Ingat Mati Tingkatkan Produktiviti

DALAM sebuah hadis riwayat Anas bin Malik RA menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “tanda-tanda kiamat adalah berlakunya banyak kematian yang mendadak”. Jika diperhatikan keadaan kematian yang berlaku pada hari ini memang amat tepat apa yang ditelah oleh Rasulullah.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah, Ustaz Pahrol Muhamad Juoi berkata, dalam situasi kehidupan kita pada hari ini,  kita akan dapat melihat kematian yang tidak disangka-sangka seperti kemalangan, sakit yang secara mendadak atau orang-orang yang meninggal dunia tanpa disangka-sangka asbabnya. Kejadian-kejadian ini membenarkan apa yang diucap oleh Nabi Muhammad SAW.

Apabila berbicara tentang kematian dan hal-hal berkaitannya, sebenarnya kematian itu adalah peringatan kepada mereka yang masih hidup. Kematian itu seolah-olah satu ‘butang’ untuk mengajak kita mengingati sejenak bahawa kematian adalah saat yang akan ditempuhi oleh sesiapa sahaja tanpa berkecuali. Manakala setiap yang akan menempuh kematian harus melakukan persediaan sebelum melaluinya.

Setiap manusia atau makhluk pasti akan merasai mati. Kematian itu mendekati sesiapa sahaja yang hidup. Sebagaimana kata para hukamak “perjalanan menuju kematian bermula sejak kita dilahirkan, ianya suatu kebenaran yang berlaku dan pastinya menghampiri sesiapa sahaja”.

Dalam melengkapkan kehidupan, manusia akan menyiapkan diri mereka dengan pelbagai persiapan. Contohnya apabila tiba musim bulan puasa, kita akan mempersiapkan diri dengan pelbagai perkara untuk menghadapi bulan puasa, begitu juga apabila menyambut hari raya kita akan membuat persiapan menyambut hari raya. Begitu juga dengan hari kematian yang begitu pasti untuk kita laluinya. Ini kerana orang yang mahu berjaya dalam apa juga yang dilaluinya perlu membuat persiapan atau persediaan kerana dengan membuat persiapan kita akan mendapat hasil yang terbaik.

Hatikatnya apabila berbicara tentang mati, bukan bererti kita harus terlalu serius hingga kita tidak melakukan urusan lain melainkan ibadat untuk akhirat semata-mata sahaja. Sesungguhnya apabila berbicara persiapan tentang mati, kita boleh berfikir di luar kotak dengan menjadikan persediaan tentang mati itu akan menggerakkan kita ke arah kehidupan yang lebih produktif. Dengan kata lain, dengan mengingati tentang kematian menjadikan kita lebih meningkatkan produktiviti kerja.

Hakikatnya dengan mengingati mati menjadikan kita untuk lebih dekat dengan Allah SWT. Bahkan orang yang ingat mati akan membersihkan dirinya dengan sentiasa bertaubat kepada Allah SWT. Manakala orang yang selalu bertaubat adalah orang yang akan mendapat kasih sayang Allah SWT. Bayangkan orang yang mendapat rahmat dan kasih sayang Allah pastinya menjadi orang yang mendapat rahmat Allah SWT dunia dan akhirat.

Seseorang yang bersih dari noda dan dosa dengan selalu bertaubat akan selalu mendapat bantuan Allah SWT. Allah akan memberikan bantuan dalam apa juga bentuk. Umpamanya bagi seorang peniaga Allah akan bantu dalam urusan perniagaannya. Orang yang bekerja sebagai pengurus umpamanya Allah akan membantunya mengurus pekerjaannya dengan memudahkan urusan dirinya dengan kakitangannnya.

Setiap kemudahan yang kita lalui dengan bantuan Allah itulah yang disebut sebagai rezeki atau keuntungan. Begitu juga dalam urusan-urusan harian dengan kurniaan rezeki seperti kebahagiaan, kesihatan, ketenangan dan kelapangan jiwa juga adalah sebahagian daripada keuntungan hasil dari bantuan Allah kepada orang-orang yang selalu mengetuk pintu taubat.

Justeru, jika kita faham akan hidup ini tidak panjang, kerana pada suatu saat yang ditentukanNya, kita semua akan kembali kepada Allah Maha Pencipta. Mengingati akan perkara ini pastinya akan menjadikan kita untuk terus meningkatkan produktivi dalam pelbagai urusan seperti kerja dan ibadah, kerana dunia ini adalah jambatan untuk menuju akhirat.

Kematian adalah waktu untuk kita menemui Allah SWT. Oleh itu, persiaplah diri kita dengan bekalan yang secukupnya agar kita mendapat tempat ketaqwaan yang tertinggi di sisiNya. Sekiranya kita merasa penat dengan dunia di atas segala kerja keras kita untuk menyiapkan bekalan di kampung akhirat kelak, ianya adalah wajar kerana tempat rehat yang sebenar-benar adalah di syurga Allah SWT. Justeru, mati itu bukan perkara yang boleh melemahkan harapan dan impian kita, tetapi dengan mengingati mati kita akan terus bersemangat menjalani kehidupan dengan penuh makna dan kerahmatan.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 12 Julai 2017
\"\"
Scroll to Top