Jangan Dibazirkan Masa

Kalau kita tahu waktu itu tidak ternilai harganya, mengapa kita selalu membazir masa dengan perkara yang sia-sia?. Sedangkan sesaat masa itupun mempunyai makna yang amat besar nilainya kepada kita. Bayangkan sesaat masa bagi seorang pakar bedah yang melakukan pembedahan untuk menyelamatkan nyawa pesakitnya, atau sesaat bagi seorang olahragawan yang mahu mencipta rekod baru bagi kerjaya sukannya. Begitulah tingginya nilai masa bagi kita yang tahu bagaimana menggunakan waktu untuk menambah kualiti kepada kehidupan.

Tetapi sayangnya bagi mereka yang hanya melihat waktu sebagai satu putaran biasa tanpa merasa kerugian atas kehilangannya. Betapa ruginya kita melepaskan masa berlalu tanpa memanfaatkannya dengan sesuatu yang produktif. Pakar Transformasi Diri, Profesor Dr. Muhaya Mohamad melalui rancangan Tarbiah IKIMfm bertajuk Transformasi Diri: Mengurus Masa yang bersiaran hari Jumaat jam 10.15 pagi menekankan agar kita menitikberatkan waktu untuk meningkatkan kualiti diri dan seterusnya membina kehidupan yang bermakna di dunia mahupun akhirat.

Ini kerana amat penting bagi kita mengisi ruang waktu untuk mencari sebanyak mungkin pahala seperti menggunakan masa hanya bercakap perkara yang berfaedah, berkhidmat dengan jujur, amanah terhadap tanggungjawab yang diberikan dan mengurus masa secara bijak supaya kita tidak terpengaruh dengan tindakan yang tidak membawa apa-apa makna kepada kita.

Selain itu beliau juga menyeru kita semua agar jangan membiarkan waktu berlalu begitu sahaja tanpa mengisinya dengan sesuatu yang mendatangkan kebaikan kepada kita. Malah dalam keadaan kita sedang bersenang-senang sekalipun, waktu itu harus diisi dengan bermakna seperti zikrullah dan selawat ke atas Nabi Muhammad saw.

Kehadiran teknologi telefon pintar dengan pelbagai aplikasi moden seperti Facebook, WhatApps, Twitter dan sebagainya boleh menyumbang kepada kualiti masa kita jika kena caranya. Namun akan merosakkan waktu kita jika kita gagal mengurusnya dengan baik.

Pelbagai aplikasi gajet jika digunakan dengan cara yang betul boleh memberi kesan positif terhadap perhubungan suami isteri kerana walaupun berjauhan, mereka dapat berhubung antara satu sama lain tanpa sempadan. Begitu juga dengan ahli keluarga lain atau rakan-rakan dan sahabat handai, perhubungan akan bertambah kukuh dengan aplikasi moden yang cepat dan pantas ini.

Tetapi ada kesan buruknya, jika ianya digunakan tanpa terkawal seperti hanya menghabiskan masa dengan berbual kosong dengan teman alam maya tersebut atau hanya melayar laman sosial untuk melihat iklan-iklan yang dipaparkan menerusi laman sosial berkenaan tanpa mendatangkan apa-apa faedah.

Malah lebih menambah masalah apabila ada segelintir suami atau isteri menggunakan semua kemudahan aplikasi laman sosial untuk berhubung dengan orang lain bukannya pasangan sendiri. Lebih parah lagi sekiranya masing-masing leka dengan dunia alam maya yang tidak menyumbang apa-apa kepada pembinaan kerukunan rumahtangga yang berkualiti dan bahagia.

Bayangkan jika isteri yang leka melayan facebook, mengabaikan keperluan suami dan anak-anak. Kehidupan rumahtangga semakin tergugat kerana tiada lagi komunikasi disebabkan masing-masing sibuk dengan penggunaan gajet, maka berlakulah perpecahan dalam rumahtangga .Walaupun ‘gajet’ ini tidak salah dan banyak kebaikan tetapi jika diguna secara tidak terkawal boleh merosakkan perhubungan sesama manusia.

