Jaafar bin Abi Talib (Bhg. 2)

SAIDINA Jaafar bin Abi Talib RA bersama isterinya, tinggal di bawah perlindungan Raja Najjasyi selama hampir sepuluh tahun. Hidup dalam keadaan aman, damai dan tenteram. Beliau dan isteri akhirnya dapat merasakan kelazatan beribadah setelah tidak mengecapinya ketika di Makkah kerana gangguan oleh kaum kafir Quraisy. Menerusi segmen Hayatus Sahabah yang bersiaran di IKIMfm, Ustaz Mohd Hazri Hashim al-Bindany meneruskan kisah mengenai Saidima Jaafar bin Abi Talib.

Pada tahun ke-7 Hijrah, Jaafar bersama kumpulan kaum Muslimin meninggalkan Habsyah lalu berhijrah ke Kota Madinah. Ketika mereka tiba di Kota Madinah, saat itu Baginda Rasulullah SAW baru pulang dari Peperangan Khaibar sesudah berjaya menguasai Khaibar dan keseluruhannya. Baginda SAW sangat gembira dengan kedatangan Saidina Jaafar sehingga Baginda mengungkapkan satu syair : “Aku tidak tahu mana satu yang menyebabkan aku sangat gembira pada hari ini. Apakah kerana kemenangan di dalam peperangan Khaibar ataupun kerana kembalinya Jaafar”.

Kegembiraan mengenai ketibaan Jaafar di Kota Madinah itu bukan sahaja dirasai oleh Baginda SAW, bahkan seluruh kaum muslimin turut merasai kegembiraan tersebut. Ini kerana Jaafar merupakan orang yangsp sangat prihatin kepada orang miskin sehinggakan beliau diberi gelaran dengan panggilan ‘Abu al-Masakin’ iaitu bapa kepada orang-orang miskin. Abu Hurairah R.A mengatakan bahawa “orang yng sangat baik kepada kami ialah Jaafar bin Abi Talib. Beliau pernah mengajak kami rumahnya dan memberikan makan minuk kepada kami sehingga habis makanan yang dihidangkan dan beliau sanggup mengeluarkan bekas kecil yang berisi manisan di situ dan kami menikmatinya bersama-sama”.

Kegembiraan itu tidak berlanjutan lama. Setelah setahun lebih Saidina Jaafar berada di Madinah dan pada Jamadil Awal tahun ke-8 Hijrah, Baginda telah menggerakkan satu angkatan untuk menentang kerajaan Rom di negara Syam. Baginda telah mempersiapkan sati angkatan yang disertai oleh Saidina Jaafar. Kejadian itu berlaku apabila Rasulullah SAW mengutuskan Harith bin Umair sebagai utusan Baginda untuk menyampaikan surat Baginda kepada Kaisar, Maharaja Rom. Tetapi ketika Harith tiba di Mu’tah, Jordan, beliau telah disekat oleh ketua-ketua kabilah di sana yang akhirnya beliau telah dibunuh. Ia merupakan satu tamparan hebat buat Baginda SAW dalam urusan dakwah Baginda kerana tidak pernah berlaku dalam sejarah, seorang utusan dibunuh. Bahkan di dalam undang-undang pada ketika itu juga, seluruh bangsa mengetahui bahawa utusan tidak boleh dibunuh.

Apabila Harith bin Umair dibunuh, maka Baginda telah menggerakkan sejumlah tiga ribu angkatan perajurit perang dan Baginda telah melantik tiga orang ketua untuk memimpin angkatan tersebut. Panji peperangan tersebut telah diberikan kepada Zaid bin Harithah dan Baginda berpesan “Sekiranya Zaid gugur syahid maka yang akan mengetuai kumpulan tersebut ialah Jaafar bin Abi Talib. Sekiranya Jaafar juga terbunuh, maka ketika itu yang akan menjadi ketua kepada seluruh angkatan kaum muslimin ialah Abdullah bin Rawahah. Sekiranya Abdullah juga gugur, maka ketika itu hendaklah kaum Muslimin melantik seorang amir di kalangan mereka yang mereka rasakan mampu untuk memimpin mereka”.

