Kecelaruan Pemikiran Golongan Liberal

DALAM rancangan slot Tarbiah yang bersiaran di radio IKIMfm pada Jumaat jam 10.15 pagi, Prof. Madya Dr. Khalif Muammar A.Harris, pensyarah di Pusat Kajian Tinggi Islam dan Peradaban Universiti Teknologi Malaysia membicarakan berhubung “Kecelaruan Pemikiran Golongan Liberal”. Beliau mengupas berhubung dengan kewujudan banyak aliran-aliran yang merebak dalam masyarakat Islam hari ini. Bahkan kewujudan pemikiran-pemikiran yang menyeleweng ini sudah wujud untuk sekian lamanya. Di zaman Imam al-Ghazali lagi, beliau sudah menyebut bahawa umat Islam pada zamannya itu sedang berada dalam lautan yang luas dan cabarannya berenang dalam lautan yang luas dengan gelombang ombak yang besar dan jika tidak dengan pertolongan Allah SWT pasti kita akan tenggelam dan lemas dalam lautan tersebut. Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas ketika mengulas berhubung dengan pemikiran ini menyebut sejak tahun 1973 bahawa budaya Barat merupakan antara penyebab kepada terhakisnya jati diri bangsa dan umat Islam di tanahair kita.

Kecelaruan yang dimaksudkan di sini ialah perkara-perkara penting yang menjadi pegangan teguh di kalangan para pendokong liberalis yang berpaksikan kepada ajaran-ajaran para orientalis Barat yang telah membuat rumusan dan dapatan yang salah terhadap ajaran agama Islam. Antara tokoh-tokoh Barat yang banyak mempengaruhi golongan liberal dan sarjana Muslim  ialah para orientalis seperti Ignaz Goldziher, Joseph Schact, Snouck Hurgronje dan ramai lagi dan menolak karya-karya yang ditulis oleh para ulama muktabar yang lebih awal sejak lebih 1400 tahun. Sedangkan orientalis-orientalis Barat ini adalah musuh Islam dan  berniat jahat dengan menyemaikan bibit-bibit  kekeliruan dan keraguan terhadap ajaran Islam. Mereka menyemaikan tentang keaslian al-Qur’an dan al-Hadith dan mempertikaikan autoriti para ulama. Mereka juga turut mendakwa kononnya sistem pemerintahan Islam ialah sistem yang bersifat teokrasi dan mirip fasisme yang bersifat kuku besi dan menindas.  Mereka turut menuduh pemerintahan Islam itu menentang hak-hak asasi manusia kononnya mendakwa bahawa Islam itu bertentangan dengan hak-hak asasi manusia. Seorang cendikiawan Sudah yang menetap di Barat iaitu Abdullah Naim telah menyeru agar Islam diubah supaya selari dengan hak-hak asasi manusia.

Kita tidak menolak hak asasi, tetapi yang  kita tolak ialah hak-hak asasi versi Barat yang memberi kebebasan mutlak kepada manusia tanpa batas. Sedangkan Islam telah lama dan terlebih dahulu memberikan hak –hak asasi kepada manusia tetapi hak tersebut perlu ada hadnya.

Ketiga, mereka turut turut menuduh Islam ini menindas kaum wanita dan mendiskriminasikan dan penindasan kepada kaum wanita. Bertudung atau berhijab itu sebagai satu contoh simbolik betapa ajaran Islam itu menindas wanita kerana ia menyebabkan wanita itu tidak bebas berpakaian mengikut kehendak yang mereka mahukan untuk bebas memakai apa sahaja. Perkara ini sudah pasti tidak benar kerana jika ditanyakan kepada wanita-wanita yang bertudung mereka akan mendapati bahawa jawapan sebaliknya. Aurat atau hak seksualiti wanita dalam Islam telah dihadkan hanya kepada lelaki yang berhak melihatnya sahaja dan inilah merupakan kuasa memilih yang ada bagi seorang wanita dan bukannya bermakna Islam menindas mereka. Sedangkan jika dia membuka aurat kepada semua orang, ianya lebih menampakkan betapa murahnya aurat dan kecantikan wanita yang boleh ditonton oleh sesiapa sahaja tanpa had.

Keempat, tuduhan yang dilemparkan terhadap umat Islam oleh golongan liberal ini ialah kononnya umat yang tidak anti-rasional dan menolak akal. Konon kata mereka agama dan akal itu saling bertentangan dan tidak selari dan jika umat Islam berpegang teguh kepada agama dan ajaran Islam, maka mereka kononnya telah menolak akal. Tanggapan ini sudah pasti palsu kerana ajaran Islam tidak pernah memusuhi akal namun akal dalam Islam perlu dibatasi oleh ajaran al-Qur’an dan al-Hadith. Islam meletakkan akal itu pada tempatnya kerana akal itu mempunyai had dan batas yang tidak mampu sampai memikirkan perkara-perkara yang di luar kemampuannya dan di sinilah peranan al-Qur’an dan al-Hadith menerangkannya seperti perkara-perkara yang bersifat ghaib, wujudnya syurga dan neraka dan lain-lain yang tidak mampu ditanggapi oleh akal manusia.

Kelima, tuduhan bahawa hukuman Islam itu kejam. Mereka membataskan syariat Islam itu kepada hukum hakam seperti Hudud dan Qisas semata dan mereka menuduh ianya tidak sesuai dan tidak relevan lagi di zaman ini. Pada kita, hukum hakam yang dianggap kejam oleh golongan liberalis itu sebenarnya diakui berat namun ianya mempunyai asas-asas dan sebab kenapa ianya sebegitu. Bahkan dalam undang-undang sivil hari ini pun banyak undang-undang yang boleh ditafsirkan sebagai “kejam” sebagai contoh hukuman terhadap mereka yang mengedar dadah, hukuman terhadap mereka yang memiliki senjata api tanpa lesen dan banyak lagi.  Untuk dadah dikenakan hukuman berat, tetapi untuk zina tidak dikenakan hukuman berat. Bagi kita dadah dan zina kedua-duanya kesalahan yang besar dan  justeru itu seks bebas, perzinaan dan pelacuran bukan suatu yang boleh dipandang ringan kerana ianya melibatkan zuriat yang bakal dilahirkan yang perlu dijaga supaya warisan keturunan itu terpelihara dan itulah salah satu daripada Maqasid Shariah Islam iaitu memelihara keturunan. Namun hari ini perzinaan menjadi suatu yang biasa dan normal dalam masyarakat kini.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 4 November 2016
\"2016-11-04\"
Scroll to Top