Jenazah bayi 47 hari dikebumi

BUKIT MERTAJAM, 19 Feb – Jenazah bayi perempuan berusia 47 hari yang meninggal dunia dipercayai akibat didera Khamis lalu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Panjang, di sini, petang tadi.

Jenazah Nurul Ain Umairah Muhamad Firdaus yang selesai dimandi dan dikafan di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ), dituntut ahli keluarganya kira-kira jam 3.40 petang tadi.

Jenazah dibawa ke rumah keluarganya di Kampung Tok Panjang dekat sini, bagi disembahyangkan sebelum dikebumikan bersebelahan kubur neneknya kira-kira jam 6 petang.

Pagi tadi, pakar pergigian HSJ memeriksa kesan gigitan di pipi dan tubuh mangsa serta melakukan pemeriksaan sama terhadap ibu bapanya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata laporan penuh bedah siasat kedua mangsa belum diperoleh.

“Pihak hospital memaklumkan memerlukan sedikit masa untuk menyiapkan laporan berkenaan.

“Kita sudah melengkapkan kertas siasatan dan laporan diserahkan kepada Pejabat Pendakwaan Negeri hari ini,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, kertas siasatan diserahkan bagi mendapatkan nasihat dan keputusan daripada pihak terbabit bagi menentukan tindakan susulan sebelum kes dirujuk ke pejabat pendakwa raya di Putrajaya, esok.

Katanya, polis mengambil keterangan lebih 15 saksi termasuk ahli keluarga, jiran dan doktor bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian Khamis lalu, Nurul Ain Umairah dipercayai meninggal dunia akibat didera ibu bapanya.

Laporan bedah siasat pertama mendapati anak bongsu daripada dua beradik itu meninggal dunia akibat pendarahan otak selain ada kesan lebam, calar dan gigitan pada seluruh badan.

Berikutan itu, sepasang suami isteri berusia 22 dan 26 tahun direman tujuh hari bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sumber BHONLINE

Kongsi artikel ini di:

Pentadbir Laman Web

Pentadbir Laman Web IKIMfm