Tatkala angkatan muslimin ini tiba di Mu’tah, mereka dapati orang-orang Rom telah membuat persiapan lebih awal untuk menghadapi mereka. Ketika itu telah berkumpul seratus ribu angkatan tentera Rom dan mereka telah bergabung pula dengan pasukan Arab yang beragama Nasrani seramai seratus ribu. Melihatkan itu, para sahabat kemudian berbicang sama ada perlukah mereka menghantar utusan kepada Baginda Nabi SAW tentang jumlah angkatan musuh. Kemudian Abdullah bin Rawahah lantas berkata “Tidakkah kita ini berperang untuk agama ini. Kita bukan berperang kerana jumlah kita yang ramai. Kita juga tidak berperang kerana cukup kelengkapan. Sebaliknya kita berperang untuk agama ini dan kita tlah dijanjikan oleh Allah dengan dua kemenangan, sama ada kemenangan di dalam medan peperangan ataupun kemenangan dengan mati syahid.

Api peperangan mula marak menyala. Zaid bin Harithah mula meluru ke arah angkatan musuh dengan gagah berani sambil mengikat erat panji peperangan yang ada pada dirinya. Angkatan musuh sangat-sangat memerhatikan ke arah orang yang membawa panji peperangan tersebut. Mereka menyerang Zaid bertalu-talu dan akhirnya Zaid bin Harithah, kekasih Rasulullah SAW yang juga anak angkat Baginda telah jatuh dan gugur ke bumi. Tatkala Saidina Jaafar melihat Zaid dan panji peperangan jatuh, Jaafar terjun daripada haiwan tunggangannya dan terus meluru ke arah Zaid dan mengambil panji peperangan tersebut lalu ditegakkan semula.

Kemudian, beliau pula mula mempertahankan panji peperangan tersebut daripada angkatan musuh. Namun dalam masa yang singkat saat beliau bergelut dengan musuh, beliau juga telah dikepung oleh angkatan musuh dan pada saat itulah angkatan musuh telah menetak tangan kanannya sehingga putus. Sebelum panji tersebut jatuh ke bumi, beliau sambar panji tersebut dengan tangan kirinya. Mereka kemudian menetak tangan kirinya lalu putus maka diapit dengan kedua lengannya. Kemudian mereka menetak bahunya sehingga tercabut dan pada ketika itu, mereka menyerbu dan menikam beliau dengan banyak yang akhirnya beliau jatuh tersungkur. Panji peperangan itu, sebelum jatuh ke bumi disambar pula oleh Saidina Abdullah bin Rawahah.

Abdullah bin Rawahah juga tidak mampu bertahan lama kerana diserang oleh angkatan kusuh dan saat beliau rebah, maka panji-panji tersebut telah diserahkan oleh Saidina Khalid bin Al-Walid. Beliau yang sangat pintar dalam strategi peperangan mula mengawal peperangan tersebut dengan baik. Akhirnya dengan strategi perang yang disusun oleh Khalid bin Al-Walid, maka beliau berjaya menyelamatkan tentera Muslimin daripada terkorban kesemuanya. Hanya 12 orang sahaja yang gugur syahid di medan Mu’tah ini.

Saidina Jaafar, saat beliau gugur di medan peperangan ini, beliau sedang berpuasa. Saat dibawa air kepadanya agar beliau dapat minum setelah luka teruk dan cedera parah, beliau tetap tidak mahu membatalkan puasanya. Beliau kemudian berkata “Aku sedia untuk menunggu minuman-minuman syurga”. Berita kematian ketiga-tiga pemegang panji itu sampai kepada Rasulullah SAW. Berjurai airmata Baginda mendengarkan berita tersebut. Selepas itu,  Baginda mendongak ke langit sambil tersenyum dan mengungkapkan “Ketiga-tiga mereka telahpun dibawa ke syurga”.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 6 Jun 2017
\"\"
Scroll to Top