Kemenangan PH Bawa Perubahan Kepada Perkembangan Islam Di Malaysia

PETALING JAYA, 17 Mei – Kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lalu  bakal  membawa perubahan kepada pentadbiran agama Islam di Malaysia.

Justeru, tegas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tekanan akan diberikan  oleh kerajaan Pakatan Harapan kepada ajaran Islam seperti yang terkandung  dalam Al-Quran dan hadis-hadis yang sahih.

Beliau menyatakan perkara tersebut  dalam perutusan khas sempena bulan Ramadan menerusi catatan blog pertama beliau sejak dilantik sebagai perdana menteri.

Menerusi perutusan itu, Tun  Dr Mahathir turut melahirkan kesyukuran kerana keputusan pilihan raya tidak membawa kepada kekacauan seperti “di sesetengah negara lain”, selain merakamkan penghargaan kepada pasukan keselamatan.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri  mengutuk Israel atas kematian  60 rakyat Palestin ditangan tentera rejim zionis itu ketika bantahan di sempadan Gaza pada Isnin.

Ujar beliau Malaysia menentang pemindahan pejabat Kedutaan Amerika Syarikat  dari Tel Aviv ke Baitulmuqqadis.

Laporan menyebut bahawa sejumlah  rakyat Palestin  sedang mengadakan bantahan  terhadap  pemindahan  kontroversi itu  apabila  tentera Israel melepaskan tembakan terhadap mereka.

Kongsi artikel ini di:

Ahmad Nazri Yusof

Merupakan Pengurus Berita Radio di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Minhajul Abidin, Nasyid Klasik, Kerjaya dan Hala Tuju dan banyak lagi.