Keberatan Maut & Kengerianya

ALLAH SWT mengangkat dan memuji Rasulullah SAW sebagaimana firman-Nya menerusi Surah al-Ahzab, ayat 21: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”. Umat yang mampu mengikuti akhlak Nabi Muhammad SAW terdiri daripada beberapa golongan. Menerusi perkongsian bersama Ustaz Mohd. Meeftah Hj. Annuar di dalam slot Mau’izati di IKIMfm, golongan pertama ialah orang yang matlamat hidupnya adalah Allah, dan seterusnya untuk Hari Akhirat. Golongan berikutnya ialah mereka yang paling banyak berzikir dan berselawat kepada Baginda Rasulullah, iaitu kalimah yang sangat ringan meniti di bibir, namun sangat berat timbangannya di mizan dan sangat disukai oleh Allah.

Kematian itu merupakan awal alam kepada alam Akhirat, betapa berat dan ngerinya kematian jika sekiranya kita gagal membuat persiapan untuk menghadapinya. Imam Abu Lais al-Samarkandi meriwayatkan daripada Anas bin Malik, katanya, Rasulullah SAW pernah bersabda: “Siapa yang suka bertemu dengan Allah, Allah juga suka bertemu dengannya.” Pertemuan yang dinyatakan sama ada menerusi kematian atau mendirikan solat kerana ia merupakan satu pertemuan seorang hamba dengan tuhannya. Sebagaimana pertemuan Rasulullah dengan Allah SWT di Sidratul Muntaha dan dihadiahkan kepada Baginda untuk dibawa pulang kepada umatnya, jika Rasulullah dapat bertemu dengan Allah maka begitu juga umat Baginda iaitu di dalam solat. Orang yang suka bertemu dengan Allah juga mempunyai cita-cita tertinggi iaitu ingin mati di jalan Allah. Namun, siapa yang tidak suka bertemu Allah, maka Allah juga tidak suka bertemu dengannya. Mereka ini termasuk di kalangan manusia yang takutkan kematian dan cintakan dunia.

Seorang mukmin yang berada di dalam sakaratul maut akan mendapat khabar gembira bahawa dia diredhai Allah SWT. Khabar yang tiba padanya pada ketika itu tidak semestinya di dalam bentuk ucapan, malah dengan kehadiran para malaikat yang wajahnya bercahaya pada ketika itu ibarat matahari, serba putih wajahnya dan pada ketika itu orang mukmin lebih menyukai disegerakan kematiannya daripada dilanjutkan usianya, dan apabila tiba ajalnya dia meminta-minta agar jasadnya segera disemadikan kerana telah dijanjikan Allah dengan kenikmatan-kenikmatan di alam barzakh. Allah SWT akan menyambut orang mukmin dan beriman dengan limpahan kurnia rahmatnya, sebaliknya orang kafir ketika melihat siksaan yang akan diterimanya akan menemui kesukaran dan kesulitan ketika tiba ajalnya, keluarga yang kacau bilau pada saat itu dan penghujung kehidupannya diselubungi perkara-perkara yang tidak disukainya. Tiada siapa yang menghampiri dirinya yang berada di ambang maut ketika itu untuk mentalkinkannya dan mengingatkan dirinya kepada Allah walaupun di kalangan ahli keluarganya sendiri. Akhirnya dia akan ketakutan dengan tibanya malaikat disisinya di dalam keadaan serba hitam, muka yang bengis, dan pada ketika itulah dia dijanjikan azab siksa yang sangat menakutkan sambil berkata-kata, “Jangan..nanti dahulu, kemanakah aku akan dibawa pergi..?” Dirinya meronta-ronta dan menjerit, tetapi tidak pula didengari oleh sesiapa.

Sufian al-Sauri menghuraikan hadis ini dan mengatakan ia bukanlah bererti bahawa kesukaan mereka untuk bertemu Allah itu yang menyebabkan Allah mengasihi mereka. Tetapi ia bermaksud kesukaan mereka untuk bertemu Allah  kerana Allah terlebih dahulu mengasihi mereka. Manusia tidak mempunyai apa-apa dan tidak mampu menyukai pertemuan dengan Allah jika tidak dipilih oleh-Nya terlebih dahulu. Sebagaimana hadis Rasulullah SAW, “Jika Allah kasih kepada seseorang hamba, dia akan sibukkan dirinya dengan Allah.” Sepanjang hidupnya akan disibukkan dengan mengerjakan ibadah, mencari ilmu, membaca al-Quran dan perkara-perkara lain yang dilakukan oleh orang-orang yang soleh, bermula sejak awal pagi sehingga tibanya malam hari, hatta ketika tidurnya.

Ketika Rasulullah SAW menyatakan bahawa sesiapa yang tidak suka bertemu Allah, maka Allah juga tidak suka bertemu dengannya, pada waktu itu ada sahabat menyatakan, “Ya Rasulullah, kita semua tidak menyukai akan kematian.” Maka Baginda menjawab, “Bukan itu, tetapi orang mukmin apabila tiba hari kematiannya akan datang malaikat membawa khabar gembira kepadanya tentang apa yang dijanjikan Allah, sehingga dia suka dan senang akan bertemu Allah. Dan sebaliknya orang kafir ketika tiba ajalnya didatangi malaikat yang mengancamnya dengan siksa Allah  yang akan dihadapinya sehingga dia tidak suka bertemu Allah SWT.” Daripada Jabir RA, Rasulullah SAW bersabda, “Pada suatu hari ketika sekumpulan bani Israel keluar daripada rumah mereka dan sampai di perkuburan. Tiba-tiba di dalam kumpulan mereka itu menyatakan hasrat untuk berdoa disitu dan memohon kepada Allah supaya keluar salah seorang  yang mati di dalam kubur ini dan menceritakan semula bagaimana terjadinya kematian. Setelah berdoa, dengan takdir Allah keluar satu kepala daripada salah satu kubur disitu dan bertanya apakah tujuan mereka itu sedangkan dia telah mati sejak 90 tahun dahulu dan sehingga kini belum hilang rasa sakitnya mati. Padahal orang itu di antara kedua matanya ada tanda bekas sujud yang menunjukkan dirinya orang yang taat kepada Allah, namun apabila dihidupkan semula dalam keadaan marah dan meminta mereka berdoa semula kepada Allah agar dikembalikan sebagaimana dirinya sebelum itu.

Orang beriman apabila menemui ajal, tidak mahu dihidupkan semula, kerana merasai sakitnya kematian dan telah mendapat nikmat seperti yang dijanjikan Allah, tetapi orang kafir setelah ajalnya, meminta untuk dihidupkan kembali. Orang yang mati syahid, apabila tibanya ajal meminta untuk terus hidup untuk kembali berjuang kerana tidak merasai sakitnya mati dan merasa nikmat kerana mati di jalan Allah. Imam Abu Lais al-Samarkandi berkata, “Siapa yang yakin akan mati maka seharusnya bersiap sedia menghadapinya dengan melakukan amal soleh”.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 22 Disember 2016
\"2016-12-22\"
Scroll to Top