IKIMfm Siar Program Menarik Sempena Aidilfitri Ini

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri yang mulia ini Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) menyediakan pelbagai genre Program Khas Hari Raya untuk para pendengarnya. Penerbitan program-program tersebut antara lain bagi menghargai para pendengar yang sentiasa menyokong dan setia mendengar rancangan-rancangan mendidik jiwa terbitan radio berkenaan.

IKIMfm yang berjaya mengekalkan jumlah 1.3 juta pendengar di semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak sejak beroperasi 16 tahun lalu, memulakan program khas sejak Ramadan lagi.

Pemangku Pengarah Pusat Media IKIM, Tuan Haji Mahathir Shaharuddin berkata seperti setiap tahun radio IKIMfm menampilkan kelainan dalam penerbitannya kerana rancangan yang diterbitkan bukan sekadar hiburan semata-mata tetapi sarat dengan pengisian ilmiah, memberi inspirasi dan bersifat kerohanian.

Menurutnya, pada tahun ini IKIMfm menggunakan pendekatan tema ‘Fitrah Aidilfitri’ untuk mengajak pendengar menghayati makna Aidilfitri yang mengembalikan insan kepada fitrahnya setelah melalui tarbiyyah Ramadan.

Katanya sebanyak 17 program khas telah disediakan untuk Hari Raya ini yang dimulakan seawal 6.30 pagi pada hari raya pertama menerusi rancangan Tafsir al-Quran Khas Aidilfitri.

Antara program yang bakal disiarkan ialah Siaran Langsung Solat Sunat Aidilfitri, Perutusan Hari Raya Pengerusi dan Ketua Pengarah IKIM, Topik Jumaat Istimewa Raya, Travelog Qalbun Salim (Jiwa yang Tenang), Siaran ulangan Anugerah Nasyid (AN17), Siaran ulangan Maulid@IKIMfm, Usrah Nurani Khas Aidilfitri, Dokumentari Aidilfitri di Sebalik Tirai Besi: Kisah Banduan Akhir, Dokumentari Aidilfitri, Ucapan Hari Raya Perantau dan banyak lagi.

Program-program tersebut diterbitkan oleh Pemangku Pengarah Pusat Media Mahathir Shahruddin, Pengurus Program Radio Nik Hasnah Ismail, Pengurus Muzik Mohd Erwan Johari, Pengurus Siaran Maslina Alias, Pengurus Berita Ahmad Nazri Mohd Yusof dan Penerbit Rancangan Mazlina Ismail, Mona Jasman dan Syafiq Zulakifli. Program-program yang disediakan iniamat bersesuaian untuk pendengaran ketika umat Islam merayakan Aidilfitri.

Frekuensi IKIM.fm boleh diikuti melalui 91.5 FM (Lembah Klang), 102.7 FM (Ipoh), 89.6 FM (Kuantan), 102.7 FM (Negeri Sembilan), 102.7 FM (Pulau Pinang, Perlis, Kedah dan Langkawi), 89.8 FM (Johor Bahru), 89.5 FM (Melaka), 89.8 FM (Kota Bharu), 100.2 FM (Kuala Terengganu), 93.9 FM (Kota Kinabalu), 107.3 FM (Lahad Datu), 104.0 FM (Miri) dan 93.7 FM (Kuching).

Kongsi artikel ini di:

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my