Keistimewaan Zulhijjah

SESIAPA yang membesarkan syiar Allah, itu menandakan mereka di kalangan orang-orang yang bertaqwa. Sebelum menyambut Aidilfitri, umat Islam disyariatkan berpuasa sepanjang Ramadan, manakala sebelum Aidiladha, pada 1 hingga 9 Zulhijjah merupakan masa yang paling bernilai iaitu berkumpulnya manusia di Padang Arafah untuk memohon keampunan kepada Allah SWT. Masing-masing datang daripada segenap penjuru dunia di dalam keadaan menadah tangan berdoa kepada Allah agar mengampunkan dosa.

Aidiladha lebih bernilai berbanding Aidilfitri kerana ia merupakan waktu yang dituntut oleh Allah untuk memperbanyakkan muhasabah diri. Selain itu bagi Aidilfitri, Allah telah menyusun agar manusia berpuasa pada bulan Ramadan, namun untuk Aidiladha, Allah memberi pilihan kepada umat manusia untuk  melakukan ibadah. Rasulullah SAW juga berpesan kepada sesiapa yang berpuasa sunat pada hari Arafah, Allah mengampunkan dosa setahun yang akan datang dan setahun sebelumnya. Sebagaimana perkongsian Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati di IKIMfm, Rasulullah juga menggalakkan  umat Islam berpuasa bermula 1 hingga 9 Zulhijjah, memperbanyakkan taubat dan beristighfar kepada Allah. Aidiladha juga memberi banyak iktibar kepada umat Islam di atas apa yang dilalui oleh Nabi Muhammad SAW dan Nabi Ibrahim AS, dua orang rasul yang seringkali disebut ketika di dalam solat, bahkan tidak sah solat seseorang itu tanpa menyebut nama kedua-dua rasul ini kerana mereka adalah di antara nabi yang dianuerahkan Allah kesempurnaan dalam ujian perjalanan hidup.

Firman Allah di dalam Surah al-Ankabut, ayat 1-3: “Alif, Laam, Miim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta.” Bagi orang yang beriman kepada Allah, ujian demi ujian ditempuhi, begitu juga kemuncak ujian yang yang dihadapi Nabi Ibrahim yang dikenali sebagai Aidiladha, dan kini kita mengenang kembali sejarah kehidupan Baginda sehingga sebahagian besar ibadah  yang dilakukan oleh mereka yang melaksanakan ibadah haji, dilakukan semula sebagaimana ujian yang dihadapi Baginda. Di antara ujian tersebut ialah bapa kepada Nabi Ibrahim AS tidak beriman kepada Allah dan membina berhala-hala dan meminta Baginda menjualnya. Di dalam keadaan serba salah, Baginda membawa berhala-berhala itu ke sekeliling kampungnya sambil menyebut: “Wahai orang kampung, datanglah membeli berhala yang bodoh ini jika kamu di kalangan orang yang bodoh. Belilah berhala yang pekak ini jika kamu pekak dan belilah berhala yang buta ini sekiranya kamu buta.” Akhirnya apabila pulang, Nabi Ibrahim ditanya ayah Baginda, berapakah hasil jualannya. Baginda memberitahu tidak ada satu pun berhala yang dapat dijual. Baginda turut diuji apabila dibakar oleh Raja Namrud kerana memusnahkan berhala, dengan kuasa Allah kerana keyakinan hidupnya bergantung hanya kepada-Nya, unggun api yang marak menyala itu menjadi sejuk.

Nabi Ibrahim AS juga diuji dengan tidak dikurniakan anak. Tetapi diusia tuanya, Nabi Ibrahim dikhabarkan oleh malaikat bahawa baginda akan beroleh zuriat. Walaupun pada awalnya beliau sukar mempercayainya, namun dengan kuasa Allah, segalanya boleh berlaku. Apabila lahirnya Nabi Ismail, Nabi Ibrahim diuji lagi apabila diperintahkan oleh Allah supaya membawa isterinya dan anaknya ke suatu tempat yang jauh daripada bumi Palestin. Apabila sampai ke bumi Bakkah (Mekah), suatu lembah yang tidak berpenghuni dan tiada sebarang tanam-tanaman, Nabi Ibrahim diarahkan Allah untuk meninggalkan keluarganya di situ. Apabila mendengar perintah Allah itu, Baginda  dirayu isterinya Hajar kenapa dia dan anaknya Ismail perlu ditinggalkan. Sambil mengusap rambut isterinya, Nabi Ibrahim memberitahu isterinya bahawa Allah memerintahkannya berbuat demikian, lalu dia meredhai suruhan tersebut.

Setelah ditinggalkan suaminya, ketika anaknya Nabi Ismail menangis teresak-esak, Hajar berlari-lari di antara Safa dan Marwah sejauh tujuh  pusingan untuk mencari air dan akhirnya kedengaran air mengalir ditelapak kaki anaknya. Satu lagi ujian yang dihadapi Nabi Ibrahim ialah apabila Allah memerintahkan agar Nabi Ismail disembelih. Nabi Ibrahim dan anaknya itu akur dengan arahan Allah, malah di dalam perjalanan untuk menunaikan perintah Allah Baginda masih diuji apabila di ganggu syaitan yang menyamar sebagai manusia, berulang kali memanggil Baginda dan bertanya adakah anaknya akan disembelih. Lalu untuk meneguhkan pendiriannya, Nabi Ibrahim mengambil batu lalu dibaling sambil menyebut : “Dengan nama Allah, aku rejamkan syaitan dan segala puak-puaknya.” Direjam dengan tujuh biji batu yang dilakukan sehingga kini oleh mereka yang melaksanakan ibadah  ketika berada di jamrah pada hari-hari tasyrik. Iktibar di sebalik peristiwa ini, walaupun perintah Allah itu diluar pemikiran manusia, tetapi mentaati perintah Allah itu adalah lebih utama. Jangan sesekali mempertikaikan perintah Allah, jadikan diri hamba kepada-Nya yang taat sebagaimana Nabi Ismail AS yang merelakan dirinya dikorbankan walaupun akhirnya Baginda ditukar dengan seekor kibas. Malah di dalam kehidupan manusia akan sentiasa berlaku gangguan daripada syaitan terutamanya ketika melakukan ibadah, maka lazimilah dengan sentiasa menyebut: “ Ya Allah, lindungilah aku daripada kejahatan syaitan yang direjam itu.”

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 15 September 2016
\"2016-09-15\"
Scroll to Top