Imam Ibnu Sirin

PEPATAH Arab menyebut “maka hendaklah kamu mencontohi orang yang mulia itu walaupun kamu tidak seperti mereka, kerana mencontohi orang yang mulia itu adalah satu kejayaan”. Menerusi segmen Ibrah (Salafus Soleh) yang bersiaran di IKIMfm setiap Isnin jam 5.15 petang, Ustaz Muhadir Hj Joll minggu lalu berkongsi kisah seorang lagi tokoh Tabi’in yang sangat mulia serta tinggi ilmu dan ketokohannya. Beliau yang dimaksudkan ialah Imam Ibn Sirin.

Nama penuh beliau ialah Imam Abu Bakar Muhammad ibn Sirin Al-Basri Al-Ansari. Dikenali dengan nama Imam Muhammad Ibn Sirin atau Ibnu Sirin. Tinggal di Basrah dan merupakan keturunan Ansar. Beliau merupakan ulama terkemuka di Basrah serta murid kepada para sahabat antaranya Saidina Ali RA, Saidina Ibn ‘Abbas, Saidina Ibnu Umar dan ramai lagi. Ayah beliau, Sirin atau Abu ‘Amrah merupakan maula kepada Saidina Anas ibn Malik, sahabat dan pembantu Nabi SAW. Manakala ibunya, Sofiah, merupakan maula kepada Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Ibunya seorang yang tinggi akhlak, cerdik juga cantik. Ibunya dicintai oleh semua Ummahatul Mukminin terutamanya Sayyidatina A’isyah RA. Ketika perkahwinan kedua ibu bapanya, para sahabat utama hadir dan menyaksiknnya termasuk 18 sahabat yang pernah mengikuti Perang Badar. Kedahiran mereka mendoakan kebahagiaan dan kebaikan buat mereka berdua.

Imam Muhammad Ibn Sirin merupakan tabi’in sezaman dengan al-Imam al-Hasan al-Basri RA. Beliau merupakan ahli hadith yang terkemuka dan ahli fiqah. Mengenai kewarakan dan zuhud, beliaulah ketuanya. Beliau pernah meriwayatkan hadith dan disebutkan oleh Imam Muslim did alam sahihnya. Mengenai kewarakan dan keilmuan beliau, Imam Al-Tabari menyebut “adalah Ibnu Sirin seorang yang sangat faqih dan alim, warak dan punyai adab yang tinggi. Beliau banyak riwayatkan hadith. Percakapannya sangat benar”. Ahli alam dan orang yang punyai kelebihan di sisi Allah turut  memperakuinya. Imam Khulaif ibn Uqbah katakan “Ibn Sirin ini orang yang sangat mulia dan unggul pada zamannya”. Al-Imam Muwarriq al-Injli pernah berkata “tidak pernah aku lihat seseorang yang lebih faqih kewarakannya dan lebih warak kefaqihannya daripada Ibnu Sirin”. Bagi Sheikh Muhammad Ibn Umar al-Bahili, katanya “aku mendengar Sufyan berkata : tidak seorang pun ahli Kufah atau Ahli Basrah yang warak melainkan waraknya Imam Muhammad Ibn Sirin”.

Pernah satu ketika, beliau berkata kepada seseorang dalam keadaan marah dan beliau katakan “wahai orang yang muflis”. Imam Muhammad Ibn Sirin menceritakan beliau pernah berkata sedemikian dan beliau telah diuji olh Allah SWT dengan dosanya itu yang beliau lakukan pada 30 tahun dahulu. Ketika perkara ini diceritakan kepada Imam Abu Sulaiman Ad-Durani, katanya “orang-orang sufi begini yang ken pada Allah SWT, dosa mereka itu kcil sahaja, tetapi mereka tahu daripada mana salahnya itu. Sedangkan kita ini, banyak sangat dosa yang kita lakukan sehingga tidak tahu dari mana ia datang”.

Beliau sering memberikan fatwa dan mengeluarkan hukum. Namun, di dalam bab mengeluarkan fatwa, beliau sangat berhati-hati. Kata Imam Asyyas “adalah Imam Muhammad Ibn Sirin ketika ditanya tentang halal dan haram, takutnya beliau kepada hal itu sehingga berubah warna kulitnya”. Beliau juga sangat tawadukdan pernah disebut oleh Imam Ibnu ‘Aun “adalah Imam Muhammad Ibn Sirin orang yang selalu menyembunyikan dirinya daripada orang lain kerana tidak mahu dipuji-puji dan diangkat-angkat”.

Imam Muhammad ibn Sirin adalah seorang peniaga. Beliau juga dikenali sebagai seorang peniaga yang khusyuk dan tawaduk. Sesiapa yang melihatny, akan ingat kepada Allah SWT. Ulama katakan “melihat wajah orang yang soleh ini akan mengingatkan kita kepada Allah SWT kerana terdapat kebaikan pada wajah dan perlakuan mereka”.

Terdapat satu kisah mengenai Imam Ibn Sirin tentang perniagannya. Pada satu ketika, datang seorang peniaga yang bukan Islam dari luar Iraq ke kedai beliau. Peniaga itu membawa keju yang sangat banyak dengan berpuluh-puluh kuda. Belia memberitahu Imam Ibn Sirin “sekiranya kamu ingin menjual, kamu boleh ambil dengan harga sekian dan jual dengan harga sekian. Kalau kamu ambil sekarang, kamu boleh untung sekitar 40 ribu dirham”. Soalan pertama yang keluar dari mulut Imam Ibn Sirin ialah “keju-keju ini halal atau tidak?” Kata peniaga tersebut “Mengapa perlu ambil berat sangat? Bukankah keju ini daripada susu yang dikeringkan?” Imam ibn Sirin menjawab “kalau kamu boleh bersumpah dan menjamin dengan katamu halal, maka dengan kata-katamu itu, kamu akan bertanggungjawab di hadapan Allah nanti dan kamu akan dituntut dengan perkataanmu nanti, saya akan beli”. Peniaga tersebut tidak berani menjami lalu beliau beredar dan tidak menjualnya kepada Ibn Sirin.

Keesokan paginya, terdapat seseorang masuk ke dalam kedai Ibn Sirin dan mengambil barang berharga 2 Dirham. Lalu Imam Ibn Sirin memanggil orang tersebut dan berkata “tuan ambil barang saya dan belum bayar lagi”. Orang tersebut berkata sudah membayarnya dan pertelingkahan itu berlaku beberapa ketika sehingga ramai yang hadir. Akhirnya orang tersebut membayar 2 dirham kepada Imam Ibn Sirin. Orang ramai yang menyaksikan peristiwa tersebut berkata “ Ya Tuan Syeikh, semalam dengan 40 ribu dirham kamu biarkan berlalu dan hari ini 2 dirham kamu bersungguh-sungguh mahukannya”. Imam Muhammad ibn Sirin menjawab “saya tahu dia ambil dan tidak bayar. Saya tahu sekiranya dia ambil dan makan benda itu, pasti haram. Saya tidak mahu dia makan benda haram dan akhirnya nanti masuk ke dalam neraka”.

Begitulah kisah ketokohan dan kewarakan Imam Muhammad ibn Sirin. Beliau dijemput oleh Allah SWT pada tahun 110 H selepas seratus hari kewafatan Imam Hasan al-Basri. Wasiat beliau yang masyhur ialah “Sesungguhnya ilmu ini adalah berkaitan agama(ananah), lalu kamu perhatikan daripada mana kamu ambil agama itu”.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 17 Oktober 2017

\"\"

Scroll to Top