengundi bagi menentukan masa hadapan keluarga, masyarakat dan negara.
 
2. Pada umumnya Malaysia sudah melalui pengalaman yang mematangkan.  Rakyat Malaysia telah melaksanakan hak demokrasi mereka sebanyak 13 kali dan jika dimasukkan bersama pilihanraya 1955,  pilihan raya kali ini ialah kali yang ke15.  Rakyat Malaysia sudah cukup pengalaman untuk memahami erti demokrasi dan setiap 5 tahun sekali mereka menunaikan tanggung jawab mereka dengan penuh bijaksana.
 
3. Pilihan Raya ke-14 bakal menentukan keupayaan Negara dan masyarakat menghadapi cabaran-cabaran baru yang tidak pernah dialami sebelum ini.  Pilihanraya ini juga akan menentukan kerajaan yang akan menjaga dan memacu negara dimasa hadapan.  Sama ada masa hadapan negara akan terus maju, makmur dan aman bakal ditentukan oleh kerajaan yang akan dibentuk pada tahun 2018 ini.  
 
4. Malaysia yang berada diambang menjadi negara maju sepenuhnya dengan rakyat berpendapatan tinggi tidak boleh mengelak daripada kesan kesan globilasasi. Semua cabaran ini perlu ditangani oleh sebuah kerajaan yang kuat dan stabil lagi berpengalaman. Kerajaan yang kuat dan stabil hanya boleh didirikan diatas mandat yang kukuh oleh pemimpin pemimpin yang benar benar dapat bekerjasama untuk kebaikan rakyat. Memilih mereka yang sekian lama berlainan pahaman politik tetapi berganding bahu semata mata untuk meraih kuasa untuk memerintah bukanlah sesuatu pilihan yang waras.
 
5. Kejayaan Malaysia mencapai pembangunan yang pesat sejak mencapai kemerdekaan lebih 60 tahun yang lalu telah banyak bergantung kepada kestabilan politik yang kita kecapi selama ini, dengan tampuk kepimpinan yang  terdiri dari pasukan yang benar benar dapat bekerjasama serta akrab berkongsi aspirasi dan cita cita yang sama untuk negara.
 
6. Selain dari itu penggubalan dan kesinambungan dasar yang kukuh dan konsisten, pentadbiran ekonomi yang baik serta struktur pemerintahan yang jelas dan peralihan kuasa didalam Perikatan dan Barisan Nasional dari satu Perdana Menteri ke satu Perdana Menteri secara stabil telah menentukan kesinambungan kemajuan Malaysia selama ini.
 
7. Jadi pilihan pada kali ini juga hendaklah dilakukan atas kewarasan fikiran dan kesedaran bahawa kriteria kriteria ini penting dalam memilih parti yang akan memacui pemerintahan negara.
 
8. Ini bukan suatu perjudian mempertarungkan nasib, ataupun menukar haluan semata mata kerana tidak puas hati dgn beberapa isu. Tiada semuanya yang seratus peratus sempurna. Nilai segala janji yang diberi secara terperinci. Apa yang benar benar dapat dikotakan dari apa yang manis dibibir sahaja. Timbangkan kesemuanya secara keseluruhan dan fikirkanlah masak masak dan secara waras (dengan izin) … “spring may lead into a glorious summer but can also end up in a winter of discontent for our children”.
 
9. Sama ada ekonomi negara akan terus makmur seperti yang kita kecapi selama ini, sama ada masa depan generasi muda dan tua terus cerah dan sama ada negara terus selamat aman dan makmur atau mundur dipinggiran bakal ditentukan oleh pilihan anda pada 9 haribulan Mei 2018 nanti.
 
10. Sebagai seorang rakyat Malaysia yang pernah suatu ketika menjadi peneraju negara, saya ingin melihat kematangan politik yang tinggi di kalangan calon calon pada pilihanraya ke -14 ini.  
 
11. Para calon dan parti-parti yang bertanding hendaklah menjiwai erti demokrasi secara rasional.  Bukan demokrasi berasaskan emosi dan kemarahan.
 
12. Saya  juga ingin mengingatkan calon calon pilihanraya kali ini bahawa kita manawarkan diri bukan semata mata untuk meraih, merampas atau mengekalkan kuasa memerintah tetapi untuk diberi peluang untuk berbakti kepada rakyat dan negara.  
 
13. Semua calon mesti cukup berwibawa dan berhemah tinggi dalam menawarkan diri, dasar atau ideologi masing-masing untuk penilaian rakyat. Bukan tuduh menuduh membakarkan kemarahan rakyat semata mata untuk meraih sokongan
 
14. Yang penting adalah rakyat bukan agenda atau cita cita politik seseorang individu.
 
15. Atas semua perkara yang saya telah nyatakan, saya mengajak semua rakyat Malaysia melaksanakan hak demokrasi masing-masing dengan aman dan penuh tanggungjawab tanpa sebarang sengketa. Marilah kita membina tamudun negara dan bangsa mengikut cara yang menyerlahkan integriti, etika dan keimanan peribadi yang tinggi.  Yakinlah bahawa maju mundur, kaya miskin dan hina mulianya bangsa adalah di tangan kita. Saya mendoakan agar pilihanraya kali ini berjalan dengan lancar dan teratur didalam keadaan yang aman dan selamat dan keputusan yang bakal dizahirkan nanti adalah sesuatu yang baik untuk negara kita Malaysia yang kita cintai.
 
Sekian.  Selamat mengundi.
 
TUN ABDULLAH AHMAD BADAWI

Kongsi artikel ini di:

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my