Kemanisan Khidmat

HIDAYAH hadir dalam hidup insan dalam dua bentuk iaitu intibahah dan istiqomah. Intibahah adalah hidayah yang membangkitkan seseorang daripada lena yang panjang serta mengejutkan seseorang daripada terus alpa dan lalai. Pada yang kafir, saat Allah SWT mencampakkan intibahah, maka akan terbit kalimah syahadah di bibirnya. Bagi umat Islam yang culas dalam menundukkan diri kepada Allah, hasil intibahah akan terserlah ketaatan dan kepatuhan yang tidak berbelah bagi.

Hidayah istiqomah pula bersifat ikhtiar dan mujahadah yang berterusan. Ini merupakan fasa kedua selepas mendapat hidayah intihabah. Proses-proses hidayah ini telah di bincangkan oleh Naqib; Ustaz Zul Ramli M.Razali menerusi Usrah Nurani yang bersiaran pada pukul 5.15 petang Jumaat lalu di radio IKIMfm bersama rakan usrah di konti; Saudari Fara Othman; Pengasas Into Taqwa Malaysia dan Puan Noraidah Yaakub, Pensyarah Bimbingan dan Kaunseling IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka untuk di ambil manfaat dalam meningkatkan kemanisan taat dan kelazatan khidmat dalam meraih redha tuhan yang Maha Esa.

Jika iman (kalimah syahadah) itu diumpamakan oleh Allah sebagai pohon yang baik, maka kemanisan iman adalah rasa pada buah yang telah masak ranum, terhasil oleh kesuburan pohon yang telah berbatang, berdahan, berdaun dan berbuah itu. Allah SWT menggambarkannya menerusi firmanNya yang bermaksud : “Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran).” (Surah Ibrahim, ayat 24 dan 25). Ulamak Mufassir mentafsirkan ayat tersebut sebagai tamsilan Islam pada buah. Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik dengan akar yang kuat dan cabangnya menjulang ke langit serta menghasilkan buah pada setiap waktu dengan seizin Tuhannya.

Ustaz Zul Ramli menerangkan bahawa buah iman menurut Islam berlaku dalam dua keadaan dalam diri seseorang. Pertama, nikmat merasai kemanisan dalam membuat ketaatan yang merujuk kepada hubungan dengan Allah SWT. Inilah orentasi yang telah di kecapi oleh kebanyakan umat Islam yang benar-benar menjalani kehidupan Islam yang sebenar. Kedua pula adalah rasa lazat dalam berkhidmat untuk agama. Sudah menjadi kewajipan setiap orang Islam memburu kemanisan iman. Ia perlu dijadikan agenda utama dalam hidup mengatasi segala-galanya. Bahkan jika disedari, pemburuan untuk merasai kemanisan iman ini adalah agenda seumur hidup. hidup dan mati dengan iman serta pinta dimasukkan ke dalam syurga dengan iman.

Ironinya, individu yang melakukan hijrah dalam hidup mereka iaitu daripada belum Islam kepada Islam dan daripada ingkar kepada taat pada suruhan agama akan lebih berpeluang mengecapi nikmat-nikmat indah dan manisnya iman itut. Namun, hidup dengan hanya mengamalkan Islam sebenarnya belum cukup sehingga seseorang individu itu sanggup berjuang dan berkhidmat untuk agama kerana itu juga sebahagian daripada tanggungjawab umat Islam.

Sesungguhnya menjadi seorang soleh (baik) belum cukup sehingga menaiktaraf diri menjadi musleh (yang menyebarkan dan memberikan kebaikan dengan menyampaikan Islam kepada orang lain). Rasulullah SAW telah membina cetakkan terbaik sedari awal mengislamkan para sahabat seperti Saidina Abu Bakar as-siddiq. Segala formula diserap bersama syahadah yang diungkapkan sehingga tanpa bertangguh, di hari pertama pengislamannya beliau telah berjaya mengislamkan beberapa orang yang lain. Justeru, kehebatan Rasulullah SAW itu hendaklah di tekap oleh semua umat kerana ia telah menjadi tanggungjawab semua untuk berkhidmat untuk agama sehingga pengakhiran dunia.

Lazimi pertanyaan pada diri, apakah yang telah diberi untuk agama setelah menerima manisnya iman daripada Ilahi? Kurangkan memberi alasan saat di ajak untuk meraikan kerja-kerja khidmat untuk agama seperti menyertai usrah, meramaikan majlis ilmu, berdakwah mengajak umat kepada agama dan lain-lain. Umat Islam seharusnya meluaskan fokus dan oriantasi kehidupan yang tidak hanya tertakluk kepada perkara asas semata iaitu untuk menjadi soleh, tetapi bertatihlah menambah nilai iman sehingga mencapai tahap musleh.

Islam bukan agama untuk kepentingan peribadi atau agama untuk individu tertentu. Islam adalah agama untuk di amal dan didakwahkan agar yang lain dapat turut sama merasai kemanisannya. Segala usaha di jalan dakwah termasuk sumbangan tenaga, curahan idea, sokongan kewangan yang membawa kepada diri dan orang lain kenal Allah adalah jalan menggapai status musleh.

Dalam rangka mencontohi baginda Rasulullah SAW yang memberi khidmat seluruh usia baginda untuk menyebarkan agama serta menyelamatkan umat daripada siksaan neraka, maka sewajarnya sebagai umat Baginda kita berperanan dalam melaksanakan dakwah sekaligus meramaikan ummah. Setiap individu muslim wajib melaksanakan tugas ini mengikut kemampuan dan keahlian masing-masingsebagaimana Firman Allah : “Orang-orang mukmin lelaki dan orang-orang mukmin perempuan setengahnya mereka menjadi pembantu kepada setengah yang lain, mereka bersama-sama menyuruh ke arah kebaikan dan melarang daripada kemungkaran, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana .” (Surah At-Taubah, ayat 71).

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 22 April 2016
\"2016-04-22\"
Scroll to Top