Indahnya Sirah

UJIAN akan menjadikan kita insan hebat. Namun, itu akan terjadi bila kita melihat ujian dengan pandangan positif dan melihat Allah SWT di sebalik setiap ujian itu. Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman menerusi segmen Ibrah yang bersiaran di IKIMfm berkongsi mengapa Nabi SAW melalui satu proses yang sangat panjang sebelum menjadi Rasul SAW.  Allah SWT memilih insan yang terbaik dan merencana program yang terbaik sebelum Baginda diangkat menjadi rasul.

Ustaz berkongsi kisah mengenai Rasulullah SAW dan membacakan surah Adh-Dhuha ayat 6-8 yang bermaksud : Bukankah dia mendapati engkau yatim piatu, lalu la memberikan perlindungan? Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu – Al-Quran)? Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Ia memberikan kekayaan?.

3 ayat yang dikhususkan untuk memotivasikan Rasulullah SAW, dan ia merumuskan apa yang Nabi SAW lalui sepanjang sebelum Baginda SAW menjadi rasul. Nabi SAW pernah diuji dengan kehilangan 3 perkara, namun Allah SWT menunjukkan dalam ketiga-tiga ayat ini, bahawa Allah SWT sentiasa ada bersama Baginda. Walaupun Baginda pernah hilang sesuatu, namun Allah SWT tidak pernah hilang daripada Rasulullah SAW.

Ayat ini mengajar kita, dalam kehidupan ini pasti Allah SWT akan datangkan dengan pelbagai ujian. Kadangkala kita diuji dengan kehilangan insan-insan tersayang. Seperti yang berlaku kepada Nabi SAW. Baginda belum sempat pun melihat dunia, Baginda telah diuji dengan kehilangan ayahanda tersayang. Baginda juga belum sempat memahami dan mengecapi bagaimana sebenarnya kasih sayang seorang ibu, Aminah juga telah dijemput oleh Allah SWT. Nabi SAW juga sempat merasakan bagaimana kasih sayangnya seorang datuk, namun ianya hanya seketika. Ertinya, Nabi SAW juga pernah kehilangan insan-insan tersayang yang menjadi kekuatan emosi buat Baginda.

Begitu juga digambarkan dalam ayat-ayat berikutnya surah Adh-Dhuha. Menurut tafsir Ibnu Kathir, Baginda Nabi SAW pernah tercari-cari jalan untuk pulang ke rumah Baginda ketika pulang dari berniaga. Maka, saat itu Allah SWT datangkan bantuan dengan asbab Abu Jahal yang akan menjadi musuh Baginda kemudiannya. Begitu juga dengan saat Baginda diuji dengan kemiskinan, maka Allah SWT datangkan Sayyidatina Khadijah. Sebenarnya, itulah ketentuan dan perancangan Allah SWT.

Kita perlu memahami satu perkara, iaitu hakikat kehidupan. Hidup ini adalah untuk diuji. Dalam hidup ini, kita pernah diuji dengan kehilangan orang yang sering memberi sokongan emosi, kita kehilangan harta dan mungkin juga kita tersesat mencari arah dan haluan. Tetapi, ketiga-tiga ayat ini merumuskan perjalanan Rasulullah SAW, bahawasanya ketika Nabi SAW kehilangan kekuatan emosi, Nabi SAW kehilangan kekuatan intelektual serta kehilangan kekuatan fizikal. Namun, Nabi SAW tidak pernah kehilangan kekuatan spiritual. Baginda tidak pernah kehilangan iman kepada Allah SWT.

Melihatkan perkara ini, mari kita muhasabah kembali. Tanya pada diri kita sendiri, apakah setiap kali diuji dengan ujian seperti ini, pernahkah hilang pergantungan kita kepada Allah SWT. Sirah 40 tahun mengajar kita bahawa Baginda Rasulullah SAW hidup susah, namun Baginda tidak pernah kehilangan Allah SWT ketika Baginda kehilangan semua benda. Lalu, akhirnya Allah SWT memilih insan hebat ini yang tidak pernah kehilangan Allah SWT dalam dirinya untuk menjadi seorang insan yang dikenang oleh seluruh manusia beriman sehingga ke hari Akhirat. Itulah Rasulullah SAW.

Sirah 40 tahun ini juga mengajar kita, Nabi SAW diangkat menjadi Rasul dengan menempuhi jalan-jalan yang susah. Tetapi kesusahan itu ditafsirkan dengan penuh positif dan untuk mentafsirkannya dengan positif, kita memerlukan iman kepada Allah SWT. Orang yang tidak beriman pastinya tidak akan percaya, perkara musibah ini pasti ada kebaikan. Allah SWT beri mortivasi kepada Rasulullah SAW. Ertinya, kita perlu sentiasa lihat dalam apa jua musibah, sebenarnya ada perancangan Allah SWT yang sangat rapi untuk menjadikan kita hamba yang lebih hebat di masa akan datang.

Sirah mengajar kita untuk mengenal hakikat kehidupan. Percayalah bahawa hidup ini adalah medan ujian untuk kita mengenal tahap iman kita kepada Allah SWT. Ujian juga mengajar kita untuk kuat meletakkan kebergantungan kita kepada Allah SWT.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 20 Disember 2016
\"doc05911820161220093709_001\"
Scroll to Top