Kelahiran Anak Ujian Buat Para Ibu Bapa

KELAHIRAN seorang anak itu merupakan satu anugerah kepada seseorang daripada Allah  SWT. Anugerah yang begitu tinggi nilainya kepada hamba-hamba-Nya. Mengapa satu anugerah?Setiap anak yang lahir telah dijanjikan pemberian rezeki masing-masing daripada Allah SWT. Firman Allah dalam Al-Quran: Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut miskin. Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepadamu. Membunuh mereka itu sungguh suatu dosa yang besar.\”(Surah Al-Israa\’ , ayat 31).

Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulumuddin menjelaskan bahawa anak adalah amanah Allah kepada orang tua. Hatinya masih suci bagaikan acuan asli yang masih bersih daripada segala corak dan warna. Jika dibiasakan dan dibina untuk menjadi baik maka ia akan menjadi baik. Kedua-dua orang tua, para guru dan pendidiknya pun akan menuai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Sebaliknya, bila dibiasakan terhadap keburukan, maka buruklah jadinya. Menjadi ibu bapa bukan sekadar bertindak sebagai penjaga. Ramai orang mengambil mudah mengenai tanggungjawab sebagai ibu bapa. Ada yang menganggap asal sahaja sudah bagi makan minum, pakaian dan tempat tidur, itu sudah cukup. Renungkanlah, Allah SWT hendak melihat anak itu bukan setakat dibesarkan, bahkan diasuh sehingga menjadi hamba dan khalifah-Nya yang soleh. Dunia hari ini memerlukan kepada penguasaan sains dan teknologi, pengurusan dan pentadbiran, ekonomi dan kewangan, dan sebagainya. Inilah yang menuntut ibu bapa untuk menyediakan bekalan pengetahuan duniawi kepada anak-anak supaya mereka tidak ketinggalan bahkan terkehadapan berbanding orang lain. Namun demikian, keseimbangan antara ilmu duniawi dan ilmu ukhrawi mestilah wujud. Atas kesedaran itu, ibu bapa hendaklah berusaha sedaya mungkin untuk menyediakan ilmu akhirat kepada mereka. Pupuklah mereka supaya bercita-cita tinggi untuk memburu kejayaan di dunia dan akhirat

Anak-anak pasti memiliki kelemahan, namun ibu bapa disaran memberi tumpuan kelebihan mereka. Amat menyedihkan apabila ada dia antara ibu bapa menilai keunggulan seseorang anak terletak kepada pencapaian akademiknya. Setiap anak misalnya harus mendapat  sebanyak “A” dalam setiap peperiksaan. Realitinya ramai anak-anak yang kurang cerdik dalam akademik, tetapi bijak dalam ilmu pengetahuan atau menyelesaikan masalah teknikal. Jika  mempunyai anak-anak yang lemah  dalam akademik, elakkan memandang rendah kepada mereka dan mengucapkan kata-kata negatif. Sesungguhnya Allah SWT tidak menjadikan setiap anak sia-sia, pasti ada tujuan dan hikmah di sebaliknya. Ibu bapa yang sangat menyayanagi anak-anak pasti mencari jalan untuk mengatasi kelemahan yang ada pada diri anak-anak mereka. Bukannya saban hari mengeluh atau merungut meluahkan kekecewaan. Cuba kita renung-renungkan  sebab Allah SWT mengurniakan anak tersebut kepada kita. Allah telah menciptakan manusia berbeza-beza. Oleh sebab itu, janganlah membanding-bandingkan anak-anak antara mereka atau dengan anak-anak orang lain.

Doa adalah permohonan seseorang hamba kepada Rabb-Nya untuk memohon  perlindungan (inayah) dan pertolongan. Doa juga merupakan simbol daripada pengahambaan serta merasakan diri hina dan lemah sebagai manusia di hadapan Allah SWT. Oleh itu, sebagai  ibu bapa  juga, mereka  perlulah sentiasa berdoa supaya kelebihan yang ada pada diri anak-anak dapat dimanfaatkan ke jalan yang diredhai Illahi. Kekurangan mereka pula menjadi sumber inspirasi  untuk berdaya saing atau paling tidak membangunkan jiwa. Sesungguhnya, mendoakan anak-anak menyebabkan rasa cinta kita kepada mereka semakin bertambah. Di samping itu, adalah menjadi  tanggungjawab ibu bapa melatih anak-anak agar memiliki harga diri yang tinggi.  Kelebihan berbuat demikian, ialah apabila ditimpa kegagalan, anak tersebut tidak mudah berasa dirinya tidak mampu sehingga takut untuk mencuba sekali lagi. Kata-kata perangsang akan mempengaruhi minda dan jiwa anak-anak untuk maju ke hadapan. Justeru, ibu bapa perlu sentiasa mendorong  anak-anak tersebut supaya sentiasa yakin dan selesa dengan diri sendiri. Sesiapa yang memperkecilkan anak-anak, seolah-olah dia memperkecilkan Allah SWT yang menganugerahkan anak-anak tersebut. Oleh itu, alangkah baiknya jika memahami diri anak-anak.

Begitu juga  juga  anak-anak yang dilahirkan sebagai kurang upaya. Membesarkan anak kurang upaya bukanlah sesuatu yang mudah. Segalanya perlu dihadapi dengan tabah dan sabar. Ibu bapa perlu ingat bahawa walaupun anak itu kurang dari satu aspek, ia tentu mempunayi kelebihan dalam aspek yang lain. Umpamanya, seorang anak yang cacat penglihatan, mungkin dilahirkan sebagai seorang yang berbakat untuk menjadi penyair yang terkenal .

Anak sebagai amanah Allah perlu diberi perhatian supaya mereka menjadi insan bertakwa dan berguna kepada agama, bangsa serta negara. Alangkah beruntungnya ibu bapa memiliki anak soleh yang doanya berterusan kepada kedua ibu bapanya.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 28 November 2016
Scroll to Top