Jordan Gesa EU Iktiraf Baitulmaqdis Timur Sebagai Ibu Negara Palestin

JORDAN, 17 Mei – Jordan  menggesa Kesatuan Eropah (EU) mengiktiraf Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin, yang merupakan prasyarat bagi mencapai keamanan dan kestabilan di Timur Tengah,

Kenyataan itu dibuat oleh Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi, dalam satu pertemuan dengan duta-duta negara anggota EU di  Amman, di mana beliau menggesa agar tindakan segera diambil bagi membantu pembentukan satu jawatankuasa antarabangsa untuk menyiasat pembunuhan beramai-ramai penduduk Palestin oleh tentera Israel.

Ujar beliau amalan Israel dan ketiadaan penyelesaian kepada konflik itu memburukkan lagi keadaan serta meningkatkan keputusasaan, yang menyebabkan lebih banyak keganasan serta ekstremisme dan menggesa komuniti antarabangsa memikul tanggungjawab perundangan serta moral bagi melindungi penduduk Palestin.

Beliau turut memberi amaran berhubung akibat serius berpunca daripada langkah unilateral Israel yang berusaha untuk mewujudkan satu realiti baharu di kawasan terbabit, melemahkan usaha damai dan mengubah identiti Arab di Baitulmaqdis.

Kongsi artikel ini di:

Ahmad Nazri Yusof

Merupakan Pengurus Berita Radio di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Minhajul Abidin, Nasyid Klasik, Kerjaya dan Hala Tuju dan banyak lagi.