Kenyataan Akhbar : Pelantikan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan

KENYATAAN AKHBAR : PELANTIKAN KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN PENDIDIKAN

Sukacita saya ingin memaklumkan pelantikan YBhg. Dato’ Sri Alias bin Hj. Ahmad sebagai Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan mulai 3 September 2016 bagi menggantikan YBhg. Tan Sri Dr. Madinah binti Mohamad yang bersara wajib.

KSU_curved2. YBhg. Dato’ Sri Alias bin Hj. Ahmad, 58 tahun, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dari Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana Pengajian Strategik dan Pertahanan dari Universiti yang sama. Beliau telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama lebih 32 tahun apabila mula menyertai perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 9 Januari 1984. Beliau berpengalaman luas dalam bidang perancangan, penyelidikan dan dasar, pengurusan sumber manusia dan keselamatan menerusi karier perkhidmatan di antaranya sebagai:

  • Setiausaha Bahagian, Bahagian Penyelidikan dan Perancangan, Kementerian Dalam Negeri;
  • Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri;
  • Ketua Pengarah, Jabatan Imigresen, Kementerian Dalam Negeri;
  • Ketua Setiausaha, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; dan
  • Setiausaha, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri.

3. Saya percaya dengan pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki oleh YBhg. Dato’ Sri Alias bin Hj. Ahmad akan membolehkan beliau melaksanakan tanggungjawab ini dengan berkesan dan mampu meneruskan misi Kementerian Pendidikan dalam melestarikan sistem pendidikan yang berkualiti untuk membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi Negara.

4. Pada masa yang sama, bagi pihak Kerajaan, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YBhg. Tan Sri Dr. Madinah binti Mohamad di atas segala sumbangan dan khidmat bakti beliau kepada Perkhidmatan Awam dan negara selama lebih 35 tahun.

oleh
YBhg. Tan Sri Dr. Ali bin Hamsa
Ketua Setiausaha Negara

Kongsi artikel ini di: