Kebebasan Dalam Islam

DALAM faham Liberalisma, ada konsep yang diperjuangkan oleh mereka iaitu “kebebasan” di mana “liberty” atau “freedom” itu merupakan intipati perjuangan ideologi ini sepertimana takrifan yang diberikan dalam Encyclopedia Britannica yang menyebut bahawa Liberalisme ialah:

“political doctrine that takes protecting and enhancing the freedom of individual to be the central problem of politics”.

Munurut Prof. Madya Dr. Khalif Muammar A.Harris, Pensyarah Pusat Pengajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS-UTM) dalam rancangan Tarbiyyah pada hari Jumaat jam 10.15 pagi radio IKIMfm menyebut Liberalisme iaitu “suatu ideologi politik yang menjaga dan memperjuangkan kebebasan individu dalam masalah utama di bidang politik” dan ia kemudiannya dikembangkan kepada kebebasan dalam hidup dan gaya hidup. Edmund Fawcett seorang tokoh pejuang faham Liberalisme mengungkapkah dalam bukunya “Liberalisme: The Life of an Idea”. Beliau menggariskan ada empat prinsip asas Liberalisme iaitu pertamanya “penghormatan mutlak dan epenuhnya terhadap kebebasan individu”. Apa sahaja yang dilakukan oleh seseorang individu itu tidak boleh diganggu dan perlu dibiarkan sahaja kerana itu haknya. Dan kerana itu, munculnya istilah yang kerap kita dengar akhir-akhir ini kewujudan apa yang diistilahkan sebagai “dosa individu” sebab agama ialah suatu yang terhad dan dalam ruang lingkup peribadi seseorang dan justeru itu bagi mereka berfahaman Liberalisme, apa sahaja perlakuan individu yang menyalahi agama samada baik dan buruk, halal dan haram, salah dan benar dari perspektif agama  itu tidak tertakluk kepada undang-undang kerana undang-undang di sisi mereka tidak boleh berdasarkan agama. Bagi mereka lagi, itu urusan si pelaku dengan Tuhannya dan bukan urusan kerajaan atau masyarakat untuk menghalang apa yang dilakukannya. Inilah kebebasan mutlak yang dimahukan oleh golongan Liberalisme dan mahu dihormati oleh masyarakat.

Prinsip kedua yang diperjuangkan oleh golongan Liberal ialah kewujudan konflik dalam masyarakat itu suatu kebaikan kerana ia akan mewujudkan persaingan yang sihat. Lalu mereka menganjurkan agar masing-masing bersikap kompromi dan melihat bahawa bukan pandangan kita sahaja yang betul, tetapi pandangan orang lain juga betul lalu perlu bertolak ansur. Ini bertentangan dengan ajaran Islam kerana pertentangan itu bukan suatu yang digalakkan tetapi perlu dihindarkan. Konflik dan pertentangan dalam Islam bukan suatu yang digalakkan, tetapi perlu dijauhi walaupun secara lumrahnya manusia akan berbeza pendapat dan pandangan. Islam melihat kewujudan pertentangan bukan atas dasar yang hak sebenarnya adalah manifestasi kezaliman, dan apa jua bentuk kezaliman perlu dihindari dan bukan dikompromi kerana ia akan membawa kepada kerosakan dan kemusnahan.

Prinsip ketiga ialah “distrust of authority” iaitu tidak mempercayai autoriti kerana bagi mereka orang yang berkuasa itu cenderung untuk menyalahgunakan kuasa demi kepentingan peribadinya dan bukan dengan keadilan. Sementara itu, Islam melihat bahawa orang yang berkuasa yang dipilih secara sah itu perlu ditaati kerana jika tidak ditaati akan menjadi huru haralah negara dan pemerintahan. Menjadi suatu arahan dalam Islam agar rakyat mentaati pemimpin yang adil dan melaksanakan titah perintah Allah SWT dan RasulNya SAW sepertimana hadith Nabi SAW yang berbunyi “mendengar dan taat itu wajib selama mana kamu tidak diperintahkan untuk melakukan maksiat kepada Allah SWT” (Hadith)

Sebab itu di zaman Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA apabila dilantik menjadi khalifah beliau memberi ucapan penerimaan jawatan dengan berkata “aku telah dipilih oleh kalian menjadi pemimpin namun aku bukanlah orang yang paling baik daripada kalian” Di sini jelas sekali bahawa Islam melihat kepimpinan itu bukan suatu kebanggaan tetapi suatu amanah yang perlu dipegang dan dilaksanakan dengan sebaiknya.  Sedangkan di kalangan golongan Liberal, mereka melihat kepimpinan itu sebagai peluang untuk mengaut keuntungan peribadi lalu orang yang berkuasa itu akan cenderung untuk melakukan kezaliman, lantas kita diminta untuk sentiasa curiga dengan pemimpin kita. Sikap ini adalah sikap yang tidak sihat dan boleh merosakkan keharmonian hidup bermasyarakat jika hidup penuh dengan syak wasangkan dan curiga mencurigai.

Keempat ialah “progress” atau kemajuan hanya akan tercapai sekiranya manusia itu diberikan kebebasan mutlak sebebas-bebasnya tanpa disekat oleh orang lain dan kerajaan.  John Stuart Mill melihat bahawa kebebasan manusia itu suatu yang mutlak terhadap dirinya sendiri dan beliau berhak melakukan apa sahaja semahunya. Faham ini merbahaya kerana menjadikan manusia  itu tidak bertuhan sedangkan diri manusia itu sendiri bukan miliknya tetapi milik Allah SWT yang diamanahkan kepadanya. Sebab itu Islam melihat membunuh diri itu hukumnya haram kerana manusia tiada hak untuk mencabut nyawanya sendiri.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 18 November 2016
Scroll to Top