Dengan mengambil contoh penggunaan whatApps yang sangat popular di kalangan masyarakat hari ini, sekiranya terlalu banyak bergantung kepada aplikasi berkenaan sehingga kita mengabaikan tugasan lain sama ada di tempat kerja, rumah ataupun di mana-mana sahaja ianya sudah pasti tidak menyumbang kepada produktiviti harian kita. Malahan berbual melalui WhatsApp ini juga sebenarnya mendedahkan kita kepada perbuatan mengumpat, riak dan membuang masa tanpa mendatangkan apa-apa faedah.

Kita hendaklah selalu sedar dengan cara memerhatikan perbuatan diri sendiri terutama dalam pengurusan masa agar kita memperolehi keberkatan dalam kehidupan. Ini kerana menurut cerdik pandai, orang yang waktunya berkat adalah mereka yang dapat melakukan banyak perkara dalam waktu yang singkat, namun orang yang mempunyai waktu yang panjang tetapi tidak dapat melakukan perkara yang bermanfaat adalah orang yang sedang menghabiskan umurnya dengan sia-sia dan kehidupannya tidak ada keberkatan.

Sebab itu dalam hidup ini kita jangan menjadi pencuri masa kerana masa yang paling kualiti adalah masa kita sekarang, oleh itu jangan dibazirkan masa sekarang dengan kekesalan atas kesilapan lalu, atau kita sibuk risaukan masa hadapan yang belum tentu menjadi milik kita. Sebab itulah waktu sekarang yang kita miliki ini gunakannya dengan segala kebaikan yang ada seperti bersedekah, taat kepada Allah dan suami, menghargai isteri, bertanggungjawab terhadap amanah yang diberi, membaca al-quran atau buku-buku untuk menambah ilmu dan apa sahaja perkara memberi kebaikan.

Ini kerana kesibukan waktu untuk tujuan membina nilai diri pastinya akan membawa kita kepada kehidupan yang berkualiti, malah sudah tentu akan melorong kita untuk menjadi insan yang bertaqwa Allah swt. Sekiranya sesebuah ahli keluarga umpamanya dapat menggantikan gajet kepada majlis ilmu atau bertadabur dengan al-quran, kita akan dapat membina sebuah keluarga yang cintakan Allah swt dan hidup di atas ilmu Allah yang Maha Hebat.

Hakikatnya Waktu juga adalah makhluk yang perlu diraikan dengan bersungguh-sungguh. Ini bermakna waktu juga harus disantuni sebagaimana kita menyantuni manusia lain yang berada di sekeliling kita. Oleh itu hargailah waktu yang kita ada supaya apabila kita kehilangannya kelak kita tidak berasa rugi dan menyesal.

Akhir sekali, hendaklah selalu kita pasakkan dalam diri tentang tiga asas penting yang berkaitan dengan masa adalah bilakah waktu yang paling penting? Jawabnya adalah waktu sekarang. Siapakah orang yang paling penting?, jawapannya ialah siapa yang berada di hadapan kita dan terakhir apakah perbuatan yang paling penting ? jawapannya adalah berbuat baik. Jika kita faham tentang perkara ini kita akan menjadi insan yang selalu menghormati waktu, menyantuni insan yang berada di sekeliling kita dan hidup sebagai insan yang bertaqwa kepada perintah Allah swt.

Sebagaimana kata para cendekiawan, orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca kerana membaca itu sumber hikmah menyediakan waktu tertawa kerana tertawa itu muziknya jiwa, menyediakan waktu untuk berfikir kerana berfikir itu pokok kemajuan, menyediakan waktu untuk beramal kerana beramal itu pangkal kejayaan, menyediakan waktu untuk bersenda kerana bersenda itu akan membuat muda selalu dan menyediakan waktu beribadat kerana beribadat itu adalah ibu dari segala ketenangan jiwa.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 5 September 2014
Kongsi artikel ini di:

Nik Hasnah Ismail

Bertugas sebagai Pengurus Program Radio. Telah berkhidmat di IKIMfm selama 16 tahun. Anak kelahiran Kuala Besut Terengganu ini memiliki kelulusan Sarjana Muda Pengajian Media Universiti Malaya dan Sarjana dalam Pengajian Peradaban juga dari universiti yang sama. Sering diundang untuk mengendalikan bengkel media di IPTA. Beliau turut menulis dalam akhbar tempatan dan amat meminati bidang penulisan dan motivasi. Beliau boleh dihubungi melalui emel nikhasnah@ikimfm.my