Isu Arah Kiblat Menggunakan Aplikasi Dalam Telefon

KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

BERKENAAN

ISU ARAH KIBLAT MENGGUNAKAN APLIKASI DALAM TELEFON

1. Dalam ajaran Islam, mengadap ke arah kiblat (masjidil haram/Kaabah) adalah satu tuntutan syariah di dalam melaksanakan ibadah tertentu, ia wajib dilakukan ketika hendak mengerjakan solat dan menguburkan jenazah orang Islam, ia juga sunnah ketika azan, berdoa, berzikir, membaca al-Quran, menyembelih binatang dan sebagainya.

2. Di Malaysia, terdapat beberapa kaedah utama yang digunakan dalam menentukan arah kiblat antaranya menggunakan teodolit, kompas, kaedah istiwa’ matahari di atas Kaabah (istiwa’ Adzam), kaedah buruj bintang dan kaedah terbenam matahari.

3. Walaubagaimanapun dalam menuju era teknologi terkini, terdapat beberapa aplikasi yang telah dibangunkan bagi kemudahan orang awam dalam menentukan arah kiblat. Aplikasi ini dibangunkan dan boleh dimuatnaik dalam telefon bimbit masing-masing. Aplikasi ini kemudiaanya boleh digunakan bagi tujuan menentukan arah kiblat. Walaupun begitu sejauhmana ketepatan arah kiblat yang ditunjukkan oleh aplikasi berkenaan?.

4. Ujian ringkas beberapa aplikasi yang dibangunkan juga telah dilaksanakan. Ujian tersebut mendapati ianya mempunyai ralat diantara 3° – 45° bergantung kepada jenis aplikasi yang dimuat turun dan jenis telefon yang digunapakai. Selain itu, pesongan arah kiblat ini juga boleh disebabkan oleh tarikan daya elektromagnet seperti besi, elektrik dan sebagainya. Keperluan kepada kalibrasi telefon dan panduan penggunaan aplikasi juga penting sebelum aplikasi tersebut boleh digunakan.

5. Penggunaan aplikasi ini hanya boleh dikira sebagai arah anggaran dalam menentukan arah kiblat.

6. Bagi penentuan arah kiblat yang lebih tepat, masyarakat Islam dinasihatkan supaya merujuk kepada pihak yang lebih berautoriti iaitu Jabatan /Pejabat Mufti Negeri-Negeri dalam menentukan arah kiblat terutamanya bagi surau-surau dan masjid.

Sekian

Tan Sri Dato’ Hj Othman bin Mustapha
Ketua Pengarah Jakim
29 Mei 2017

Kongsi artikel ini di:

Pentadbir Laman Web

Pentadbir Laman Web IKIMfm