Imam Abu Hanifah

IMAM Abu Hanifah Nukman Ibn Thabit yang terkenal dengan nama Imam Hanafi. Ustaz Muhadir Hj. Joll menerusi segmen Ibrah (Salafus Soleh) yang bersiaran setiap Isnin di IKIMfm, menyebut insan hebat ini mempunyai banyak sumbangan dalam bidang Feqah sehinggakan mencintai beliau menjadi suatu yang sangat dituntut. Seorang ulama besar, Abu Mu’awiyyah Ad-Dhorir menyebut “Sesungguhnya mencintai Imam Abu Hanifah termasuk di dalam sunnah”. Hal ini kerana ketokohan dan sumbangan beliau sangat hebat dan sehingga kini mencorakkan dunia feqah yang harus kita tekuni dan manfaatkan yang akhirnya membawa kepada kebahagiaan dunia dan akhirat.

Dalam sejarah, terdapat dua puluh orang yang masyhur yang menggunakan gelaran ‘Abu Hanifah’. Namun, sekalipun terdapat dua puluh orang fuqaha’ dengan gelaran Abu Hanifah, apabila disebutkan nama Abu Hanifah, pastinya tergambar dan teringat akan Imam Abu Hanifah Nukman ibn Thabit ini kerana kemasyhuran dan kealiman beliau. Digelar Abu Hanifah dengan dua sebab, yang pertamanya mengambil maksud ‘hanaf’ iaitu suci, kecenderungan kepada Tauhid. Ini kerana betapa hebatnya ibadah Imam Abu Hanifah ini kepada Allah SWT. Kedua, ‘Hanifah’ ini juga digunakan kepada orang yang banyak menulis. Di kalangan penduduk Iraq, apabila mereka ingin menyebut orang yang banyak menulis, maka mereka akan menyebut dengan ‘Hanifah’. Sememangnya, Imam Abu Hanifah mempunyai karangan yang sangat banyak dan digunakan serta dimanfaatkan sehingga kini.

Beliau dilahirkan di Kufah, Iraq pada tahun 18 Hijrah. Nama penuh beliau Nukman bin Thabit bin Marzuban. Beliau berketurunan Parsi. Datuknya memeluk Islam ketika zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab. Imam Abu Hanifah bercerita mengenai pengalaman beliau menuntut ilmu “Aku datang ke Basrah dan aku menyangka sesungguhnya tidaklah aku ditanya tentang sesuatu melainkan aku akan temui jawapan di sana. Lalu orang Basrah bertanya kepadaku beberapa perkara dan aku tidak ada jawapannya. Lalu aku berazam pada diriku untuk tidak akan berpisah dengan guruku, Hammad Ibn Sulaiman”. Imam Abu Hanifah belajar dengan gurunya selama lapan belas tahun. Kemuliaan beliau turut diwarisi daripada keturunan beliau. Ayahnya, Thabit bin Marzuban pernah bersama dengan Saidina Ali KWJ.

Cucu Imam Abu Hanifah, Ismail bin Hammad menceritakan “Thabit, ayah kepada Imam Abu Hanifah pergi kepada Saidina Ali dan saat itu, Imam Abu Hanifah masih kecil. Lalu Saidina Ali mendoakan keberkatan untuknya dan keturunannya. Kami mengharapkan doa Saidina Ali dikabulkan Allah untuk kami juga”. Doa itu sangat luar biasa kerana sehingga kini, beliau dan keturunannya tergolong dalam golongan orang soleh dan member manfaat kepada manusia. Imam Aabu Hanifah bukan sekadar mendapat keberkatan melalui doa Saidina Ali, bahkan beliau sempat melihat Saidina Anas bin Malik, sahabat Nabi SAW ketika Saidina Anas datang ke Kufah. Beliau telah meriwayatkan hadith daripada Saidina Anas Ibn Malik. Antaranya yang bermaksud “Menuntut ilmu agama adalah satu kefardhuan ke atas setiap orang Islam”. Di dalam sejarah ada meriwayatkan, Imam Abu Hanifah sempat berjumpa dengan Sembilan atau sepuluh orang sahabat Baginda SAW.

Menurut Imm Al-Dhzahabi, Imam Abu Hanifah meriwayatkan hadith daripada 37 orang guru. Imam Abu Hanifah sangat gigih mencari hadith dan bermusafir untuk mendapatkan hadith. Ini membuktikan bahawa beliau sangat memberatkan tentang hadith. Imam Abu Hanifah menceritakan beliau mimpi seolah-olah melihatb beliau menggali kubur Baginda Nabi SAW. Kemudian beliau pergi ke Basrah dan menyuruh seseorang lelaki untuk mencari Imam Muhammad Ibn Siri. Lelaki tersebut menceritakan tentang Imam Abu Hanifah kepada Imam Muhammad dan katanya mengenai Imam Abu Hanifah “Orang ini (Imam Abu Hanifah), orang yang akan menggali, menjaga dan memelihara hadith-hadith Baginda Rasulullah SAW.

Ketokohan dan keilmuan Imam Abu Hanifah dikenali dan tidak diragui. Beliau dikenali oleh insan-insan hebat antaranya ialah Imam As-Syafie. Katanya “Manusia dalam bab feqah semuanya akan mengikut cara yang ditunjukkan oleh Imam Abu Hanifah”. Al-Imam Al-Dzahabi mengatakan “Keimaman dalam bab feqah dan halus pemahamannya, diberikan kepada Imam Abu Hanifah. Perkara itu tidak ada keraguan padanya.” Beliau kemudian menambah “Tidak boleh diterima oleh akal sama sekali, jika siang memerlukan tanda-tandanya”. Ini memberi maksud bahawa ketokohan Imam Abu Hanifah tidak perlu dalil dan buktinya lagi. Sudah terang dan nyata.

Selain menekuni bidang ilmu, Imam Abu Hanifah seorang hamba yang sangat kuat beribadah kepada Allah SWT. Abu Asim Al-Nabil mengatakan “Imam Abu Hanifah dinamakan ‘Al-Watit’, orang yang banyak sembahyang sunat”. Dikatakan beliau solat sunat sebanyak 300 rakaat setiap malam. Anak murid Imam Abu Hanifah, Al-Qadi Abu Yusuf katakan “Imam Abu Hanifah mengkhatamkan Al-Quran hanya dalam satu rakaat setiap malam”.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 15 Ogos 2017
Scroll to Top