Imarahkan masjid sebagai pusat sehenti – Raja Muda Perlis

KANGAR, 22 Jun – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap agar semua masjid dan surau dapat diimarahkan sebagai pusat sehenti seperti mana yang diamalkan pada era kegemilangan Islam dahulu.

Baginda bertitah suatu ketika dahulu masjid menjadi pusat untuk pelbagai aktiviti termasuk mengadakan musyawarah mengenai hal pentadbiran negara.

“Selain itu, masjid juga menjadi pusat pengurusan unit keluarga, bermula seseorang insan itu dilahirkan ke dunia ini hinggalah ke saat dia dijemput kembali menghadap penciptanya.

“Adalah diharapkan segala inisiatif dan pendekatan proaktif pengurusan masjid akan berjaya menarik lebih ramai umat Islam untuk kembali mengimarahkan masjid serta asbab hidayah kepada mereka yang bukan beragama Islam,” titah baginda menerusi kenyataan akhbar Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sini, hari ini.

Baginda merangkap Yang Dipertua MAIPs bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada Masjid Jannatul Mukminin di Wilayah Trang, Thailand, petang semalam.

Turut berangkat anakanda-anakanda baginda, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Baginda bertitah sumbangan MAIPs dari segi kewangan untuk aktiviti dakwah diharap sedikit sebanyak dapat membantu institusi masjid untuk merealisasikan peranannya.

Sumber BERNAMA

Kongsi artikel ini di:

Ahmad Nazri Yusof

Merupakan Pengurus Berita Radio di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Minhajul Abidin, Nasyid Klasik, Kerjaya dan Hala Tuju dan banyak lagi.