IKIMfm terima Anugerah Kewartawanan Autisme Terbaik Radio

KUALA LUMPUR, 9 April – IKIMfm menerusi segmen Inspirasiku telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kewartawanan Autisme Terbaik Radio sempena Anugerah Dari Hati ke Hati anjuran Bank Rakyat, hari ini.

Sebanyak 11 anugerah dipertandingkan antaranya, Ikon Autisme, Penyokong Autisme Individu Terbaik; Individu Autisme Terbaik serta Media Sosial Autisme Terbaik.

Penerima kategori Anugerah Kewartawanan Autisme Terbaik Radio, Penerbit slot Warna Pagi IKIMfm, Maslina Alias berharap agar peranan media dalam memberi ruang kepada individu yang terlibat menyumbang dalam perkembangan anak-anak autism ini sedikit sebanyak dapat memberi pendedahan dan kesedaran kepada rakyat Malaysia mengenai Autisme.

Manakala bagi penerima Anugerah Ikon Autisme, Adik Ahmad Zahiruddin Zailani yang berjaya menghafal 30 juzuk ayat al-Quran turut berpesan kepada anak-anak autism yang sama sepertinya agar tidak menjadikan kekurangan sebagai penghalang untuk mencapai kejayaan.

Katanya anak-anak autistik perlu diberi peluang dan sokongan untuk mengembang potensi diri dan bakat yang ada pada diri mereka.

Anugerah yang berlangsung di Menara Bank Rakyat, Kuala Lumpur ini disampaikan oleh Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Shukry Mohd Salleh.

Dalam ucapannya Tan Sri Shukri berkata majlis tersebut adalah pertama kali diadakan dan kemuncak kepada inisiatif tanggungjawab sosial korporat yang dilaksanakan sejak Oktober 2016 bagi memupuk kesedaran mengenai autisme. 

Katanya Ia juga bagi mengiktiraf dan meraikan mereka dalam kalangan autistik yang telah membuktikan kepada masyarakat bahawa mereka mampu untuk berjaya dalam kehidupan.

Kongsi artikel ini di:

Haji Faiz Hj. Othman

Merupakan penyampai di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Kini aktif dengan kerja-kerja berkaitan Sosial Media untuk IKIMfm.