Ilmu Untuk Kepentingan Diri

CABARAN sebenar terhadap ilmu bukanlah dari mereka yang menafikan kemungkinan ilmu, kerana tidak mungkin dapat mereka nafikan sesuatu hakikat yang mereka sendiri dakwa mustahil diketahui. Cabaran yang sebenar adalah terhadap kesahihan bukti yang dikemukakan bagi menyokong sebarang kenyataan atau dakwaan. Ia adalah cabaran terhadap sikap dogmatik, iaitu menerima dan mengiyakan sesuatu pandangan secara membuta-tuli.

Jika yang dicabar itu adalah kesahihan bukti maka ia adalah cabaran yang sah dan patut disambut dengan fikiran yang terbuka memandangkan manusia tidak terlepas dari kesilapan, kealpaan, bahkan khayalan. Hanya dengan melihat kepada bukti dan hujah sahaja dapat dipastikan sama ada dakwaan itu sah ataupun tidak. Itulah sikap manusia yang berakal. Dia menyedari betapa bahayanya akibat menerima sebagai benar sesuatu dakwaan yang sebenarnya diasaskan kepada  salah faham, kesilapan, kealpaan, dan khayalan. Kalau kebanyakan atau semua manusia sekalipun menerima dakwaan itu ia tetap salah dan takkan bertukar menjadi benar.

Justeru, orang berakal mengambil sikap berhati-hati, iaitu dengan menyiasat dahulu benar-salahnya sesuatu dakwaan yang diajukan kepadanya dengan melihat kepada bukti dan hujahnya. Jika buktinya menepati dakwaan barulah dakwaan itu diterima, dan berat atau ringan beban pembuktian yang dituntut pula bergantung kepada jenis dakwaan yang dikemukakan.

Demikianlah sikap orang-orang yang berakal, mereka meletakkan kebenaran pada kedudukan tertinggi kerana itulah nilai akalnya. Akal pada hakikatnya adalah tidak lain dari dirinya sendiri, maka apa yang penting pada akalnya itulah kepentingan dirinya. Justeru, orang yang sebenar-benarnya berakal sebenarnya adalah seorang yang amat mementingkan diri sendiri.

Kenyataan ini, walau bagaimanapun, hendaklah difahami dengan betul, kerana maksudnya berlainan dari apa yang umumnya difahami kebanyakan orang. Seorang yang mementingkan diri itu biasanya dimaksudkan sebagai seorang yang hanya memikirkan tentang dirinya sahaja serta tidak mempedulikan perasaan atau hak orang lain. Akan tetapi yang dimaksudkan dengan ‘diri’ di sini adalah ‘diri hayawani’, bukan ‘diri akali’ seperti yang kita maksudkan di atas. Diri hayawani adalah diri yang rendah, yang juga dikenali dengan ‘nafsu’. Apabila kita berbicara tentang ilmu dan kebenaran, diri yang berkenaan dengannya adalah diri akali. Diri akali itulah yang sepatutnya diutama dan dipentingkan, manakala bagi diri hayawani pula tempat yang layak baginya adalah di bawah taklukan dan penguasaan diri akali. Itulah yang kita maksudkan dengan mementingkan diri, iaitu meletakkan diri yang sebenar pada tempatnya.

Demikianlah rapatnya kaitan ilmu dengan diri insan, dan sepenting-penting ilmu itu adalah yang mengenalkan insan perihal hakikat makna dirinya, tugas dan tanggungjawabnya di dunia, serta nasib akhirnya. Itulah ilmu yang akan memelihara kepentingan dirinya, maka dia tidak akan berkompromi dalam memastikan kebenarannya.

Kongsi artikel ini di:

Md. Asham Ahmad

Merupakan Felo Kanan di Pusat Kajian Syariah, Undang-undang & Politik, Institut Kefahaman Islam (IKIM). Mendapat ijazah Sarjana (MA) dalam Pemikiran Islam dari Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC) di bawah bimbingan YM Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas