Kedaulatan negara tidak akan dikompromi – Najib

KUALA LUMPUR, 17 April – Kerajaan tidak akan sekali-kali berkompromi dengan hal-hal yang membabitkan kedaulatan negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata pelbagai langkah telah diambil dalam memastikan negara dan rakyat Malaysia terus berada dalam keadaan aman serta harmoni termasuk meluluskan Akta Majlis Keselamatan Negara dan Akta Pencegahan Keganasan.

Selain itu, Najib berkata Akta Antiberita Tidak Benar 2018 juga telah dikuatkuasakan bagi melindungi rakyat daripada tempias berita palsu yang semakin berleluasa.

Menjelas lanjut, beliau berkata berita palsu dan tidak benar mungkin nampak remeh tetapi sebenarnya membawa ancaman keselamatan yang besar seperti yang berlaku di beberapa negara apabila berita palsu digunakan pihak luar sebagai alat untuk campur tangan dalam proses demokrasi negara berkenaan.

“… dan yang menghairankan perkara ini disokong oleh sesetengah pemimpin pembangkang! Masa depan negara kita perlu ditentukan oleh rakyat Malaysia berasaskan fakta, bukan berita, janji atau harapan palsu semata-mata!,” katanya dalam catatan di laman blog www.najibrazak.com hari ini.

Najib turut melahirkan rasa kesal kerana usaha kerajaan sedikit sebanyak diganggu oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang sanggup membelakangkan negara dan meminta campur tangan negara asing hanya kerana tamakkan kuasa.

Sumber BERNAMA

Kongsi artikel ini di:

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my