Keharmonian dan Keamanan bukti Semangat Perpaduan

Kuala Lumpur, 26 Feb – Keharmonian dan keamanan negara Malaysia membuktikan semangat perpaduan yang tinggi di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Jamil Khir bin Baharom berkata semangat muhibbah dan kehidupan yang sejahtera membolehkan rakyat di negara ini menjalankan kehidupan dengan lebih sejahtera tanpa sebarang gangguan yang boleh menimbulkan konflik atau kekacauan.

Justeru katanya amat penting setiap rakyat berusaha mengekalkan persefahaman, kesejahteraan dan hubungan yang harmoni agar ikatan perpaduan masyarakat terus kukuh dan keamanan dapat dinikmati sampai bila-bila.

Katanya dalam ucapan aluan pada majlis Ramah Mesra Menteri di Jabatan Perdana Menteri bersama Pemimpin -pemimpin Agama Sempena Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia 2018 di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya.

Majlis tersebut dianjurkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA), kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup.

Turut hadir pemimpin- pemimpin persatuan agama dan Ahli Jawatankuasa JKMPKA.

Pada majlis berkenaan Datuk seri Jamil dan Tan Seri Joseph turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 32 orang ahli Jawatankuasa JKMPKA sesi 2018- 2019.

Sementara itu dalam ucapannya Tan Sri Joseph memaklumkan kerajaan bersetuju memberikan insentif berbentuk geran aktiviti bagi program keharmonian antara agama kepada tujuh badan bukan kerajaan (NGO) agama berjumlah RM35,000.

Katanya, geran berkenaan sebagai galakan kepada Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPA) meneruskan usaha mempromosi persefahaman dan keharmonian antara penganut pelbagai agama di Malaysia.

Kongsi artikel ini di: