Kementerian Pendidikan siasat dakwaan jual maklumat pelajar

GEORGETOWN, 30 Disember – Kementerian Pendidikan akan menyiasat dakwaan wujud kegiatan menjual maklumat peribadi pelajar sekolah oleh kakitangannya, kepada kolej dan institusi pengajian tinggi (IPT) swasta.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Senator Chong Sin Woon, berkata pihaknya memandang serius dakwaan berkenaan kerana data peribadi pelajar sekolah adalah maklumat yang perlu dilindungi.

“Kementerian akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan itu dan kita perlukan sedikit masa bagi mengumpulkan bukti.

“Kita akan mengambil tindakan tegas jika terbukti wujud salah laku kakitangan kementerian yang menjual maklumat peribadi pelajar sekolah kepada IPT swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan cek Peruntukan Pakej Rangsangan Khas (PRK) 2014/2015, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pendidikan Negeri, Shaari Osman.

Difahamkan, maklumat peribadi terutamanya pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dijual pada harga RM1,500 kepada IPT swasta, yang kemudiannya akan digunakan untuk merekrut pelajar terbabit ke institusi berkenaan.

Sementara itu, Sin Woon berkata, sebanyak 123 sekolah membabitkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC); Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Mubaligh di negeri ini, menerima PRK berjumlah RM8.9 juta bagi menyelenggara kemudahan sedia ada.

Dalam pada itu, Sin Woon turut menggesa pengurusan sekolah untuk menyerahkan borang permohonan peruntukan 2016 sebelum akhir Januari ini, bagi memudahkan saluran agihan yang bermula Mac hadapan.

Kongsi artikel ini di:

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my