Imam An-Nawawi (Bhg. 2)

“Aku berada di Darul Hadith yang mempunyai makna yang sangat halus, aku kelilingi dan aku datangi setiap sisinya, supaya hangat wajahku ini menyentuh akan tempat kaki yang pernah dipijak oleh Imam An-Nawawi”

PETIKAN syair tokoh ulama terkenal al-Imam Taqiuddin Al-Subki. Begitu hebat kecintaan ulama terdahulu kepada tokoh ilmuan yang terkemuka ini.

Menerusi segmen Ibrah (Salafus Soleh) yang bersiaran di IKIMfm minggu lalu jam 5.15 petang, Ustaz Muhadir Hj. Joll sekali lagi berkongsi kisah tokoh ilmuan hebat, Imam An-Nawawi yang turut dikenali dengan Muhyiddin, yang menghidupkan agama. Ulama menyebut, gelaran yang diberikan itu bertepatan dengan peranan yang dimainkan oleh Imam An-Nawawi dalam menghidupkan agama dengan ilmu-ilmu beliau, pengajaran dan kupasan tentang Islam. Bagaimanapun, dengan penuh tawaduk dan zuhud, beliau marah dengan orang yang menggelarnya Muhyiddin kerana pada Imam An-Nawawi, semakin tinggi gelaran itu, makin susah untuknya tawaduk serta ikhlas dalam melakukan kerja-kerja agama.

Menyebut mengenai sifat tawaduk dalam agama dan berhati-hati, anak murid Imam Nawawi, Imam Ibn ‘Attar berkata “beliau tidak memakan buah di Dimasyk”. Ditanya mengapa beliau tidak memakan buah di sana, katanya “Dekat Damsyik, banyak tanah-tanah wakaf dan terdapat juga tanah-tanah orang yang diambil oleh penguasa tanpa kerelaan serta ditanam pokok. Bagaimana saya hendak makan buah daripada tanah-tanah yang syubhah.”

Imam Ibn ‘Attar menambah lagi, Imam Nawawi tidak mengambil sesuatu daripada orang lain kecuali orang itu baik agamanya serta pengetahuan agamanya juga baik. Beliau juga tidak mahu mengambil manfaat daripada orang lain.

Imam An-Nawawi ketika mengajar di Darul Hadith, beliau menerima gaji yang besar, namun tidak diambil satu pun daripada gaji tersebut. Beliau mengumpul duit itu dan diberikan kembali kepada ketua Madrasah. Kadangkala beliau membeli tanah atau buku dan diwakafkan kepada madrasah tersebut.

Selain mempunyai keluasan dari segi ilmu, menurut anak murid Imam An-Nawawi, beliau banyak membaca Al-Quran dan berzikir. Imam Ibn Katsir menerusi KItab Bihayah Wa Nihayah berkata “Imam An-Nawawi berpuasa setiap hari kecuali hari-hari yang diharamkan  berpuasa.” Imam Az-Zahabi menyebut “Imam An-Nawawi sentiasa sibuk dengan ilmu dan penulisan yang dilakukannya hanya untuk mencari redha Allah SWT, disamping ibadah-ibadah lain, menjaga dirinya dan sentiasa bersabar dengan ujian-ujian dalam kehidupan beliau.” Menurut Abu Abdillah Ibn Fattah Al-Hambali berkata “satu malam aku berada dekat Masjid Umawi dan aku melihat Imam An-Nawawi solat di satu tempat dalam keadaan agak gelap dan beliau berulang-ulang membaca ayat al-Quran kerana ingin memahami ayat yang dibaca.”

Imam An-Nawawi sangat tegas dalam kebenaran. Beliau tidak takut memberi nasihat sekalipun kepada pemimpin. Ketika zaman pemerintahan Raja Zahir Baibars, raja tersebut telah meminta pertolongan rakyat untuk menentang tentera Tartar dan tentera Salib. Beliau meminta ulama untuk menandatangani surat persetujuan agar meminta rakyat menolong. Semua ulama menandatangani surat tersebut kecuali Imam Nawawi. Raja tersebut amat berharap agar Imam Nawawi menandatanganinya kerana beliau sangat berpengaruh. Bagaimanapun Imam Nawawi tidak menulis dan tidak redha dengan perkara itu. Kata Imam Nawawi “Mereka itu telah berfatwa dengan fatwa yang tidak benar melalui sultan. Kamu tidak berhak untuk mengambil daripada rakyat harta-harta mereka sehingga kamu kembalikan harta yang ada pada kamu dan kamu gunakan harta tersebut untuk berperang, barulah kamu berhak meminta daripada rakyat.”

Mendengarkan kata-kata itu, lantas raja tersebut marah dengan berkata “potong gajinya dan kerja dia.” Pagawai kemudian memberitahu bahawa Imam Nawawi tidak mengambil sedikit pun kemewahan daripada gajinya itu. Beliau makan daripada apa yang dikirimkan oleh bapanya. Raja Zahir kemudian berkata “Demi Allah, aku ada niat ingin membunuhnya. Apabila aku ingin membunuhnya, aku melihat seperti ada singa yang sedang membuka mulutnya mahu menerkamku.”

Kekaguman orang terhadap Imam Nawawi bukan semata-mata disebut oleh anak muridnya. Bahkan, ulama juga mengagumi beliau. Imam Tajuddin Al-Subki menyebut di dalam kitabnya “bapanya, Taqiuddin Al-Subki pernah berjalan dengan seorang tua yang buta. Ayahnya menaiki keldai dan orang tua itu berjalan. Mereka menuju ke Syam, ke tempat Imam Nawawi pernah mengajar. Lalu sebelah orang tua itu, terdapat penunjuk jalan yang sedang berbual dengannya mengenai tayammum. Kata penunjuk jalan itu : saya pernah melihat Imam Nawawi dan mendengar kata-katanya dalam bab tayammum. Apabila Imam Taquiddin mendengar nama Imam Nawawi disebut, beliau terus turun dari keldai lantas mencium tangan penunjuk jalan tersebut dan memohon beliau untuk berdoa kepadanya. Imam Taqiuddin berkata “kamu naik bersama-sama denganku, aku tidak izinkan mata yang pernah melihat Imam Nawawi untuk berjalan.”

Begitulah kehebatan Imam Nawawi, ilmunya dan keperibadian menjadi ikutan sepanjang zaman sehingga kini.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 21 November 2017
Scroll to Top