IKIMfm Turun Bersama Pendengar di Seremban

karnival-mahabbah-n9

KUALA LUMPUR – Bermula Jumaat ini, Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sembilan  dan Institut Pembangunan dan Pengurusan Johor akan menganjurkan Karnival Mahabbah IKIMfm Seremban 2014.

Karnival ini bakal berlangsung bermula 30 Mei hingga 1 Jun 2014 bertempat di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Seremban. Pelbagai acara dan program dirancang seperti siri jelajah Mahabbah sebelum-sebelum ini.

Menurut Puan Fairuz Hj Noordin selaku Penyelaras Karnival, IKIMfm mengambil peluang bersama-sama pendengar IKIMfm yang berada di Seremban untuk turun ke lapangan bagi memeriahkan acara-acara dan aktiviti yang terpilih sepanjang karnival tiga hari tersebut. Personaliti IKIMfm juga akan dibawa bersama selain para penyumbang tetap pelbagai slot yang bersiaran di IKIMfm.

“Alhamdulillah, kali ini pelbagai perkongsian baharu cuba dipenuhi untuk memberi peluang kepada pendengar yang biasa mendengar IKIMfm melalui frekuensi102.7fm. Oleh itu, kali ini kita memilih Seremban di Negeri Sembilan selepas tahun lalu kita ke Melaka dan baru-baru ini kita ke Johor Bahru. Jadi, orang Seremban pun tidak dilupakan untuk jelajah kali ini,” katanya yang juga Penerbit Rancangan Radio Kanan IKIMfm.

Penganjuran Karnival Mahabbah IKIMfm Seremban akan diserikan dengan penampilan tetamu undangan  bagi segmen ‘Konti Ke Pentas’ bersama-sama  Ustaz Syed Abdul Kadir Al-Joofre dan Ustaz Basir Mohamed Al-Azhari dalam slot Tarbiah pada pukul 10 pagi hari pertama. Selain itu, Ustaz Mohd Rozie Rejabjuga akan bersama-sama dalam segmen ‘Usrah Nurani’ yang bakal dikendalikan oleh Dj Salima Habibi pada sebelah petang.

Tidak ketinggalan IKIMfm yang amat sinonim dengan ‘Konsert Mahabbah IKIMfm’ akan menampilkan Hafiz Hamidun, UNIC, Nizam Laksamana dan Ali XPDCuntuk memeriah malam pertama acara. Selain daripada itu, pada malam kedua, pentas karnival bakal mengisi ruang ilmu dan perkongsian bersama-sama Ustaz Muhadir Hj Joll dan kumpulan nasyid Saujana serta UNIC melalui rancangan Maulid@IKIMfm yang selalu bersiaran pada hari Khamis pukul 10 malam.

Forum Bicara Ad-Deen IKIMfm pula akan disiarkan secara langsung pada petang hari kedua bersama-sama Dr Mohd Farid Mohd Shahran dan Ustaz Dr. Shuhadak Mahmud yang bakal dipengerusikan oleh Dj Syafiq pukul 3 petang.

Pelbagai lagi aktiviti yang menarik bakal mengisi slot dan pentas karnival termasuk ‘Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak Upin dan Ipin’ dan bermacam-macam lagi.

Karnival kali ini ditaja oleh Bank Rakyat  dan Lembaga Tabung Haji serta penaja-penaja lain.

111total visits,1visits today

Syafiq Salleh

Merupakan Penyampai dan Penerbit Rancangan Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Mengendalikan segmen Destinasi IKIMfm serta terlibat dalam suntingan artikel dan berita. Mendapat pendidikan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Kejuruteraan Perisian) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Memilik Diploma Teknologi Maklumat (Pengaturcaraan) dari Politeknik Malaysia. Boleh dihubungi melalui email msyafiq@ikim.gov.my

Kami sedang menjalankan kaji selidik tentang Lagu-lagu Pilihan Pendengar Radio IKIMfm. Kaji selidik ini bermula dari 3 April hingga 16 April 2017.

Sertai kaji selidik ini sekarang. Responden yang bertuah bakal menerima hadiah istimewa dari IKIMfm