Jemaah Haji Meninggal Di Madinah Akibat Serangan Jantung

6f3e8ea8-96b0-4d73-9f0a-942c397ea43e

MADINAH, 8 Ogos – Seorang jemaah haji, Mohamad Aman, 71, meninggal dunia akibat serangan jantung di sini kira-kira pukul 1.05 pagi waktu tempatan. Lembaga Tabung Haji dalam satu kenyataan berkata Allahyarham yang berasal dari Bemban, Melaka dilapor berada dalam keadaan sihat sebelum dikatakan mengalami kesukaran bernafas oleh rakan-rakan di bilik penginapannya.

“Allahyarham telah diberikan rawatan kecemasan dan disahkan meninggal dunia jam 1.05 pagi waktu Arab Saudi,” kata kenyataan itu. Allahyarham akan dikebumikan di perkuburan Baqi’ di sini selepas waktu Zohor hari ini.

Mohamad tiba di Madinah dengan penerbangan KT02 pada 4 Ogos lalu bersama isterinya Normah Jeni, 67. Ini merupakan kematian kedua bakal haji Malaysia dengan kematian pertama dilaporkan di tanah air semalam akibat tekanan darah tinggi.

“Pengurusan TH berharap seluruh keluarga terutama isteri Allahyarham yang berada di sini terus tabah dan diberikan kekuatan. “TH akan memberikan khidmat bimbingan dan kaunseling kepada isteri Allahyarham agar beliau dapat menunaikan ibadat hajinya dengan tenang dan sempurna pada awal September ini,” katanya.

TH juga akan melaksanakan badal haji untuk Allahyarham pada musim haji tahun ini, kata kenyataan itu. Ahli Lembaga Pengarah, Pengurusan dan anggota TH turut merakamkan takziah buat keluarga Allahyarham serta mendoakan semoga rohnya dicucuri rahmat, mendapat keampunan Allah SWT serta ditempatkan dalam kalangan orang soleh.

Sumber – BERNAMA

 

Kongsi artikel ini di:

Syafiq Salleh

Merupakan Penyampai dan Penerbit Rancangan Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Mengendalikan segmen Destinasi IKIMfm serta terlibat dalam suntingan artikel dan berita. Mendapat pendidikan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Kejuruteraan Perisian) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Memilik Diploma Teknologi Maklumat (Pengaturcaraan) dari Politeknik Malaysia. Boleh dihubungi melalui email msyafiq@ikim.gov.my